Friday, December 15, 2006

Berfikir ikut sunah

Oleh: DR. SIDEK BABA

KONSEP sunah dikaitkan dengan perkataan, perbuatan, perakuan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. semasa hayatnya. Sunah juga adalah refleksi dari al-Quran yang ditampilkan menerusi sahsiah Rasulullah. Sunah juga dikaitkan dengan hadis yang terkandung maksud percakapan, perbuatan dan perakuan Rasulullah. Berfikir ikut sunah bermaksud bagaimana jalan berfikir seseorang berkembang dan menjadi jalur pedoman bagi kehidupan berasaskan contoh yang diamalkan oleh Rasulullah. Amalan Rasulullah itu adalah pancaran maksud al-Quran itu sendiri.

Hadis Rasulullah dikumpulkan oleh perawi-perawi yang muktabar dan perawiannya diterima sebagai sesuatu yang sahih. Kesahihan perawiannya tidak saja dijadikan sumber ajaran tetapi juga sumber hukum. Ramai perawi yang merakamkan hadis sahih seperti Imam Bukhari dan Muslim, Ibn Majah, An- Nasai dan lain-lain rakamannya dijadikan sumber penting dalam menentukan amalan Islam, baik dalam sembahyang, hubungan kekeluargaan dan aspek ibadah yang lain.

Kisah Muaz bin Jabal seorang sahabat Nabi amat menarik dijadikan pedoman dalam membina jalan berfikir ikut sunah. Semasa dilantik menjadi Gabenor di Yaman, Rasulullah bertanya kepada Muaz apakah pedoman atau sumber yang akan digunakan apabila mengurus Yaman nanti. Muaz menjawab, menjadikan al-Quran sebagai sumber. Rasulullah bertanya lagi kalau tidak terdapat di dalam al-Quran, Muaz menyatakan bahawa ia akan merujuk sunah Rasulullah. Baginda bertanya lagi kalau tidak ada dalam sunahnya, Muaz menjawab ia akan melakukan ijtihad. Rasulullah bersetuju dengan pendirian Muaz itu. Jawapan Muaz itu menunjukkan dengan jelas bahawa pedoman membuat keputusan merujuk kepada jalur sunah.

Para remaja harus melihat bahawa berfikir secara Islam ialah dengan menghubungkan diri kepada sunah Rasulullah. Maksud sunah dalam erti kata yang luas ialah pada diri Nabi terdapat sumber contoh dan teladan yang baik untuk diikuti. Percakapan, pemikiran dan perbuatan Nabi adalah dari sumber al-Quran. Oleh itu qudwah yang terbaik dibentuk oleh Allah untuk sumber ikutan manusia terdapat pada peribadi dan diri Rasulullah sendiri.

Apa yang Nabi cakapkan terkandung ilmu, kebenaran, pertunjuk dan pedoman bagi manusia. Apa yang Nabi lakukan berasaskan pedoman al-Quran, tidak bercanggah dengan syarak, sentiasa dalam reda Allah dan memberi kesan baik kepada faktor rohani, pemikiran dan juga amalan. Apa yang Nabi perakukan, senafas dengan kata-kata dan perbuatan yang selari dengan roh al-Quran. Oleh itu asas pemikiran yang ada pada Rasulullah ialah asas pemikiran yang Qurani, terpancar dalam percakapan, dakwah, nasihat dan peringatan serta terlihat dalam amalan dan juga perbuatan.

Berfikir mengikut sunah bagi remaja ialah menjadikan jalan berfikir Nabi sebagai sumber pedoman dan ikutan dalam membentuk diri dan perlakuan. Dalam Surah Ali Imran ayat 103 Allah berfirman: Dan hendaklah kamu sekalian berpegang teguh kepada kitab al-Quran........ Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim menyatakan, Dari Zaid bin Arqam katanya, bahawa Rasulullah bersabda, Kitab Allah Azzawajalla ialah tali Allah (sebab yang membawa kepada rahmat Allah), sesiapa yang menurutnya, beradalah ia dalam dalam hidayah pertunjuk yang sebenar-benarnya, dan sebaliknya sesiapa yang meninggalkannya beradalah ia dalam kesesatan.

Ayat al-Quran dan hadis di atas yang sifatnya seiringan adalah penting bagi remaja bagi memahami al-Quran sebagai sumber petunjuk dan hidayah yang benar kepada manusia. Para remaja yang berfikir secara Qurani akan merujuk sumber sunah sebagai pedoman yang lebih terperinci. Dengan akal semata-mata pemikiran remaja menjadi terbatas.

Keupayaan akal yang dipandu oleh pemahaman dan penghayatan terhadap sunah menjadikan pemikiran lebih bermakna kerana sunah itu dari al-Quran dan al-Quran itu adalah kalam Allah yang tidak saja menyatakan sesuatu yang nyata tetapi mengkhabarkan sesuatu yang ghaib. Jalur berfikir secara sunah menjadikan faktor nyata dan ghaib sebagai tunjangan yang amat penting. Yang nyata tetap nyata dan yang ghaib tidak semestinya tidak nyata. Allah dan malaikat adalah perkara ghaib tetapi tanda-tanda kebesarannya adalah nyata.

Remaja Islam dalam perkembangan pemikirannya tentu berfikir tidak saja kepada benda dan peristiwa yang nampak dilihat oleh mata tetapi berfikir tentang iman, takwa, Tuhan, malaikat, dosa dan pahala, balasan Allah dan juga akhirat. Berfikir secara sunah membimbing remaja menjadikan al-Quran sebagai sumber ilmu, petunjuk dan sunah Nabi sebagai sumber contoh dan ikutan.

Ayat-ayat Allah adalah sesuatu yang hidup dalam kehidupan manusia. Walaupun al-Quran diturunkan lebih 1,000 tahun lalu tetapi kisah-kisah yang dirakamkan berlaku beribu-ribu tahun lalu. Allah rakamkan pelbagai kisah dalam al-Quran untuk dijadikan ibrah dan teladan kepada manusia terkemudian. Secara sunahnya apa yang berlaku pada masa yang lalu, berulang kembali pada hari ini dan bakal berulang kembali pada masa depan.

Kisah Nabi Nuh umpamanya adalah gambaran perjuangan dakwah yang memakan masa hampir 1,000 tahun untuk membawa manusia kembali kepada kepercayaan yang fitrah (hanifa) iaitu mengesakan Allah. Kisah itu menceritakan bagaimana isteri dan anak Nabi Nuh juga enggan dan akhirnya berlaku banjir besar (tsunami) menimpa umat yang engkar. Musibah ini tidak hanya berlaku pada masa yang lalu tetapi berlaku pada masa kini.

Kisah Nabi Lut juga menceritakan keengganan kaumnya kembali kepada hidup yang fitrah. Kaum Nabi Lut memilih hidup berasaskan kaum sejenis. Allah menurunkan musibah gempa yang dahsyat hingga terhapus kaum tersebut. Pada hari ini apabila kegiatan gay dan lesbian berkembang biak, maka musibah AIDS/HIV sedang datang menguji manusia yang ingkar.

Bagi remaja, berfikir cara sunah amatlah dituntut. Oleh itu amat penting bagi remaja memahami al-Quran tidak hanya menerusi pembacaan dan hafalan tetapi membaca apa yang tersirat di sebalik prinsip, pedoman, batasan, kisah dan ibrah di dalamnya kerana semuanya adalah petunjuk bagi manusia menjalani hidup yang di redai-Nya. Tanpanya pemikiran remaja akan hanya terpengaruh dengan pemikiran semasa yang kadang-kadang terlepas daripada ikatan Quran dan sunah. Ini menyebabkan remaja tercari-cari maklumat yang benar dan akhirnya menjadikan naluri dan nafsu sebagai pedoman berfikir hingga menyebabkan timbulnya kecelaruan dan akhirnya membawa remaja ke arah kesesatan.

No response to “Berfikir ikut sunah”