Wednesday, December 13, 2006

Nilai adab didik remaja dari awal

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

ADAB adalah pancaran akhlak yang mulia. Ia gambaran pekerti seseorang dalam tingkah laku hidupnya dan menggambarkan ketertiban, kesantunan dan kesopanan seseorang terhadap seseorang yang lain atau apabila berada dalam suatu situasi tertentu. Ia juga menyentuh tentang rasa hormat terhadap orang lain. Secara ringkasnya ia menyentuh perilaku seseorang terhadap Allah, Nabi Muhammad, pemimpin, ulama dan ilmuan, ibu bapa, keluarga, ketua, sahabat, rakan taulan dan orang ramai.

Ia penting bagi remaja. Tingkah laku dan akhlak remaja adalah di peringkat pembentukan. Di peringkat ini, nilai-nilai adab dan tatacaranya perlu diajar dan diketahui oleh remaja. Sebenarnya didikan mengenainya perlu berlaku di peringkat awal lagi oleh ibu bapa dan keluarga. Banyak mengenainya boleh diajarkan seperti adab dengan ibu bapa dari sudut panggilan, adab anak dengan kawan-kawan dan banyak lagi. Sekiranya remaja di peringkat awal lagi menjadikan tatacara adab sebagai sebahagian hidupnya, ia akan menjadi sebati pada dirinya dan akhirnya akan memandu cara hidup dewasanya.

Adab adalah gambaran kehalusan pekerti dan kesantunan tingkah laku insan. Ia adalah fitrah manusia. Apabila tatacara adab berjalan, ia menimbulkan harmoni pada diri, terhadap orang lain dan melahirkan ketertiban dalam masyarakat. Contohnya apabila kita beradab kepada Allah, kita melakukan apa yang di suruh dan menjauhkan yang dilarang. Apabila kita beradab kepada ibu dan ayah, kita mengikut apa yang dinasihatinya dan menjauhi yang ditegahnya. Adab kita kepada ulama dan ilmuan ialah kita memanfaatkan ilmu-ilmu baik yang diajarkannya. Adab kita kepada jiran ialah menghormati hak-hak jiran. Falsafah dan manfaat utama mengapa adab ini dilihat penting kerana mengekalkan harmoni, saling hormat, kesantunan dalam hubungan kemanusiaan.

Realiti hari ini menunjukkan sebahagian remaja kita sedang mengalami keadaan kehilangan adab. Ia berpunca kerana banyak sebab. Pertama, ibu bapa kurang prihatin tentang pentingnya adab dalam proses membentuk tingkah laku anak-anak. Kedua, anak-anak sangat terdedah dengan tingkah laku yang tidak menggambarkan adab yang baik sama ada menerusi pengalaman hidupnya, mahupun yang disaksikan di kaca TV. Ketiga, yang lebih berumur tidak menjadikan dirinya sebagai contoh terbaik dari sudut pengamalan adab. Keempat, anak-anak mudah tertarik dengan tingkah laku yang kasar, bahan-bahan permainan yang menjadikannya ganas dan objek-objek seksual yang merosakkan.

Sebab itu kita sering bertemu dengan remaja yang tidak memberi salam apabila berselisih, melakukan kerja-kerja maksiat secara terang-terangan, hilang silu dan malu apabila bercampur gaul, menggunakan bahasa dan kata-kata kurang sopan dan lucah, memakai pakaian menjolok mata, melawan ibu bapa, melawan guru, terlibat dengan gejala sosial dan kegiatan dadah serta banyak lagi. Itulah gambaran sebahagian remaja kita yang sudah kehilangan adab. Bayangkan kalau mereka ini bakal menjadi ibu bapa, pemimpin pada masa depan, apakah mereka boleh menyumbang ke arah pembangunan negara dan kesejahteraan umat?

Ia menuntut kerjasama semua pihak. Ibu bapa mestilah menjadi contoh teladan terbaik dari segi adab. Sekiranya rumah tangga memberikan asas yang baik kepada penitipan adab anak-anak, sekolah pula harus membantu mengukuhkan nilai-nilai adab pada diri pelajar dan muridnya. Seterusnya pihak media harus berperanan baik. Bentuk iklan, hiburan dan persembahan mesti membayangkan teladan yang baik. Sekiranya semua pihak berperanan dan merasa ia suatu tanggungjawab bersama, pemupukan adab akan berlaku dengan baik. Sekiranya hal-hal ini tidak berlaku tingkah laku dan pekerti yang biadap akan muncul.

Ahli ilmu menghubungkan adab dengan maksud yang lebih luas. Ia dihubungkan dengan aspek mendisiplinkan minda atau berfikir, dihubungkan dengan disiplin hati atau tabiat, dan dihubungkan dengan tingkah laku seseorang. Memang amat penting bagi remaja melakukan disiplin minda. Ia bermaksud apa yang remaja fikir, apa yang remaja baca, apa yang remaja tulis dan apa yang remaja bincang. Kalau remaja dilatih berfikir terhadap perkara-perkara yang baik dan bermanfaat di samping berfikir sebaliknya bagi maksud pengajaran, sudah tentu kebaikan juga akan menjadi buah pemikiran remaja.

Kalau yang dibaca oleh remaja adalah bahan-bahan yang menambahkan ilmu dan meninggikan hikmah, ia bakal menghasilkan buah fakir yang bernas dan baik, dan ia penting bagi memandu hidup remaja ke arah pedoman yang betul. Sekiranya remaja ada bakat menulis, apa yang difikir, ilham yang diterima dan bahan yang dibaca bakal membantu remaja untuk menulis sesuatu secara baik dan berkesan dan apabila hasil tulisan itu dibaca orang, ia bakal memberi manfaat kepada yang lain.

Di samping perlunya disiplin minda, disiplin hati adalah sesuatu yang amat penting. Daripada hati datangnya niat dan tabiat. Tabiat hati berhubung langsung dengan sifat diri manusia. Jujur, ikhlas, kasih, sayang, rindu dan benci datangnya daripada hati. Bagaimana sifat jujur dan ikhlas dapat diperkukuhkan, rasa kasih dan sayang dapat diperteguhkan, rasa rindu dapat dihidupkan dan rasa benci menjadi amalan. Apabila remaja jujur berkata-kata, ia menyuburkan sihat hati. Apabila remaja ikhlas dalam melakukan sesuatu ia bakal menjadi sumber amal, apabila rasa kasih dapat dibentuk ia menjadi remaja memiliki rasa kemanusiaan yang tinggi, apabila remaja memupuk rasa sayang terhadap ibu bapa, ia berguna untuk keluarga, dan apabila remaja benci kepada maksiat tentunya sifat itu menyelamatkan remaja daripada jebak keburukan. Inilah gambaran remaja yang beradab. Hal yang sama berkaitan dengan amalan dan perbuatan. Apabila minda memiliki kekuatan yang jernih dan teguh, apabila hati terbentuk dengan sifat-sifat yang murni dan baik, maka dengan sendirinya perbuatan amalan remaja akan terpancar berasakan apa yang ada dalam mindanya dan hatinya. Itulah yang dikatakan adab.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin atau Jiwa Agama memberi analogi atau kiasan pancaindera manusia diibaratkan seperti anak-anak sungai. Hati atau kalbu diibaratkan seperti takungan air yang mengalir atau mudrikah. Daripada mata menyebabkan manusia melihat, memerhati, membaca, mengamati dan menulis sesuatu. Sekiranya yang dilihat, diperhati, dibaca, diamati dan ditulis itu adalah sesuatu yang baik, ia ibarat air jernih yang mengalir masuk ke kalbu atau mudrikah. Sebab itu Rasullullah s.a.w. mengibaratkan hati itu seketul daging, sekiranya baik daging itu maka baiklah pekerti manusia dan pekerti manusia yang baik itulah yang dikatakan asas adab bagi manusia. Adab yang baik tidak saja menghasilkan cara hidup yang baik tetapi akhirnya mencetuskan peradaban.

One response to “Nilai adab didik remaja dari awal”

dairiibu said...

Assalamualaikum.
Satu kupasan yang sangat kena pada masa. Kebanyakan ibubapa kini faham bila sayang, semua kena ikut sampai terlupa nak ajar anak adab-adab dalam pergaulan, dalam bertamu dan sebagainya.
Wallahuallam.