Wednesday, December 13, 2006

Remaja bertatih - Perlukan pengalaman, tunjuk ajar

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA


AKHLAK berasal daripada bahasa Arab `Khuluq' yang membawa kaitan dengan pekerti, tingkah laku dan perangai. Dalam Islam akhlak dikaitkan dengan nilai. Nilai itu pula dihubungkan dengan al-Quran dan sunah Nabi s.a.w. Contohnya, seseorang itu dikatakan tidak berakhlak sekiranya melakukan maksiat. Maksiat pada nilai Allah (al-Quran) dan nilai sunah Nabi s.a.w. dianggap kerja-kerja yang menyalahi. Sebaliknya sekiranya seseorang itu amanah terhadap janji ia dikatakan berakhlak kerana menepati janji. Amanah kepada janji atau menepati janji adalah ajaran daripada Allah dan ajaran daripada Nabi. Oleh itu konsep akhlak dalam Islam berkait rapat dengan nilai Ilahi dan nilai Nabi. Apa yang Nabi lakukan kita ikut dan apa yang Allah tidak suruh atau larang, kita jauhi.

Moral daripada bahasa Latin `mores' yang juga berkait dengan tingkah laku, pekerti dan perangai. Rujukan moral tidak semestinya berkait daripada sumber agama. Umumnya orang Barat menghubungkan status atau ukurtara moral dengan apa yang diterima sebagai suatu norma atau kebiasaan. Sekiranya ukurtara moral tentang sesuatu perlakuan diterima, ia dikatakan bermoral. Contohnya, sikap pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dianggap suatu kelaziman atau kebiasaan, ia tidak berkait langsung dengan moral. Berkucup di khalayak ramai di kalangan orang-orang Barat tidak dikaitkan dengan moral yang buruk.

Pedoman

Dalam Islam akhlak itu berkait dengan sumber agama. Islam membenarkan pergaulan walaupun dengan berlainan gender atau jenis. Tetapi Allah dan Rasul memberikan pedoman cara mana pergaulan harus berlaku supaya ada batasan dan sempadan bagi mengelakkan maksiat dan kemungkaran. Berkucup di khalayak ramai dari sudut Islam tidak bermoral kerana ia sudah melampaui batas syarak.

Jadi moral dan akhlak ada bezanya kalau ditinjau dari sudut konsep dan amalan, walaupun kadang-kadang ada orang memahamkan moral dan akhlak itu sama. Yang berbeza bukan saja dari sudut istilah tetapi juga konsep. Konsep moral tidak semestinya dirujuk dengan pertimbangan agama tetapi konsep akhlak dalam tradisi Islam di rujuk dengan pertimbangan agama.

Remaja adalah tahap umur di peringkat pembinaan dan pembentukan. Isu akhlak ini adalah isu yang sangat rapat hubungannya dengan remaja. Remaja zaman ini perlu bergaul, perlu berkomunikasi, tidak anti-sosial, daya mobilitinya tinggi, bakatnya subur berkembang. Isunya bagaimana kecenderungan yang fitrah ini dapat disalurkan dengan bijaksana supaya antara kecenderungan atau naluri dengan batas syarak diambil kira.

Sekiranya remaja bergaul dengan berlainan gender atau jenis bagi maksud belajar, bertukar-tukar fikiran atas maksud kebaikan, bertukar-tukar maklumat atas niat memperkayakan pemikiran, tidak terdedah de-

ngan fitnah, ia diharuskan oleh Islam. Syarak memberikan batas supaya akhlak pergaulan remaja terpelihara. Selalu berlaku apabila pergaulan melampaui batas, nafsu memainkan peranan.

Komunikasi

Di sinilah bermulanya perkara-perkara negatif yang boleh membawa kepada maksiat. Oleh itu remaja harus beriman supaya ia menjadi benteng apabila bergaul dan berkomunikasi. Kalau remaja memiliki taqwa yang tinggi pergaulannya akan menjadi sihat dan komunikasi tidak akan menyeleweng kerana kita insaf Allah melihat dan Allah mengetahui.

Remaja, dalam menjalani hidup yang banyak ujian, dugaan dan pancaroba perlukan pedoman dan bimbingan. Remaja adalah di peringkat bertatih, memerlukan banyak pengalaman dan tunjuk ajar. Remaja adalah amat berpotensi sama ada menerima akhlak yang baik atau sebaliknya. Remaja dalam hidupnya memerlukan model-contoh sama ada bersifat tingkah laku mahupun perbuatan. Kekuatan akhlak ada kaitannya dengan peranan remaja apabila dewasa nanti. Sekiranya remaja berakhlak mulia pada zaman remajanya ada harapan zaman dewasanya akhlak mulianya lebih kukuh lagi.Tetapi sekiranya di peringkat remaja akhlaknya sudah rosak, susah diharapkan zaman dewasanya ia menjadi baik kecuali berlaku keinsafan dan kesedaran kembali ke pangkal jalan semula. Bayangkan remaja yang rosak pemikiran, pergaulan dan cara hidupnya apakah ia ada harapan untuk menjadi bapa dan ibu yang baik untuk keluarga, ketua dan pemimpin organisasi yang baik untuk kakitangan atau pemimpin atau tokoh yang baik untuk masyarakat.

Umat Islam tidak mampu lagi menanggung kerosakan akhlak di kala-

ngan remajanya kerana bayangan kerosakan yang ada akibat pergaulan bebas, keterlibatan dengan dadah dan AIDS, kegilaan kepada cara hidup hedonistic (seronok-seronok) amat menakutkan. Harga untuk dibayar terhadap kerosakan ini terlalu mahal. Ia boleh menyebabkan umat Islam mundur dan dijajah terus.

Cabaran

Kita harus mampu melepasi belenggu ini. Jawapannya ialah remaja harus berakhlak mulia. Dengan akhlak mulia ia menjadi harapan generasi hari depan. Dengan pekerti yang baik, ia menjadi harapan penguasaan ilmu dan tamadun. Dengan budi bahasa yang tinggi ia meninggalkan adab yang boleh diteladani. Oleh itu akhlak sewajarnya menjadi landasan remaja dalam mengharungi hidup yang penuh dengan cabaran.

Pertama, para remaja harus meningkatkan pengetahuan, ilmu dan amal Islaminya. Ia menjadi asas membangunkan benteng minda dan benteng hati untuk menghadapi cabaran. Ia adalah satu tanggungjawab akhlak.

Kedua, hubungan dengan ibu bapa dan keluarga mestilah baik. Kesediaan mendengar nasihat dan teguran , minat yang tinggi untuk belajar dengan cemerlang, tekad untuk menjaga maruah diri dan keluarga, berazam untuk membangunkan umat dalam bidang yang di khususi. Ia juga adalah tanggungjawab akhklak.

Ketiga, bersikap terbuka dan sederhana dalam perlakuan dan tingkah laku. Bersikap terbuka bermakna kesediaan kita berbincang, bertukar-tukar fikiran, berbeza pendapat dan memanfaatkan kebaikan daripada orang lain. Sederhana bermakna kita memahami realiti masyarakat di sekitar kita yang berbilang dan menuntut kesederhanaan supaya apa yang kita hasratkan dengan apa yang ada membawa kita perimbangan yang baik supaya cita-cita untuk berubah terus berlaku dan terus terjadi. Ini juga satu tanggungjawab akhlak.

Keempat, bersikap proaktif apabila berdepan dengan cabaran-cabaran baru terutama dalam zaman globalisasi ini. Tidak semua pengaruh globalisasi harus kita tolak. Kepentingan ilmu tentang komunikasi dan telekomunikasi harus dipelajari. Proaktifnya di sini ialah apabila terdapat perkara-perkara negatif yang dipersembahkan oleh alat, para remaja harus bersedia memikul amanah mencari dan membina alternatif yang terbaik dan serasi dengan cita rasa kita orang-orang beragama.

Persiapan

Oleh itu komitmen atau iltizam akhlak ini bukan hanya sekadar gambaran citra diri tentang kebaikan, kesantunan dan adab tetapi yang lebih dituntut ialah maksud akhlak dalam melaksanakan tanggungjawab bina bangsa dan umat ke arah perubahan, kemajuan dan peradaban yang lebih bermakna. Di sini menuntut para remaja membuat persiapan awal sebagai kader-kader ilmuan yang bakal meneroka bidang-bidang yang lebih releven dengan zamannya dan mendukung kualiti akhlak yang tinggi.

Sekiranya para remaja yang membuat persiapan masuk ke alam dewasa istiqamah atau teguh hati melakukan penerokaan kreatif terhadap ilmu dan kreativiti, ia memberi petanda baik bahawa remaja Islam mempunyai tekad tinggi untuk tidak saja bersifat pengguna kepada ilmu dan tamadun orang lain tetapi ingin menjadi penyumbang terhadap kesejahteraan umat manusia. Jiwa besar beginilah yang terkait rapat dengan kedudukan akhlak seseorang.

Apakah para remaja, belia dan orang dewasa dikatakan berakhlak sekiranya ilmu yang kita terima, pengalaman yang kita kongsi, ketrampilan yang diberi menyebabkan jiwa dan pemikiran kita terus terjajah? Jiwa merdeka menuntut kemampuan untuk kita bebas daripada belenggu yang boleh mendorong remaja, belia dan orang dewasa berdikari, bersikap proaktif dan kreatif supaya akhirnya kita menjadi generasi yang tidak menolak faedah berbanding daripada faktor luar diri dan mampu menampilkan citra sendiri dalam membina kemajuan dan pembangunan.

No response to “Remaja bertatih - Perlukan pengalaman, tunjuk ajar”