Thursday, December 14, 2006

Bina Negara kualiti diri remaja tentukannya

Oleh: PROF DR. SIDEK BABA

BINA Negara ialah suatu konsep di mana kita sebagai warganya turut terlibat dalam proses membina, membangun dan memajukannya. Sebagai warganegara, kita turut sama menyumbang berasaskan kebolehan, kelayakan dan kepakaran yang ada pada kita. Lebih tinggi ilmu dan kepakaran yang kita miliki ia lebih baik untuk negara.

Bagi remaja, sebagai warganegara pasti ada tanggungjawab kerana remaja bakal menjadi dewasa nanti. Sebelum menjadi dewasa remaja harus mempersiapkan diri untuk menjadi warga yang berguna dan menyumbang. Warga yang berguna ialah warga yang berilmu dan berketrampilan. Warga yang menyumbang ialah warga yang memiliki sesuatu kebolehan dan kelebihan untuk di sumbangkan. Oleh itu faktor ilmu dan ketrampilan adalah amat penting diterokai dan dikuasai oleh remaja. Lebih-lebih lagi sekiranya ilmu dan ketrampilan itu yang berkait dengan keperluan semasa. Di antara cabaran utama penerokaan ilmu pada masa kini dan masa depan ialah yang berkaitan dengan hal-hal genetik, robotik dan ict-digital.

Islam adalah agama yang sentiasa mendukung proses Bina Negara. Kasih dan cinta terhadap negara adalah sebahagian gambaran keimanan seseorang. Menyumbang dan membangun negara adalah gambaran amanah terhadap diri dan masyarakat. Ilmu yang bermanfaat dan ketrampilan yang berguna adalah asas-asas yang dituntut untuk membina negara. Akhlak yang baik, kepimpinan yang berkualiti, pengikut yang taat adalah tunjang kepada kekuatan sesebuah negara. Rasulullah s.a.w. umpamanya membina kota Madinah berasaskan prinsip-prinsip akhlak, tanggungjawab kepimpinan yang tinggi dan memiliki pengikut yang taat. Keadaan berbilang agama di Madinah menjadi penyumbang terhadap wujudnya masyarakat Madani yang menjadikan Piagam Madinah sebagai sandaran dan rujukan. Khalifah Omar Ab.Aziz umpamanya, memimpin umat Islam pada zaman Abbasiyah dengan keunggulan amanah dan akhlak diri, menampilkan kualiti kepimpinan beriman dan membangunkan negara dan umat atas asas keadilan. Tidak hairanlah pada zamannya hubungan, ulama-umara' berjalan dengan baik, kemakmuran begitu nyata sehingga wang zakat pun sukar untuk diagihkan, tradisi ilmu berkembang dengan hebatnya. Oleh itu proses Bina Negara adalah suatu taklif atau amanah yang perlu disempurnakan.

Remaja merupakan kelompok yang amat berpotensi digerakkan untuk proses Bina Negara. Pada diri remaja terdapat ruang untuk menguasai ilmu dan ketrampilan, wujud tenaga yang baik untuk membangunkan negara di samping semangat juang yang tinggi untuk maju. Tetapi remaja juga boleh menjadi tidak menyumbang ke arah Bina Negara. Sekiranya remaja tidak menjadikan pembinaan diri atau akhlak sebagai keutamaan, ilmu-ilmu semasa sebagai fokus dan menguasai ketrampilan yang berguna sebagai landasan, kehidupan remaja dan dewasanya nanti pasti tidak menyumbang. Apatah lagi remaja yang terjebak dengan amalan ketagihan dadah, seks bebas, amalan hedonistic (berseronok-seronok), akan menjadi beban kepada negara.

Remaja harus insaf bahawa hari ini dalam proses Bina Negara kita berdepan dengan persaingan yang sengit. Negara yang maju dan negara yang membangun, banyak ditentukan oleh kualiti diri remaja dan kualiti ilmunya. Remaja adalah kelompok tenaga kerja yang dinamik, sekiranya dinamika dirinya disertai dengan keinsafan yang tinggi, bahawa remaja memiliki daya juang yang hebat untuk memajukan dirinya, sekali gus memajukan negaranya. Remaja harus selalu bertanya apakah sumbangan dirinya terhadap negara, bukan hanya bertanya apakah sumbangan negara terhadap dirinya.

Pertama, remaja harus membina suatu tekad yang tinggi bahawa kita dilahirkan ke dunia bukan untuk menjadi beban, sebaliknya kita dilahirkan untuk menyumbang. Menjadi remaja dan muda hanya sekali. Tempoh ini adalah tempoh yang amat kritikal sama ada remaja akan menjadi manusia berguna atau sebaliknya. Tempoh ini remaja amat sensitif tentang pengaruh persekitaran. Remaja cenderung mencuba sesuatu yang baru dan popular dan sering terikut-ikut dengan resam keremajaan berasaskan `buat dulu kemudian tahulah rasanya'. Sayangnya remaja selalu terjebak dengan kecenderungan ini. Merokok dan mengambil dadah adalah antara hal-hal yang menjadi minat remaja. Harus ada tekad yang kuat bahawa rokok dan dadah adalah benda-benda yang tidak baik. Tidak timbul soal ingin mencuba. Bukti yang ada di hadapan mata kita ialah ratusan ribu di kalangan remaja dan belia yang tewas akibat ketagihan rokok dan dadah. Keadaan seperti ini tidak menyumbang ke arah kekuatan negara, sebaliknya yang terjebak dengan najis dadah bakal menjadi beban dan kesusahan kepada negara dan masyarakat. Fikirkan apa akan jadi kepada kita pada masa depan, sekiranya inilah bentuk generasi yang bakal lahir.

Kedua, apabila sudah jelas visi dan misi hidup aturkan, program-program diri dan hidup supaya arahnya jelas. Sebagai remaja kesediaan untuk belajar, bertanya, mengetahui, berkongsi seharusnya menjadi landasan untuk maju . Remaja jangan bersifat tinggi diri, ego melulu atau bodoh sombong atau cerdik tidak boleh diajar dalam usaha mencari identiti dan kekuatan diri. Remaja harus bersedia untuk ditegur, dinasihati dan dibimbing. Remaja hari ini tidak lahir tanpa adanya orang tua sekarang. Dan anak-anak akan datang tidak akan lahir tanpa adanya remaja hari ini yang bakal menjadi ibu dan ayah pada masa depan. Giliran remaja akan sampai untuk memikul tanggungjawab berkeluarga. Sekiranya visi dan misi hidup kita sudah jelas, maka remaja tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan-kegiatan yang boleh merosakkan hari depan negara.

Ketiga, apabila remaja dan zaman dewasanya memiliki kekuatan ilmu dan kepakaran tentang sesuatu, lakukan sumbangan dengan amanah dan keinsafan bahawa kemuliaan sesuatu bangsa atau umat, ketinggian imej sesuatu negara atau kemajuan bergantung kepada disiplin yang tinggi, tradisi ilmu yang berkembang dan memiliki etika dan nilai kemanusiaan yang hebat bagi membangun tamadun. Keempat, remaja dan warga dewasa harus ada kesalingan, iaitu membina tradisi muafakat yang lebih kental dan menyeluruh supaya proses Bina Negara berlaku dengan terlibatnya semua pihak, dan setiap tenaga yang berguna ke arah negara merdeka dan maju dalam erti kata yang sebenarnya.

Kelima, remaja harus fokus dan tahu memberi keutamaan dalam bina diri, bina ilmu, bina sahsiah dan akhirnya bina keluarga dan negara. Remaja adalah aset atau harta yang penting bagi sesebuah negara. Fokus bermaksud, dalam dunia yang penuh dengan persaingan ini, pembangunan ilmu merupakan sesuatu yang amat penting. Perhatikan kekuatan bangsa China di Tanah Besar, bangsa India di Tanah besar dikatakan akan menjadi Kuasa Besar di abad ini. Penguasaan `chips' yang tercanggih di kalangan bangsa China dan pembinaan `Lembah Silikon' di Bangalore, India adalah gambaran suatu pendekatan meletakkan ilmu dalam bentuk penguasaan teknologi dan sains sebagai fokus. Perhatikan bagaimana bangsa Jepun dan Korea sedang menguasai sains robotik dan teknologi elektronik yang serba canggih bakal menentukan hari depan kemajuan umat manusia. Apa pula sumbangan yang patut dilakukan oleh remaja kita di Malaysia untuk bangun bersama-sama dengan bangsa Asia yang lain.

Kalau kesedaran ini tidak ada di kalangan hati remaja hari ini, ia akan mengekalkan kita sebagai bangsa pengguna dan penciplak terhadap kekuatan orang lain. Jangan terkejut akhirnya kita akan dijajah semula dan meletakkan psikologi rasa terpinggir yang lebih parah lagi. Sekiranya ada perasaan `yakin boleh' yang diikuti dengan komitmen yang tinggi ke arah kecemerlangan ilmu dan peribadi, asas ini bakal menjadikan remaja aset penting ke arah Bina Negara pada masa depan.

Tidak ada jalan singkat untuk kita maju dan bersaing melainkan faktor bina insan yang berkualiti harus berlaku di kalangan remaja. Insan berkualiti tidak saja memiliki kecenderungan meneroka ilmu dan ketrampilan sains dan teknologi tetapi dalam masa yang sama harus teguh dalam peribadi dan teladan diri. Inilah asas yang telah melonjakkan umat Islam menjadi contoh kepada orang-orang Barat suatu ketika dulu kerana pembangunan Model Insan berlaku secara holistik. Tidak saja akidah, akhlak dan ibadah mereka mantap tetapi faktor sains dan teknologi juga dikuasai sama. Inilah asas yang amat menyumbang kepada proses Bina Negara.

No response to “Bina Negara kualiti diri remaja tentukannya”