Friday, December 15, 2006

Berfikir proaktif

Oleh DR. SIDEK BABA


BERFIKIR proaktif ialah suatu kemahiran berfikir secara positif yang melibatkan perancangan teliti dan rapi supaya hasilnya menjadi. Berfikir proaktif tidak saja respons kepada sesuatu masalah yang dihadapi tetapi difikirkan bagaimana sesuatu masalah itu dapat dileraikan dan jalan keluarnya dicari. Sesuatu masalah tidak hanya dilihat sebagai masalah, ia dikaji dan diteliti sebab-musababnya, dicari jalan keluarnya dan diberi alternatifnya.

Seorang remaja umpamanya, mengalami masalah kenakalan, merosakkan harta awam adalah remaja yang bermasalah. Berfikir proaktif membawa seseorang mendekati remaja itu, melakukan komunikasi dan nasihat, mendengar masalah dan rintihannya, menawarkan jalan keluar, berkawan dengannya dan akhirnya remaja itu mungkin kembali semula ke jalan yang baik.

Seorang pelajar yang bosan untuk belajar kerana perpecahan dalam keluarga didekati oleh rakan yang prihatin, memberikannya galakan dan nasihat, membantunya dalam kerja-kerja sekolah, berkawan dengannya dan akhirnya pelajar itu yakin semula tentang pentingnya ilmu dan pendidikan.

Seorang remaja lain yang baru belajar menghisap rokok, didampingi oleh sahabat baiknya dengan nasihat yang berterusan supaya menghentikan rokok dengan menyatakan akibat buruk merokok secara perlahan-lahan dapat diselamatkan akibat terpengaruh dengan rakan yang lain.

Semua perbuatan baik yang dinyatakan di atas adalah langkah proaktif yang dilakukan supaya suatu keadaan yang mulanya tidak baik bertukar menjadi baik semula. Berfikir ke arah sesuatu yang positif, pembaikan dan penyelesaian dikatakan sebagai berfikir proaktif.

Dalam tradisi Islam, berfikir proaktif adalah sesuatu yang amat digalakkan. Rasulullah s.a.w. dalam usaha dakwah awalnya di Mekah, mendekati bapa saudaranya Abu Talib untuk menyatakan kebenaran terhadap Islam sebagai agama tauhid.

Rasulullah tidak saja melihat bapa saudaranya sebagai seseorang yang mempunyai hubungan darah tetapi yang lebih utama bagaimana bapa saudaranya boleh kembali menganut ajaran yang benar dan diredai Allah.

Tugasnya sebagai daie atau pendakwah adalah tanggungjawab yang utama, Pemberi hidayah adalah kerja yang Maha Berkuasa. Ikhtiar adalah usaha manusia, membukakan hatinya untuk menerima Islam adalah kerja Allah s.w.t.

Muaz bin Jabal apabila ingin dihantar oleh Rasulullah sebagai Gabenor ke Yaman ditanya oleh baginda tentang bagaimana urusan kenegaraan dapat dilakukan dengan baik.

Muaz bin Jabal mengatakan bahawa akan menggunakan al-Quran sebagai sumber utama. Kalau tidak ada di dalam al-Quran, ia akan menggunakan sunah Rasulullah s.a.w. dan kalau tidak ada sunah Rasulullah, ia akan mengggunakan ijtihad. Rasulullah amat berpuas hati dengan kenyataan Muaz itu. Itulah pemikiran proaktif yang dimiliki oleh seorang Gabenor dalam mengurus negara Yaman.

Remaja Islam harus memiliki upaya berfikir secara proaktif yang tinggi. Para remaja hari ini sering berdepan dengan berbagai cabaran sama ada yang berkaitan dengan cita-cita, perasaan, tekanan hidup, keremajaan, pergaulan apalagi percintaan. Berfikir proaktif boleh membimbing remaja supaya tidak hilang pedoman apabila berdepan dengan cabaran dan masalah, bersikap positif terhadap sesuatu perkara yang berlaku walaupun ia pedih dan pahit dan sentiasa memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah.

Berfikir

Tanpa memiliki upaya berfikir yang proaktif, para remaja boleh buntu dalam berdepan dengan sesuatu masalah, hilang pedoman bila menghadapi kebuntuan atau melakukan sesuatu tanpa banyak pertimbangan hingga menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk. Jalan keluar kepada sesuatu masalah tidak ada dan akhirnya kebinasaan yang ditempa.

Sebelum melakukan sesuatu remaja harus terlebih dahulu memikirkan buruk baiknya sesuatu. Ada ketikanya akibat dorongan naluri dan nafsu remaja melakukan sesuatu kerana ingin mencuba, hasrat yang meluap-luap, terpengaruh dengan rakan sebaya atau ingin melepaskan rasa kekecewaan dan kehampaan terhadap sesuatu.

Akhirnya para remaja terjebak dengan amalan salahguna dadah atau pergaulan yang lepas bebas. Akibatnya para remaja hilang arah dan buntu mencari jalan kembali. Bila ini berlaku remaja merasa lazat dan seronok yang sementara dan akhirnya timbul ketagihan yang berkekalan dan akan membawa akibat buruk terhadap diri remaja.

Sebelum mengambil dadah atau terjebak dalam pergaulan yang lepas bebas, remaja harus berfikir dulu tentang baik-buruknya perbuatan tersebut.

Banyak bukti dan banyak musibah yang boleh disaksikan tentang betapa bahayanya dadah dan pergaulan yang lepas bebas. Sebab itulah para remaja Islam perlukan asas agama dan akhlak supaya mereka memiliki benteng dan sempadan memilih yang buruk atau pun yang baik. Tanpa asas agama dan pertimbangan akhlak para remaja mudah terjebak dengan amalan salah laku.

Berfikir proaktif harus dikaitkan dengan nilai syarak. Maksud kepada peraturan syarak ialah untuk menjaga agama, maruah, akal fikiran, harta dan juga keturunan.

Sekiranya remaja kita berfikir secara syarie iaitu mematuhi hukum-hakam Allah, ia berkait rapat dengan maslahah atau kepentingan remaja sendiri. Islam tidak menyekat para remaja untuk bergaul.

Berfikir secara syarie dan proaktif membawa remaja berfikir bahawa ditahap remaja yang nafsunya meluap-luap, tanpa batasan pergaulan boleh mendorong perkara-perkara yang tidak baik.

Islam mengambil pendekatan pencegahan lebih baik dari mengubati. Sekiranya sesuatu telah terjadi, selalunya payah untuk dihentikan atau diubati. Nafsu-nafsi sudah menguasai diri dan pertimbangan akal tidak memberi makna apa-apa. Yang dipentingkan ialah kesedapan dan kelazatan yang sementara.

Berfikir proaktif secara syarak boleh membawa remaja berfikir di sebalik batasan hukum dan halangan syarak ada hikmah besar iaitu bagi menjaga maslahah remaja supaya tidak terjebak dengan perangkap nafsu nafsi yang kadang-kadang tidak mengenal batasan akibat.

Remaja Islam yang berfikir proaktif sentiasa mengatur jalan hidupnya secara terancang. Apabila bercita-cita tinggi ia membangunkan cita-citanya dengan usaha dan kesungguhan, dengan perancangan dan persiapan dan akhirnya cita-cita itu dapat dipenuhi.

Cabaran

Apabila berdepan dengan cabaran, ia tidak mudah putus asas. Dicarinya jalan bagaimana cabaran dapat diatasi dan jalan cita-cita tetap dilalui. Apabila bertemu kegagalan, ia tidak putus harap sebaliknya terus berusaha memperbaiki keadaan, membina strategi bijaksana supaya cita-cita tetap dipenuhi.

Remaja yang berfikir proaktif akan sentiasa mempunyai jalan keluar dalam hidup. Ia tidak mudah buntu dalam menghadapi kerenah hidup. Ia tidak mudah putus asa apabila menghadapi kegagalan.

Kerenah hidup baginya adalah pengalaman yang berguna dan kegagalan adalah ujian yang perlu dilalui. Sikap proaktif menjadikan remaja tetap yakin bahawa dihujung terowong akan ada cahaya yang menanti.

Dihujung setiap usaha akan ada hasilnya. Dan dihujung cita-cita akan ada kejayaannya. Tanpa berfikir proaktif remaja akan tewas sebelum perjalanan sampai dan remaja akan terjebak dalam belitan hidup sehingga tidak mampu melepaskan diri lagi. Berfikir proaktiflah yang boleh membantu remaja memilih jalan yang baik atau sebaliknya.

No response to “Berfikir proaktif”