Friday, December 15, 2006

Berfikir saintifik Qurani

Oleh DR. SIDEK BABA

Dalam al-Quran terdapat hampir 200 ayat yang berkaitan dengan sains. Surah al-Baqarah ayat 164 menceritakan tentang kejadian langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, air hujan yang turun menghidupkan tumbuh-tumbuhan, peredaran angin dan awan yang tunduk terapung-apung antara langit dan bumi dan lain-lain.

Surah al-Anbiyak ayat 33 mengisahkan tentang kejadian siang dan malam, matahari dan bulan. Setiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (angkasa lepas).

Surah az-Zariat ayat 7, merakamkan mengenai langit yang mempunyai jalan-jalan (sistem orbit). Surah az-Zumar ayat 6 menyatakan Allah menjadikan manusia dalam kandungan ibu berperingkat-peringkat dalam satu kejadian ke satu kejadian dalam tiga suasana yang gelap gelita.

Al-Quran sebagai suluh memberikan pedoman berfikir kepada saintis Islam mengkaji hikmah di sebalik setiap kejadian yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Muhammad ib Zakaria ar Razi (865-925), Burhanuddin Nafis (1438), Ismail Jurjani(1136), Qutb al Din al Shirazi (1236-1310), Mansur ibn Muhammad, Abu al Qasim al Zahrawi adalah sebahagian saintis Islam yang mengkaji bidang perubatan dan anatomi.

Al Biruni mengkaji ilmu putaran bumi 600 tahun lebih dahulu daripada Galileo dan 700 tahun sebelum Newton. Ali Kushchu, saintis Islam abad ke 15, adalah orang pertama melakar peta mengenai bulan dan sebahagian kawasan bulan mengambil namanya.

Thabit ibn Qurrah, di abad kesembilan menghasilkan kalkulus (differential calculus) berabad-abad sebelum Newton. Battani, saintis abad ke 10 merupakan orang yang pertama menghasilkan ilmu mengenai trigonometri.

Al Maghribi, menghasilkan konsep equation yang hari ini dikenali sebagai Pascal Triangle, 600 tahun sebelum Pascal. Ibn Haitam, hidup di abad ke-11 adalah pengasas kepada ilmu sains optik. Roger Bacon dan Kepler menggunakan asas optik untuk kajian selanjutnya dan Galileo pula menghasilkan teleskop atas asas ilmu optik Ibn Haitam.

Al Kindi memperkenalkan ilmu relatif fizik dan teori mengenai relativiti 1,100 tahun sebelum Einstein. Shamsuddin yang hidup 400 tahun sebelum Pasteur, adalah saintis yang pertama menemui kuman. Ali ibn al Abbas hidup di abad ke 10 adalah doktor yang pertama melakukan pembedahan kanser.

Semua ini berlaku kerana dorongan saintis Islam untuk mengkaji dan memikirkan hikmah di sebalik kejadian dan kebesaran Allah s.w.t..

Berpedomankan al-Quran

Berdasarkan surah-surah yang disebutkan di atas dan contoh-contoh saintis Islam dalam berbagai bidang dan lapangan bagaimana eksplorasi saintifik berpedomankan al-Quran. Al-Quran adalah sumber ilmu. Ia mengandungi prinsip dan perisyaratan mengenai alam dan kehidupan yang perlu diterokai oleh ahli sains supaya kebesaran Allah dan tanda-tanda kehebatan Pencipta dapat dirasai dan mengukuhkan lagi iman manusia tentang kewujudan-Nya.

Para remaja Islam harus akur bahawa tamadun Islam telah merintis jalan ke arah tradisi sains umat manusia malah ke arah tradisi sains moden. Keupayaan saintis Islam melakukan penerokaan saintifik dengan jiwa tadabbur yang tinggi membolehkan tradisi sains berkembang dengan di Barat.

Barat terhutang ilmu kepada tamadun Islam. Remaja hari ini harus insaf bahawa Islam tidak hanya lahir sebagai suatu sistem kepercayaan tetapi terkandung sumber peradaban yang amat luar biasa tingginya.

Berfikir saintifik Qurani boleh membimbing remaja ke arah kaedah berfikir saintifik dengan merujuk kepada al-Quran. Al-Quran sebagai sumber petunjuk bukan sahaja memberikan pedoman tentang benda yang nyata dan konkrit tetapi menghubungkan faktor ghaibiyyat sebagai faktor penting kehidupan.

Oleh itu, berfikir saintifik Qurani merangkumi faktor nyata dan ghaib dan faktor nyata memberi isyarat terhadap faktor yang ghaib. Faktor tubuh badan manusia yang hidup adalah faktor yang nyata tetapi faktor yang menghidupkan hayat manusia atau faktor roh adalah faktor yang ghaib.

Faktor suburnya tumbuh-tumbuhan dan kehidupan adalah faktor yang nyata tetapi yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan bukanlah faktor manusia kerana manusia tidak melakukan penciptaan tetapi berlaku dari faktor ghaibiyyat iaitu kuasa Allah s.w.t..

Pemahaman asas berfikir seperti ini amat penting bagi remaja yang meyakini bahawa Islam adalah cara hidup. Allah menjadikan akal manusia dan usaha penerokaan saintifik untuk menemukan asas-asas kejadian dan penciptaan dan sedikit maklumat tentang hakikat di sebalik kejadian dan penciptaan. Faktor rohaniah remaja terkait rapat dengan kajian saintifik Qurani.

Faktor rohaniah membawa remaja kepada percaya tentang kebesaran Allah. Kebesaran Allah terlihat pada tanda-tandanya di sekeliling kita. Rahmat dan nikmat yang banyak di sekeliling kita ada tanda-tanda tentang kebesaran Allah.

Membimbing manusia

Untuk membina keimanan yang tinggi kepada-Nya, kajian dan penemuan saintifik Qurani membimbing manusia untuk mengetahui di sebalik kajian terhadap daun, akar dan pohon terdapat hikmah herba yang amat menakjubkan. Di sebalik kajian bahan gas dan uranium terdapat hikmah tenaga yang amat luar biasa kesannya.

Pada kajian bintang-bintang dan sistem orbit terdapat petanda mengenai pengaturan sistem perjalanan dan perputaran yang tidak mampu dilakukan oleh manusia melainkan kuasa yang maha perkasa iaitu Allah.

Para remaja Islam harus bersedia melakukan refleksi dan penerokaan kembali asas-asas ilmu sains yang Qurani supaya kajian saintifik tidak terpisah dengan faktor ghaibiyyah yang memberikan asas keimanan yang luar biasa kepada manusia. Islam tidak dianut secara sentimen dan emosi. Islam mendidik umatnya dengan tradisi ilmu yang saintifik.

Faktor rohaniah apabila dihubungkan dengan faktor saintifik Qurani memberikan jalan berfikir yang serasi antara faktor yang nyata dengan faktor yang ghaib.

Berfikir saintifik Qurani bakal mengembalikan semula asas epistemologi ilmu sains ke arah yang fitrah. Selama ini Barat memperkenalkan kaedah empiris yang melihat faktor uji kaji, pemerhatian, pemerolehan data dan fakta sebagai satu-satunya asas saintifik dalam rumusan dan diagnos. Tetapi tradisi sains Islam tidak menolak faktor ghaibiyyah sebagai landasan membangun epistemologi baru yang sifatnya lebih integratif. Saintis Barat cuba menyatakan bahawa agama, Tuhan dan Quran adalah dogma atau khayali dan tidak ada asas saintifik yang rasional.

Tetapi itulah yang berlaku dalam tradisi sains Islam di mana al-Quran dijadikan sumber melakukan tadabbur iaitu uji kaji dan penyelidikan saintifik.

Memang al-Quran tidak menyediakan formula yang lengkap mengenai sains tetapi al-Quran memberikan manusia perisyaratan tentang kejadian dan manusia melakukan tadabbur hasil dari perisayaratan tersebut dan akhirnya menemui fakta-fakta saintifik yang selari dengan apa yang diisyaratkan.

Asas ini memerlukan pemikiran reflektif remaja melihat kepada pencapaian saintifik kini dan melakukan rekfleksi terhadap pencapaian masa lalu. Kemudian mengolahnya kembali dalam kaedah berfikir saintifik Qurani yang bakal membawa dan membimbing manusia kembali kepada tradisi sains Islam yang asli.

Tradisi itu melakukan penerokaan terhadap yang nyata dengan yang ghaib dan akhirnya menemukan manusia dengan hikmat dan asas hakikat yang besar maknanya terhadap keimanan dan ketakwaan manusia terhadap Pencipta.

No response to “Berfikir saintifik Qurani”