Wednesday, December 13, 2006

Hikmah puasa - Kekalkan remaja dalam fitrah

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA


MAKSUD para remaja menjalani siyam atau puasa ialah meningkatkan rasa taqwa (al-Baqarah : 183). Taqwa difahamkan sebagai takutkan Allah dan juga insaf tentang ketuhanan. Sebagai remaja yang bakal menjadi dewasa, puasa memberikan asas latihan didikan tentang hati.

Remaja tidak saja harus dewasa dengan kecerdasan akal dan kemahiran berfikir tetapi memerlukan keteguhan hati. Jenis cabaran yang bakal dihadapi pada zaman remaja dan dewasa, tidak hanya terbatas kepada hal-hal yang berkaitan dengan akademik dan ketrampilan teknikal saja tetapi juga cabaran yang menyentuh tentang sifat-sifat hati dan hubungannya sesama manusia.

Ilmu saja tidak cukup bagi remaja menghadapi persaingan dan kerenah zaman tetapi juga hal-hal yang menyangkut tentang emosi, jiwa dan hati. Ketaqwaan yang tinggi bakal menjadi landasan terbaik bagaimana remaja mempunyai kekuatan luaran dan dalaman. Puasa adalah antara hikmah dalam amalan Islam yang bermaksud membangunkan taqwa yang tinggi bagi remaja.

Taqwa

Mengapa bagi diri remaja taqwa itu sangat penting? Taqwa adalah puncak keyakinan manusia terhadap kewujudan Allah dengan segala keperkasaannya terhadap apa yang diciptakannya. Keyakinan remaja harus dibina dengan ilmu. Ilmu yang bersumberkan pemerhatian dan taakulan akal saja tidak memadai untuk memahami hakikat kewujudan dan penciptaan. Ilmu yang dipandu oleh petunjuk, iaitu al-Quran memandu pemikiran dan pemerhatian remaja tentang kewujudan dan penciptaan adalah pelengkap kepada remaja mengetahui batas benar dan salah, hak dan batil serta makruf dan mungkar akan sesuatu .

Jangkauan pancaindera remaja amat terbatas bagi mengetahui sesuatu di luar batasannya. Sedangkan alam dan kehidupan, bintang-bintang dan angkasa lepas adalah kejadian yang masih menjadi misteri kepada manusia. Sedikit maklumat yang diterima belum memadai untuk manusia mengetahui segala-galanya kerana manusia adalah dicipta bukannya mencipta. Yang melakukan penciptaan tentu lebih arif terhadap ciptaan-Nya.

hikmah

Pedoman al-Quran, menjadikan remaja tahu tentang diri dan proses hidupnya yang fitrah . Daripada pengetahuan terbina asas ilmu. Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang dilengkapi dengan hikmah. Tanpa hikmah remaja akan hilang petunjuk dan pedoman. Kebanggaan dengan ilmu dan ketrampilan saja sering menyebabkan remaja kesasar.

Hikmahlah yang mampu membimbing remaja ke arah pedoman hidup yang sebenar. Hikmah adalah nilai-nilai daripada al-Quran untuk dijadikan petunjuk yang betul terhadap apa yang ingin kita lakukan dalam hidup ini. Sesuatu keputusan yang ingin diambil atas pertimbangan hikmah menjadikan faktor akidah, faktor syarak, faktor ibadah sebagai pertimbangan utama. Hasil pemikiran yang kreatif, dipandu oleh hikmah, remaja diberikan pedoman yang betul dan terarah terhadap apa saja yang ingin dilakukan dalam hidup ini. Puasalah yang menjadi landasan tarbiyah rohaniah supaya kualiti nafsu al mutmainnah itu ada pada remaja.

Akidah yang menjadi pedoman hubungan remaja dan Pencipta menjadi tali-temali keyakinan tentang kewujudan dan kebesaran Allah. Allah menjadikan manusia dalam kepelbagaian dan daripada kepelbagaian manusia dianjurkan berkenal-kenalan (li ta`arrafu : al Hujurat :13) antara satu dengan lain. Allah tidak menjadikan semua manusia memiliki kekayaan dan kesenangan yang sama. Terdapat di kalangan manusia golongan yang miskin dan tidak berada. Tidak semua manusia mempunyai ilmu yang tinggi dan ketrampilan yang canggih.

Terdapat di kalangan manusia golongan yang jahil dan tidak terdidik. Tidak semua manusia mempunyai keupayaan yang serupa dan sama. Terdapat di kalangan manusia orang-orang yang lemah dan tidak berupaya. Kelainan dan perbezaan itu akan dapat diatasi sekiranya rasa kemanusiaan tetap subur pada jiwa manusia. Para remaja harus mampu mendidik dan membentuk hati dan pemikiran supaya mempunyai sifat kemanusiaan dan timbang rasa yang tinggi sesama manusia.

Melihat keadaan sedemikian, puasa boleh memberi kesedaran tentang perlunya mereka yang miskin, kalangan yang jahil dan kurang ketrampilan, kelompok yang kurang upaya dibantu. Dorongan untuk membantu hanya ada di kalangan mereka yang faham makna kemiskinan, kelaparan, kesusahan, pengorbanan dan memiliki kemanusiaan tinggi bagi membantu yang lain, supaya rahmat Allah yang melimpah di alam ini dapat diurus dengan rasa amanah yang tinggi.

Salah satu naluri yang ada pada remaja ialah keinginan mencuba dan melakukan sesuatu seperti yang dilakukan oleh orang lain, terutama rakan sebaya atau orang-orang yang lebih dewasa daripadanya. Jiwa berpuasa yang berpedomankan hikmah atau al-Quran, sentiasa memberi pedoman supaya rasa ingin mencuba itu hanya dirujuk kepada perkara-perkara yang bermanfaat atau memberi faedah.

Oleh itu kawalan diri dan nafsu perlu ada bagi remaja supaya keinginan mencuba dan melakukan sesuatu masih tetap dalam batas syarak. Batas syaraklah yang memandu remaja supaya jangan melampaui batas. Contohnya, remaja memang sukakan hiburan dan muzik. Islam tidak melarang hiburan dan muzik tetapi Islam memberi pedoman supaya hiburan dan muzik itu tidak sifatnya melalaikan.

Sekiranya remaja berhibur sehingga lupa batas pergaulan, batas aurat, batas gerak dan rentak, batas bunyi dan senikata, ia akan mendorong remaja melampaui batas. Sedangkan Islam amat mengutamakan sesuatu yang sederhana sifatnya kerana kesederhanaan itu sentiasa mengingatkan kita kepada Allah dan melampaui batas itu menyebabkan kita terjebak dalam perangkap syaitan. Puasalah antara faktor yang boleh mengawal nafsu remaja supaya wujud asas kestabilan.

realiti

Remaja juga memiliki sifat suka berangan-angan dan bersifat idealistik. Memiliki idealisme tidaklah salah bagi seseorang remaja. Idealisme saja tanpa memahami batas mampu dan realiti tidak mungkin boleh menjadikan remaja seorang yang mampu mengimbang antara angan-angan dan cita-cita, antara khayalan dan kenyataan.

Melalui proses puasa, remaja boleh memberikan perimbangan kerana pengalaman berpuasa membatasi remaja dalam melakukan perkara-perkara yang terlarang. Angan-angan yang mencetuskan cita-cita murni dan baik, adalah senafas dengan hikmah berpuasa. Tetapi angan-angan dan idealisme yang tidak seimbang dengan kemampuan, ilmu dan memahami realiti akan menyebabkan remaja terperangkap dengan runtunan nafsu yang boleh menyebabkan jiwa remaja rasa tertekan kerana antara angan-angan dan idealisme, remaja tidak mempunyai persiapan ilmu, ketrampilan dan memahami realiti yang sebenarnya.

Sebab itulah apabila remaja berbuka puasa diharuskan supaya makan secara sederhana, lakukan ibadah sebanyak mungkin supaya hikmah berpuasa itu meletakkan remaja dalam keadaan yang seimbang. Seimbang dan sederhana dalam berfikir. Kuat dan teguh dalam cita-cita. Faham akan realiti dan suasana semasa.

Sekiranya kekuatan ini ada pada remaja, hari depan remaja akan lebih stabil kerana puasa mendidik remaja menjadi teguh dan kuat dalam tekad dan azam serta realistik dalam memahami realiti dan keadaan, dan akhirnya memilih jalan terbaik apabila ingin melakukan sesuatu.

Dan hikmah terbesar mengalami proses berpuasa ialah mengekalkan remaja sentiasa dalam keadaan fitrah. Keadaan yang fitrah ialah keteguhan hati dan pemikiran remaja yang sentiasa mempunyai tekad ingin melakukan sesuatu yang Allah suruh dan menjauhkan sesuatu yang terlarang. Sekiranya asas ini kukuh pada amalan remaja, ia bakal membentuk watak contoh yang akan ditiru oleh rakan sebaya.

Pengaruh terhadap rakan sebaya supaya contoh yang baik menjadi sumber ikutan, harus menjadi fokus utama dalam hidup remaja. Pengalaman menunjukkan betapa besarnya pengaruh rakan sebaya dalam membentuk aliran pemikiran dan kegiatan remaja pada hari ini.

Sekiranya remaja merasakan tenaga fikir dan juangnya adalah penting membangun keupayaan umat, remaja perlu membangunkan bakat dan kebolehan yang ada ke arah memberi sumbangan yang benar-benar bermakna, bermula dengan cita-cita yang tinggi, azam yang kuat, usaha yang terancang, ilmu yang meningkat, akhlak yang teguh supaya remaja yang bakal menjadi dewasa mampu menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Puasa boleh menjadi sekolah rohaniah membangunkan faktor-faktor penting dan utama dalam binaan dalam diri yang menjadi tunggak kepada tindakan dan perlakuan manusia.

No response to “Hikmah puasa - Kekalkan remaja dalam fitrah”