Wednesday, December 13, 2006

Remaja moden - Tidak melupakan nilai agama

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA


MODEN berasal daripada perkataan Arab, `mudun'. Mudun bermakna baru. Baru dalam erti kata sesuatu yang maju dan berkembang. Ia tidak statik dan beku. Moden dalam perspektif Islam membawa makna maju dan berubah tetapi dalam lingkungan atau kerangka adab dan etika. Perubahan dan kemajuan dalam hidup adalah suatu fitrah. Apabila ilmu dan teknologi berkembang, kehidupan juga berkembang sama. Islam tidak menentang perubahan dan kemajuan. Tetapi kepentingan Islam ialah setakat mana perubahan dan kemajuan memberi makna kepada hidup itu sendiri. Sekiranya kemajuan dan perubahan menjadikan manusia lebih beradab dan bersantun, ia selari dengan konsep mudun atau moden yang diperkatakan.

Amat tidak tepat mengatakan bahawa moden itu ialah Barat, dan Barat itu ialah moden. Moden boleh berlaku di mana-mana, hatta di negara kita pun. Yang penting apakah perspektif moden itu. Sekiranya moden itu adalah perubahan dan kemajuan yang tidak berasaskan nilai dan etika murni, ia tidak selari de-

ngan tradisi kita. Tradisi Islam dalam menghadapi perubahan dan kemajuan, sentiasa mengutamakan nilai dan etika supaya perubahan dan kemajuan membangunkan akhlak insan dan nilai kemanusiaan tinggi.

Terdapat remaja yang menghubungkan maju itu ialah moden. Moden itu ialah Barat. Menjadi moden ialah menjadi Barat. Apa saja yang datang dari Barat, sama ada pakaian dan cara berpakaian, cara pergaulan, corak hiburan dianggap moden walaupun terdapat kes-kes yang me-

nyalahi nilai agama. Remaja amat mudah terpikat dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan pakaian, kebudayaan, hiburan, kesenian dan lain-lain. Tetapi terdapat amalan hidup Barat yang baik dan elok dicontohi oleh remaja. Umpamanya kerajinan orang Barat membaca, berfikir, mengkaji dan menulis adalah sesuatu yang moden dan ia baik untuk dicontohi. Bukan salah kita memilih sesuatu yang baik dari Barat untuk mengukuhkan lagi proses perubahan dan kemajuan negara kita. Oleh itu pihak remaja harus pandai memilih mana yang baik dan mana yang sebaliknya.

Pedoman yang terbaik bagi membantu kita memilih, ialah asas akhlak yang terbina pada diri remaja membolehkan remaja membuat pilihan yang tepat dan tidak menyalahi nilai agama. Contohnya apabila kita memakai jaket, suit dan tali leher, kita dikatakan moden, segak dan bergaya. Adakah ia menyalahi syarak?. Kita menggunakan komputer, telefon, telefon bimbit, internet, website, power-point dan lain-lain untuk kemudahan perhubu-

ngan dan mendapatkan maklumat yang berguna. Apakah ia menyalahi syarak? Kita makan menggunakan meja dan kerusi, memakai pinggan dan sudu apakah ia menyalahi syarak?

Semua yang disebut adalah alat dan ia dipelajari daripada orang Barat. Selagi ia berguna dan ada nilai adab dalam penggunaannya, ia tidak menyalahi syarak. Kita belajar di bilik kuliah yang berhawa dingin, menggunakan alat teknologi yang canggih, duduk di kerusi dan mempunyai meja mencatat nota, adakah ia dikatakan menyalahi syarak. Kita menggunakan kereta, membina rumah yang canggih, membeli alat-alat elektrik yang pelbagai, ia adalah alat untuk memudahkan kehidupan kita.

Dengan menggunakan alat ini kita dikatakan moden dan tidak ada salahnya dari segi syarak alat-alat tersebut memberi manfaat kepada pengguna. Yang pentingnya apakah perubahan dan kemajuan yang kita lalui, mampu mengekalkan kita dalam fitrah, dalam akhlak yang baik, dalam etika dan kemanusiaan tinggi atau sebaliknya.

Islam adalah agama yang sentiasa mendukung perubahan dan kemajuan. Islam juga agama yang bersifat terbuka terhadap faktor-faktor budaya, teknologi dan kehidupan tamadun lain, asal saja ia memberi manfaat, sesuai dengan fitrah insan dan tidak bercanggah dengan nilai-nilai etika dan nilai-nilai hak asasi dan kemanusiaan sejagat. Oleh itu elemen-elemen kemajuan sama ada dari Barat atau Timur, yang boleh mengukuhkan lagi makna kemajuan dan pembangunan yang sesuai dengan fitrah insan, boleh diterima sebagai asas.

Manfaat

Asas ini boleh dikembangkan bersama-sama faktor budaya, cara hidup masyarakat setempat supaya wujud keadaan yang lebih harmoni. Para remaja harus dapat mengenal pasti tentang unsur luar yang baik dan jati diri sendiri yang patut di pertahankan dan disuburkan. Proses ini bermaksud supaya tidak wujud kebekuan dalam budaya kita dan sekiranya berlaku perubahan, ia tidak sampai menghilangkan jati diri kita sebagai remaja. Remaja bakal mewarisi kemajuan dan perubahan yang sedang berjalan. Sekiranya remaja menginsafi bahawa sebagai generasi penerus, penerusan tidak hanya sekadar menerima sesuatu secara pergi dan datang, tetapi yang datang harus disaring dan yang pergi juga selepas proses penyaringan. Sekiranya ini berlaku ia bakal menjadikan remaja sebagai agen perubah yang menyumbang ke arah pembangunan beracuan sendiri dan bersikap terbuka terhadap faktor-faktor baik daripada tamadun pihak lain.

Dalam meneliti kemajuan kota Madinah, ia bersifat madani kerana memiliki sifat-sifat maju dan bertamadun berasaskan teras agama. Konsep muduniyyah melambangkan sebuah kota yang teratur de-

ngan sistem ibadahnya yang berpusat di masjid, sistem suffah atau pengajiannya yang melahirkan ahlus suffah atau ahli ilmu, Sahifah Madinah atau perlembagaannya yang menjadi simbol pentabdiran berasaskan syarak, kekuatan masyarakatnya yang mempersaudarakan muhajirin dan ansar sebagai saudara seakidah, dan menjadikan institusi kepimpinan dihormati dalam suatu masyarakat yang berbilang.

Modennya Rasulullah pada zamannya terlihat apabila ia bertemu dengan para sahabat yang sedang melakukan pendebungaan kurma atau tamar. Apabila ditanya oleh Rasulullah s.a.w. tentang urusan tersebut, para sahabat menjawab bahawa usaha itu adalah untuk mendapatkan hasil yang lebih. Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa ``Kamu lebih tahu urusan duniamu.'' Secara analitis, Rasulullah adalah seorang yang amat futuris melihat hari depan kerana sifat ilmu berkembang dan sifat kemahiran manusia adalah dinamik. Pernyataan Rasulullah s.a.w. itu memperlihatkan pengakuan Rasulullah mengenai aspek keahlian, kepakaran dan kepandaian yang amat perlu bagi manusia untuk keperluan manusia juga.

Walaupun kemahiran itu sesuatu yang moden atau baru tetapi ia berguna untuk manusia. Oleh itu para remaja boleh menjadi moden asal saja pemahaman tentang moden itu dalam semangat mudun atau muduniyyah yang tidak lari faktor syarak dan faktor fitrah insan. Faktor lain yang boleh dijadikan analisis remaja ialah cara muamalah dan jual-beli yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Jual-beli atau muamalah berlaku secara tukaran barang.

Pada waktu itu amalan tersebut dianggap moden kerana itulah caranya yang terbaik. Yang diutamakan jual-beli pada waktu itu ialah prinsip dan roh jual-beli yang mengambil pedoman Allah, iaitu jual-beli tanpa riba. Riba adalah lambang eksploitasi dan diskriminasi yang diharamkan oleh Allah. Rahmat dan nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah untuk kesejahteraan kita. Apabila salah guna berlaku, ia menjadi kebencian Allah.

Pada hari ini apabila bank Islam dikembangkan, takaful Islam disuburkan, ia sesuatu yang baru atau moden. Mekanisme dan produknya pelbagai dan canggih. Tetapi muamalahnya berjalan atas prinsip dan roh al-Quran, iaitu menjauhkan transaksinya dengan amalan riba. Meskipun urusannya menggunakan teknologi dan ilmu-ilmu terkini tetapi maksudnya ialah untuk mengembangkan sistem muamalah yang berasaskan syariah.

Inilah bentuk kemodenan yang diperlukan oleh umat Islam. Oleh itu kalangan remaja boleh menjadi moden tetapi bukan moden atau melalui pembaharuan yang melupakan nilai-nilai agama dan roh al-Quran. Moden mestilah selari dengan konsep mudun atau muduniyyah yang menjadi teras dan kemajuan umat manusia. Inilah landasan membina peradaban atau tamadun.

No response to “Remaja moden - Tidak melupakan nilai agama”