Thursday, December 14, 2006

Seni dalam jiwa - Menghaluskan hati remaja

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA


SENI adalah sesuatu yang indah. Pancaran keindahan itu terlihat dalam bahasa, puisi, nyanyian dan dendangan, lukisan dan ukiran, kreativiti kraftangan, silat dan pencak. Indahnya seni menjadikan ia disukai kerana ada unsur harmoni dan syahdu, yang menyebabkan hati menjadi terhibur, perasaan menjadi terusik, lahirnya apresiasi, ada nilai estetika dan timbul rasa halus dan memberikan kepuasan rohaniah yang tinggi.

Allah menjadikan alam ini penuh dengan seni. Gunung-ganang yang dibangunkan, lautan yang terbentang luas, padang pasir seluas mata memandang, pokok-pokok pelbagai jenis, bunga-bungaan pelbagai warna, desir angin, debur ombak, kicau burung, haiwan pelbagai jenis, manusia pelbagai bangsa dan perangai membayangkan rahmat dan nikmat Allah yang amat kaya dan menakjubkan.

Daripadanya datang ilham dalam berbahasa dan puisi, lahirlah syair dan pantun, gurindam dan seloka, bait dan qitah, nazam dan berzanji, lagu dan nasyid yang memberikan keindahan bahasa dan makna, suara dan kemerduannya mengusik hati nan sunyi, rasa yang lara dan akhirnya membawa insan dalam kedekatannya dengan Pencipta, di samping merasakan itulah antara kebesaran-Nya.

Para remaja adalah kelompok yang amat sukakan seni. Rasa seni yang ada pada jiwa remaja boleh mendidik remaja memiliki kehalusan hati dan kepekaan terhadap kejadian dan penciptaan. Lalu lahirlah daya kreativiti tinggi yang membolehkan lahirnya karya yang pelbagai. Ia dibaca, ditatap, dinikmati, dihargai, dilagukan hingga menimbulkan kesan rasa yang amat indah dan bukan kepalang.

Seni adalah sesuatu yang fitrah dan minat remaja terhadap seni adalah sesuatu yang fitrah jua. Karyawan dan seniman adalah manusia yang dekat dengan keindahan dan persekitaran. Yang berlaku dalam hidupnya, yang terlihat oleh pancainderanya, yang terlintas dalam ilhamnya dipancarkan dalam kreativiti yang pelbagai dan menjadikan hidup lebih bermakna.

Jiwa remaja adalah jiwa yang mudah terusik. Ia amat sensitif terhadap keriangan dan keceriaan. Hiburan adalah minat remaja yang sangat tinggi. Daripada bait-bait kata yang didendangkan, daripada kemerduan suara dan alat yang saling mengharmoni semacam mengungkapkan resah jiwa anak muda, mewakili cetusan rasa harap dan kecewa dan akhirnya remaja rasa terhibur dan puas dengan persembahan dan nyanyian.

Dalam tradisi Islam, seni itu terpancar kerana Allah dan hikmahnya kembali kepada manusia. Dalam al- Quran disebutkan dalam surah as-Syuara' bagaimana para penyair mengembara dari satu lembah ke lembah yang lain melagukan bait-bait kata yang puitis tetapi ia tidak berlaku kerana Allah. Maka seni itu dianggap sebagai seni jahiliah.

Maksud seni itu yang terpancar kerana Allah ialah bagimana bakat dan minat yang ada menyatakan kebesaran Allah, kagum terhadap ciptaan dan kejadian-Nya, tunduk terhadap keperkasaan dan kehebatan-Nya menyebabkan lahirlah kepuasan yang mendorong hati insan kembali kepada-Nya. Ia dilakukan secara indah dan kreatif hingga menyebabkan lahirnya kesan yang mendalam dan keinsafan yang tulus terhadap Khaliq.

Bayangkan al Quran tidak saja terkandung kisah-kisah manusia dan kemanusiaan, prinsip dan pedoman, khabar gembira dan peringatan tetapi ditilawah dan dilagukan dengan urutan tajwid , tartil dan taranum dengan amat indah sekali, sehingga tercetus rasa khusyuk yang tinggi dan menyebabkan insan merasakan kedekatannya dengan Allah s.w.t. kerana kalimah Allah disebut-sebut dalam lagu dan seni suara yang amat tinggi dan syahdu.

Hikmahnya kepada manusia ialah daripada bait-bait kalimah terkandung makna tentang diri, diri dengan Pencipta, diri dengan keindahan sekitar dan diri yang dipedoman oleh hikmah (al-Quran) sebagai suluh yang menerangi jalan hidup insan. Apabila hikmah dihubungkan dengan bahasa dan sastera, lukisan dan ukiran, lagu dan hiburan, ia semakin mendekatkan manusia kepada Pencipta bukan menjadikannya lalai, melampaui batas dan kufur terhadap rahmat dan nikmat-Nya.

Remaja yang masih muda dalam pengalaman fikir dan rasa harus melihat seni sebagai sesuatu yang indah, datangnya daripada Allah dan kembali akhirnya kepada-Nya. Lagu yang dialunkan jangan sampai merangsang nafsu-nafsi sehingga menyebakan kelalaian dan kealpaan. Hiburan yang dinikmati jangan sampai menyebabkan remaja hilang ikatannya dengan Allah. Daya apresiasi yang wujud tidak menjadikan keindahan benda itu sebagai matlamat tetapi ia tetap sebagai alat yang melambangkan kebesaran Penciptanya.

Belajar menikmati seni adalah sesuatu yang fitrah. Seni itu indah dan Allah amat sukakan keindahan. Para remaja yang berbahasa dengan

bahasa yang santun, berbicara

dengan bicara yang beradab, berhibur dengan hiburan yang tidak melampaui batas, berkarya dengan karya yang halus dan kudus, bersimponi dengan simponi yang harmoni, akan menyebabkan hati remaja memiliki kekuatan bahasa seni memandu remaja memiliki jiwa yang peka sekitar, peka insan dan peka terhadap kebaikan dan keburukan.

Keinsafan

Daripadanya bakal lahir watak yang insaf tentang diri dan tanggungjawab, peribadi yang sedar bahawa hidup ini mempunyai risalah dan maksud. Akhirnya timbul keinsafan mendalam bahawa kesementaraan hidup insan diibaratkan sebagai pengembara yang terus mengembara, perantau yang terus mencari, penjelajah yang terus meneroka dan akhirnya sampai di gigi pantai, di kaki langit, di hujung kehidupan yang daripadanya lahir himpunan pengalaman yang amat bermakna menghubungkan jiwa hamba yang tunduk terhadap kejadian, kebesaran dan keindahan-Nya, patuh terhadap jalan hidup yang fitrah, taat akan titah perintah-Nya dan akur terhadap ketentuan daripada-Nya. Inilah mercu seni yang amat tinggi yang menjadi matlamat hidup setiap insan yang beriman dan bertaqwa.

Para remaja harus mampu mendidik hati dengan jiwa seni yang tinggi. Seni yang tinggi ialah seni yang melihat kebesaran Allah dalam kitab-Nya, menatap alam dengan segala macam keindahan ciptaan-Nya, merenung peristiwa dan takdir dengan kehebatan hikmah-Nya. Hanya hati-hati remaja yang seni akan merasakan kehalusan, keindahan dan kehebatan sesuatu kejadian kerana semua yang wujud dan berlaku adalah atas kudrat-Nya. Di sebalik turunnya hujan dari langit, ia menghidupkan tanah-tanah yang mati, lalu tumbuh pokok-pokok yang menghasilkan sumber-sumber rezeki kepada manusia. Terbangunnya gunung-ganang yang diibaratkan sebagai pasak-pasak bumi yang memberikan keseimbangan kepada bumi dan alam ini.

Berlakunya silih gantian siang dan malam menyebabkan suasana peralihan hari dan masa yang memberi manfaat kepada manusia. Tercetusnya kehidupan dan kejadian yang berpasang-pasang menyebabkan sesuatu itu berjalan secara fitrah. Dijadikan langit terdapatnya bumi,

dijadikan lelaki terdapatnya perempuan, diciptakan kehidupan terdapat kematian, dijadikan sihat terdapatnya sakit, dijadikan kaya terdapatnya kemiskinan, dijadikan muda terjadinya tua. Semua itu adalah gambaran fitrah kejadian dan jika diungkapkan dalam bahasa dan sastera yang indah, ia membayangkan sesuatu yang amat seni. Daripada pancaran seni yang tinggi timbul rasa keinsafan bahawa kita ini adalah

milik Allah bukan milik diri kita sendiri. Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali.

Inilah seni kudus yang seharusnya menjadi matlamat hidup remaja. Masa remaja akan menjadi sia-sia sekiranya menikmati seni dilakukan secara nafsu-nafsi yang hanya menjadikan hati terus duka-lara dan nestapa. Seni dalam hubungannya dengan hiburan, seharusnya melahirkan keriangan dan keceriaan yang tinggi bahawa keindahan pada kata dan suara, pada bunyi dan lagu adalah sesuatu yang indah apabila

remaja tidak melampaui batas. Daripada lagu dan suara tersalut keinsafan yang tinggi bahawa hidup ini tidak memberi sebarang makna, menjadi kosong dan hampa sekiranya minat kepada seni, kegilaan

terhadap lagu dan suara menyebabkan kelupaan bertambah dan kelalaian menyubur.

Di sinilah bakal lahir putusnya hubungan manusia dengan Pencipta dan ia mendorong para remaja terjebak dengan fahsya' dan mungkar. Apabila remaja tenggelam dalam gelombang seni yang nafsu-nafsi ia bakal menjebak remaja dalam pergaulan tanpa batas, mengambil dadah, hanyut dalam buaian lamunan yang khayali, akhirnya terjebak dengan amalan zina yang terkutuk. Itulah puncak seni syaitani yang menjadi igauan dan buruan sesetengah remaja hari ini. Ia bakal menghanyutkan generasi ke lembah kehancuran dan kemusnahan yang tidak ada tolok bandingnya.

No response to “Seni dalam jiwa - Menghaluskan hati remaja”