Friday, December 15, 2006

Berfikir menjana ilmu

Oleh DR. SIDEK BABA

BERFIKIR ialah suatu aktiviti akliah dan rohaniah yang berlaku pada seseorang akibat adanya kecenderungan mengetahui dan mengalami. Ia disusun dengan teratur supaya lahirnya makna, fakta dan kefahaman.

Akal manusia berfungsi untuk mengingat, berfikir dan menaakul. Daripadanya kegiatan berfikir berlaku.

Manusia diberi daya kognitif yang membolehkannya berfikir. Manusia juga diberi daya efektif yang membolehkan emosi, perasaan dan kerja hati berhubung dengan daya kognitif. Daripadanya lahir pemikiran. Pemikiran yang berkembang boleh memberi asas kepada lahirnya ilmu.

Pada diri manusia terdapat sumber ilmu. Persekitaran yang ada pada diri manusia terkandung ilmu. Pohon-pohon yang subur, haiwan pelbagai jenis, sumber-sumber hasil bumi yang banyak terkandung ilmu. Peristiwa yang berlaku, perubahan yang terjadi, rahmah dan nikmat yang banyak terkandung ilmu. Allah jadikan semuanya adalah untuk manfaat manusia. Ia mendorong manusia berfikir kerana daripada aktiviti berfikir manusia akan dapat manfaat ilmu.

Ilmu menyebabkan manusia tahu dan menerima makna akan sesuatu. Akhirnya dengan ilmu manusia tahu nilai guna sesuatu dan hikmah daripada sesuatu kejadian.

Para remaja perlu menyuburkan naluri ingin tahu dengan cara berfikir. Berfikir harus dipandu oleh maklumat, fakta dan ilmu. Sejarah pemikiran bukanlah sesuatu yang baru. Sejak Nabi Adam, manusia pertama, proses berfikir sudah berlaku. Sebab itu Allah ajarkan Nabi Adam tentang nama-nama sesuatu supaya dengan mengetahui nama-nama tersebut menjadikannya serba tahu dan ia amat bermakna untuk memandu kehidupan.

Remaja tidak tiba-tiba dewasa dan matang dalam berfikir apalagi mempunyai nilai yang betul tentang sesuatu perkara. Proses bertatih dalam berfikir adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Naluri ingin tahu, ingin mencuba, ingin mengkaji harus tumbuh dalam hati remaja supaya sesuatu yang dilihat dan diperhati tidak hanya berlaku begitu saja tetapi menyebabkan aktiviti berfikir berlaku. Dengan membaca, menonton, berkomunikasi, melihat gelagat dan masalah manusia yang silih berganti, ia membolehkan remaja berfikir.

Aktiviti berfikir membolehkan remaja mendapat jawapan, melakukan analisis dan ia memberikan asas yang baik untuk remaja mencari jalan keluar, meneliti akar masalah dan akhirnya mampu menghasilkan sudut pandangan terhadap sesuatu.

Ibnu Nafis, Ibnu Sina, Al-Batani, Az-Zahrawi, Newton, Einstein, Kepler, Plato, Aristotle dan ramai lagi ahli ilmu, ahli falsafah dan ahli fikir memulakan aktiviti saintifiknya dengan berfikir. Genius ini memiliki kekuatan berfikir yang luar biasa. Bila melihat langit, bintang-bintang, cakerawala yang beredar, hujan yang turun, petir kilat sambar menyambar, sakit dan kematian, ia mendorong mereka berfikir. Hasil daripada pemikiran lahirlah tanggapan dan kesimpulan terhadap sesuatu. Daripadanya ilmu subur dan hidup lebih bermakna.

Dalam tradisi orang Barat sejak zaman Plato, Aristotle dan Socrates membawa ke zaman Galileo, Bruno sehinggalah ke zaman Descartes, Kant, Derrida dan Michel Foucou pada abad ini, manusia tidak pernah berhenti berfikir. Pemikiran mereka berkembang berasaskan pemerhatian, kajian, dapatan, renungan yang bersandar kepada akal dan pengalaman.

Faktor agama, kitab dan kenabian tidak dijadikan sandaran utama. Akhirnya hipotesis dan teori tentang sesuatu dibina atas asas rasional dan saintifik bukan berasaskan autoriti wahyu atau pun agama.

Wahyu

Dalam tradisi Islam akal itu adalah sesuatu yang penting. Berfikir menerusi pemerhatian dan uji kaji tidak pula ditolak. Tetapi akal itu dipandu oleh nilai dan ilmu yang jauh lebih tinggi daripada apa yang diketahui oleh manusia. Akal manusia dan pancaindera manusia tidak mampu mencapai segala-gala. Walaupun banyak kehebatan dicetuskan oleh akal namun keterbatasannya tidak menjadikan manusia memiliki kudrat dan kuasa terhadap alam dan kehidupan ini secara mutlak.

Tradisi Islam meletakkan sumbersumber wahyu sebagai hikmah dan pedoman untuk manusia berfikir. Sumber wahyu tidak saja menyatakan perkara-perkara yang nyata tetapi juga hal-hal yang ghaib. Yang ghaib tetap wujud walaupun sifatnya tidak maujud. Keyakinan manusia kepada benda yang nyata dan wujud semata-mata belum melengkapi sifat dan hakikat kejadian itu sendiri. Roh manusia adalah sesuatu yang wujud dan tidak maujud dalam bentuk benda.

Namun, manusia yang hidup boleh berkata-kata dalam melakukan pelbagai kegiatan dan ia adalah gambaran adanya roh pada tubuh badan manusia. Sekiranya roh telah tiada, sehebat mana pun akal manusia, hati manusia dan ketangkasan jasmani manusia, ia akan kaku dan mati. Roh ialah ciptaan Allah, bukannya manusia. Yang diketahui oleh manusia tentang roh amat sedikit.

Para remaja harus melihat bahawa berfikir adalah suatu fitrah. Fitrah ini mesti dipandu oleh ilmu dan nilai. Ilmu wahyu dan nilai agama menjadikan proses berfikir lebih bermakna. Proses berfikir menjadikan remaja lebih berilmu, menjadi tahu dan menerima makna akan sesuatu dengan merujuk kepada kebesaran dan keperkasaan Allah.

Apabila sandaran berfikir sifatnya kerana Allah, hikmah berfikir akan memberi rahmat kepada remaja. Remaja akan dilatih tidak saja berfikir secara zahir tetapi faktor batini akan sentiasa menjadi aspek penting dalam kehidupan. Bila remaja melihat dan mengkaji sesuatu dengan mata zahir, ia juga harus menghubungkan objek kajian dan pemerhatian dengan mata hati dan mata batin.

Sekiranya remaja berasa kagum dengan muzik popular Barat, pemikiran yang ada tidak saja untuk hiburan mengisi kehendak hawa nafsu semata-mata tetapi tuntutan batini dan hati yang berasaskan asas rohaniah yang tinggi mahukan hiburan yang tidak membawa kepada lagha dan melalaikan. Ia harus mampu mencetuskan minda dan hati dalam titik harmoni yang mendorong manusia mentertibkan hawa nafsu, menyuburkan nilai-nilai adab dan apresiasi dan menghasilkan keinsafan yang tinggi terhadap kekuasaan Allah s.w.t..

Ilmu inilah yang sebenarnya harus dijana oleh remaja hasil berlakunya proses fikir dan zikir yang membimbing remaja supaya dekat kepada Allah.

No response to “Berfikir menjana ilmu”