Wednesday, December 13, 2006

Madinah jadi contoh kemajuan bertunjangkan agama

Oleh Sidek Baba


Sejak di zaman Rasulullah s.a.w. lagi usaha membangunkan tamadun sudah mula berjalan. Kota Madinah menjadi lambang kemajuan yang bertunjangkan agama. Realiti masyarakat Madinah yang berbilang, asas Perlembagaan Madinah yang menjadi rujukan, tradisi suffah (pendidikan) yang semakin berkembang, perluasan pengaruh Islam yang agak meningkat memberikan petanda konsep muduniyyah atau kemajuan bertitik-tolakkan Model Madinah menjadi asas perkembangan tamadun selepasnya.

Model Madinah mampu menjadi model rujukan sepanjang zaman. Akar kepada Model Madinah ialah perubahan, kemajuan dan pembangunan yang bertunjangkan pembangunan manusia. Fokus kepada pembangunan manusia ialah aspek akidah, ibadah, akhlak, syariah dan juga muamalah di samping aspek-aspek yang lain.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa corak kemajuan pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah berasaskan masyarakat yang tidak kompleks di mana transaksi muamalahnya dan jenis kenderaannya adalah mudah. Dalam konteks kemajuan, apa yang dipentingkan dalam Islam ialah transaksi dan nilai guna sesuatu berasaskan fitrah jadinya. Islam tidak menolak perkembangan bentuk yang sifatnya mekanistik. Apa pun corak muamalah yang berlaku, prinsip tanpa riba menjadi asasnya. Apa pun bentuk kenaikan atau kenderaan yang berkembang kegunaannya tetap serupa.

Muamalah pada zaman Rasulullah s.a.w. berasaskan mekanisme tukaran barang. Dinar dan dirham diperkenalkan pada zaman terkemudian. Tetapi prinsip muamalah tanpa riba yang dianjurkan oleh al-Quran dijadikan pedoman utama. Hari ini apabila Bank Islam dan Takaful diperkenal dan dimajukan, prinsip muamalah tanpa riba tetap dipertahankan walaupun mekanisme pengurusannya menjadi semakin maju dan canggih.

Hal yang sama juga tentang jenis kenderaan yang terdapat pada zaman Rasulullah s.a.w. ialah unta, kuda dan keldai. Sifat jadinya binatang itu adalah untuk ditunggangi oleh manusia dan juga mengangkut barang. Hari ini apabila teknologi kenderaan berkembang dalam bentuk kapal terbang, kapal laut, motokar dan lain-lain, semuanya mempunyai fungsi asasi yang sama iaitu membawa penumpang dan mengangkut barangan.

Konteks kemajuan yang berasaskan Model Madani boleh menjadi teras pembangunan kini kerana selamanya Islam melihat pembangunan teknologi adalah sebagai alat. Apa yang penting ialah bagaimana alat mencapai matlamatnya bergantung kepada kandungan, program atau perisian yang terkandung dalam alat itu. Sekiranya kandungan, program atau perisian kepada komputer dan televisyen umpamanya memberi manfaat kepada pengguna, ia dianggap selari dengan konsep kemajuan dalam Islam.

Faktor globalisasi adalah faktor unipola dan unilateral. Ia merupakan hegemoni Eropah-Amerika Syarikat terhadap negara-negara lain khususnya terhadap negara Islam. Globalisasi berkembang bersama-sama instrumen kewangan, ekonomi, teknologi maklumat dan komunikasi, media cetak dan elektronik, pendidikan, politik dan juga militeri. Ia dikatakan sebagai suatu bentuk penjajahan baru yang ingin menjadikan dunia di luar Eropah-Amerika Syarikat tunduk kepada pengaruh kebudayaan dan cara hidup mereka. Meskipun ada aspek-aspek yang menarik untuk dikongsi terutama dalam bidang teknologi, sains dan penyelidikan namun risiko budaya dan gaya hidup boleh menjejas banyak aspek kehidupan umat Islam.

Islam adalah risalah rahmat bagi seluruh alam. Konsep alamiah yang ada pada Islam pernah menyumbang kepada tamadun Barat dan Timur suatu ketika dulu. Konsep alamiah, sifatnya menyeru manusia ke arah kebaikan ataupun maaruf dan mencegah manusia daripada melakukan keburukan. Proses litaarrafu menjadi landasan bagi kemajuan dalam Islam bukannya metodologi dunia tanpa sempadan yang sedang dipaksakan oleh globalisasi.

Tamadun Islam sejak dahulu sehingga kini mementingkan aspek nilai murni dalam kemajuan dan pembangunan tetapi kemajuan dalam konteks globalisasi tidak menjadikan nilai moral, etika dan kemanusiaan sebagai prasyarat tetapi lebih kepada pemakmuran faham kebendaan dan pemacuan faham hedonistik (nafsu-nafsi) yang kebaratan sifatnya.

Malaysia kini sedang dijadikan fokus untuk melihat model kemajuan dan pembangunan yang boleh dirujuk oleh negara-negara Islam yang lain sebagai model negara yang sedang maju dan tidak menolak kepentingan Islam. Hal ini berbangkit kerana selepas peristiwa 11 September 2001 di Amerika Syarikat, Islamiphobia atau rasa takut terhadap Islam kian ketara dan dalam masa yang sama minat orang untuk tahu apakah sebenarnya Islam di kalangan masyarakat Barat dilaporkan semakin meningkat.

One response to “Madinah jadi contoh kemajuan bertunjangkan agama”

Anonymous said...

Adalah diharapkan dengan izin Allah Ta'ala, Malaysia menjadi sebuah negara yang menepati ciri-ciri sebuah negara yang mengamalkan apa yang telah ditinggalkan dan disarankan oleh Rasulullah SAW.