Wednesday, December 13, 2006

Ufuk Minda: Celik emosi bantu bentuk peribadi mulia

Bersama Prof Dr Sidek Baba

CELIK emosi tidak sama dengan cerdas emosi, tetapi celik emosi ada kaitan dengan cerdas emosi. Celik emosi sifatnya intuitif dan cerdas emosi berhubung rapat dengan kecerdasan intelek.

Kesuburan kecerdasan intelek menjadi lebih bermakna apabila dihubungkan dengan kecerdasan emosi kerana kecerdasan emosi memberi kestabilan dan perimbangan pada diri, terutama apabila membuat pertimbangan serta melakukan amalan.

Kesuburan kecerdasan intelek apabila dihubungkan dengan kecerdasan emosi menjadikan seseorang lebih baik dan celik. Kecelikan emosi menjadikan seseorang lebih bijaksana dalam mengawal dan memandu emosi.

Kecelikan emosi selalunya dipandu oleh ilmu, tidak hanya kepada sumber akliah tetapi merujuk sumber naqliah ataupun wahyu yang darinya seseorang mendapat hikmah yang menjadi suluh kepada akal dan emosi.

Hasil pemikiran, dapatan dan pengalaman tanpa disuluh oleh hikmah tidak memberi makna hakiki yang menjadikan emosi celik.

Kecelikan emosi yang menyebabkan berlakunya perimbangan antara akal dan emosi, membantu tindakan ke arah lebih baik dan bijaksana.

Manusia memiliki emosi, naluri dan nafsu. Naluri merangsang keinginan manusia terhadap sesuatu, nafsu menyebabkan sesuatu keinginan disempurnakan.

Sekiranya emosi celik dan sihat, naluri dan nafsu akan menjadi sihat juga. Celik emosi membimbing manusia mengetahui buruk dan baik akan sesuatu itu.

Celik emosi menyebabkan seseorang mencari dan memilih jalan terbaik bagaimana rangsangan naluri dan dorongan nafsu menemui titik-keseimbangan.

Sekiranya seseorang yang sudah aqil baligh dirangsang naluri dan nafsu yang tinggi untuk berkawan serta bergaul, kecelikan emosi yang dipandu kecerdasan akal menyebabkan seorang tahu batasan berkawan.

Celik emosi menyebabkan seseorang itu lebih amanah dalam memanfaatkan naluri, nafsu dan menjadi sumber kepada daya kawalan yang baik terhadap diri serta perlakuan.

Seperti juga tubuh badan yang sihat adalah hasil makanan dan penjagaan yang sihat. Apabila berlaku celik emosi, seseorang tidak lagi dalam kejahilan.

Ada juga orang yang memiliki kecerdasan intelek dan emosi tetapi tidak menjadikannya celik untuk mengetahui benar atau salah sesuatu.

Allah memberikan manusia yang beriman dan bertakwa dengan faktor celik emosi supaya pilihan yang dibuat adalah betul serta tepat.

Seorang remaja yang melayari internet memiliki kecerdasan intelek untuk masuk ke laman tertentu tetapi tanpa emosi yang celik, ia mungkin terdorong masuk ke laman lucah kerana naluri ingin tahu remaja mendorongnya melakukan demikian.

Bagaimanapun, celik mengenai hukum serta salah benar sesuatu menyebabkan emosinya terkawal dan memilih jalan terbaik masuk ke laman yang lebih memberi manfaat ilmu atau maklumat.

Meskipun jika masuk ke laman tidak baik, orang lain mungkin tidak tahu, tetapi celik emosinya meyakini Allah lebih mengetahui. Celik emosi sebegini menjadikan emosi seseorang sihat.

Emosi sihat bagi seseorang amat penting kerana ia ibarat air jernih yang bertakung di tasik hati dan rasa. Status air tenang dan jernih (nafs al mutmainnah) ini tidak menggelora nafsu untuk melakukan kemungkaran.

Ia dibayangkan oleh Imam Ghazali dalam menghubungkan faktor indrawi dengan kalbu. Kalbu ibarat mudrikah (takungan) yang menerima sumber dari pancaindera.

Sekiranya apa yang dilihat, ditonton, dibaca, ditatap, didengar, dihidu, disentuh dan dirasa itu sumber yang keruh atau toksik, maka bakal menjadikan emosi keruh, kacau dan bercelaru.

Sebaliknya, jika yang meresap masuk ke dalam kalbu atau tasik hati itu sesuatu yang jernih maka kejernihan yang bakal terpancar dari hati dan emosi.

Anak sejak di awal umur lagi memerlukan pupukan emosi yang baik dan stabil. Justeru, menyuburkan celik emosi menjadi perkara utama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa.

Anak-anak lahir dalam keadaan fitrah dan dari sejak lahir hinggalah ke aqil baligh, adalah tempoh yang amat kritikal dalam mendidik dan menjadikannya celik emosi.

Menyayangi anak, membisikkan kalimah baik dan merangsang, menjadikan diri sebagai contoh terbaik, kesabaran menghadapi kerenah mereka, kesediaan melakukan apresiasi, menegur secara bijak dan meyakinkan, tidak mendidik secara menggertak dan menakutkan adalah langkah yang boleh menjadikan anak celik emsoi.

Sekiranya asas itu diberi dengan memahami pertumbuhan akal, jasmani, emosi dan rohani anak-anak, kita telah memberi asas tapak dalam sikap, cara berfikir, cara tingkah laku dan membuat keputusan.

Menjadikan anak celik akal perlu diperkukuhkan dengan ilmu, bimbingan dan pedoman yang betul menjelang remaja dan zaman dewasanya.

Begitu juga celik emosinya bagi membantunya membuat pilihan yang betul dan seimbang apabila berkata-kata, memberi reaksi terhadap sesuatu, memilih jalan untuk membuat keputusan malah mengungkapkan sesuatu sebagai bahan ilmu.

Celik emosi menghubungkan emosi dan perasaan seseorang dengan daya kawalan yang baik, pertimbangan betul, keputusan bijaksana, langkah telus, komunikasi sihat dan akhirnya memberi keyakinan tinggi terhadap seseorang.

Kecerdasan akal dan kecerdasan emosi menjadi pemangkin utama terhadap celik emosi kerana inilah asas emosi yang fitrah.

No response to “Ufuk Minda: Celik emosi bantu bentuk peribadi mulia”