Friday, December 15, 2006

Minda strategik

Oleh: DR. SIDEK BABA

PERISTIWA Hijrah Rasulullah s.a.w. mendidik manusia tentang makna pemikiran dan perancangan strategik. Berfikir secara strategik dari sudut Islam mengambil dua dimensi iaitu berfikir dalam konteks hubungan dengan Allah dan berfikir dalam konteks hubungan dengan manusia. Al-Quran memberikan kita pedoman dan suluh tentang ilmu dan hikmah.

Kisah-kisah yang berlaku pada masa lalu dirakamkan dalam al-Quran sebagai ibrah atau teladan untuk manusia. Peristiwa yang berlaku umumnya di sekitar keengkaran manusia terhadap pedoman Allah menghadapi kelompok yang sentiasa taat dan patut kepada-Nya. Manifestasi daripada kisah dan ibrah berulang kembali merentasi zaman dan masa. Oleh itu berfikir strategik dalam hubungannya dengan Allah adalah mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang dirakamkan. Berfikir strategik dalam hubungannya dengan manusia adalah bagaimana pedoman Allah membimbing manusia supaya sentiasa berada dalam keadaan fitrah.

Memahami hal-hal yang nyata dan juga memahami perkara-perkara yang ghaib adalah sesuatu yang amat penting. Alam benda adalah alam ciptaan Allah. Ia tidak terjadi dengan sendiri. Bila kita mempunyai suluh dan pedoman, perkembangan akal manusia menjadi lebih terarah. Ia memberikan kita keyakinan bahawa alam ini tidak terjadi dengan sendiri dan manusia juga diciptakan untuk memiliki jiwa hamba dan khalifah supaya sumber rahmah dan nikmat dapat diurus dengan amanah dan adil.

Keperluan berfikir secara strategik perlu ada pada setiap zaman dan setiap masa. Bagi remaja, asas pemikiran strategik perlu dipelajari dan dikuasai sejak dari awal lagi. Ia menjadi penting kerana zaman remaja adalah tempoh untuk mempelajari, mengetahui dan memiliki kemahiran tertentu. Masa remaja adalah gambaran kemudaan dan kehijauan dalam pemikiran, pengalaman dan kematangan hidup.

Remaja pada hari ini akan menghadapi cabaran hidup yang jauh lebih rumit berbanding dengan remaja yang terdahulu. Faktor hiburan popular, pengaruh sistem maklumat, komunikasi dan telekomunikasi, pengaruh kebendaan dan kenafsian, pengaruh media cetak dan elektronik begitu hebat sekali mempengaruhi minda dan gelagat para remaja kini. Tanpa pemikiran yang strategik dalam menghadapi kerenah zaman dan perubahan, amat dibimbangi para remaja bakal tewas dan terjebak dengan perangkap minda, kebudayaan dan cara hidup yang direncana oleh pihak lain.

Para remaja selalunya berfikir secara ideal tanpa kadang-kadang memahami realiti.

Pemahaman terhadap realiti adalah keperluan yang amat strategik supaya remaja dapat mengimbangi antara teori dan praktis, idealisme dan realiti. Perimbangan ini penting supaya perlakuan dan pemikiran remaja tidak melampaui batas.Terdapat para remaja hari ini yang menolak faktor tradisi dan jati diri bangsanya atas alasan yang lalu itu adalah kolot dan tidak berdaya maju. Sedangkan kewujudan kita hari ini adalah hasil adanya masa lalu. Kalaulah yang lalu itu dianggap tidak relevan dengan hari ini apakah para remaja sedia menerima kenyataan bahawa hari ini dilihat oleh generasi hari esok sebagai ketinggalan zaman dan kolot sifatnya.

Dalam menghadapi realiti hidup para remaja sering terdedah dengan cabaran yang pelbagai. Oleh itu amat penting remaja membuat persiapan strategik supaya apa pun cabaran yang datang, para remaja memiliki cara dan kekuatan bagi menghadapinya. Antara faktor strategik yang perlu dimiliki oleh remaja ialah faktor ilmu yang mampu memberi kekuatan dan ketahanan akal, faktor rohaniah yang memberi kekuatan emosi, psikologi dan prinsip dan kekuatan jasmani yang memberi ketangkasan gerak dan kematangan amal.

Membangunkan kekuatan akal dan mental tidak cukup kerana jenis cabaran yang menunggu berbentuk emosi, kejiwaan dan perasaan. Membangunkan kekuatan rohaniah semata-mata tidak juga memadai kerana cabaran kemajuan hari ini menuntut kekuatan intelektual dan profesional. Kekuatan jasmani tanpa kekuatan mental dan emosi tidak akan memberi makna apa-apa kerana cabaran masa kini tidak saja memerlukan tubuh badan yang sihat tetapi juga kekuatan ilmu dan keutuhan nilai.

Secara strategik ketiga-tiga potensi dalam diri remaja harus dibangunkan secara seimbang dan harmonis supaya peribadi holistik yang dimiliki membolehkan remaja memiliki ketahanan dan kekebalan menghadapi elemen-elemen negatif baik yang bersifat pemikiran, kebudayaan malah cara dan gaya kehidupan.

Tidak salah bagi remaja mempunyai idealisme yang tinggi dan pemikiran yang berdaya maju. Tetapi idealisme perlu bertunjang kepada pemahaman realiti. Kalau tidak, idealisme remaja ibarat bunga kiambang yang kelihatan indah di permukaan air tetapi akarnya tidak berjejak ke bumi. Datang arus dan gelombang, kiambang boleh dihanyutkan. Hal yang sama juga berlaku kepada remaja yang asyik dengan fenomena realiti yang harus dipandu dengan idealisme yang baik. Bergelut dalam realiti tanpa idealisme menyebabkan remaja kehilangan arah dan pedoman dan akhirnya menjadikan remaja keliru dan hilang tujuan hidup. Hidup bagi remaja tidak lebih daripada penunaian desakan naluri dan runtunan emosi dan nafsu bukannya atas pertimbangan baik buruk dan kesan jangka panjang yang akan terjadi.

Secara strategik para remaja harus mampu mengenal potensi diri yang ada, minat dan bakat yang dimiliki kemudian menggilapnya dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan, akhlak dan peribadi teladan. Memiliki kekuatan ilmu dan peribadi adalah prasyarat penting untuk melibatkan diri dalam arus perjuangan dan perubahan. Pembangunan modal insan berkualiti sewajarnya menjadi matlamat utama remaja kerana untuk penglibatan diri dalam arus perdana menuntut persiapan ilmu, kemahiran dan upaya strategik yang tinggi.

Dalam masa yang sama para remaja harus mampu mengenal kelemahan diri yang menuntut pembaikan dan pengukuhan. Sekiranya cita-cita remaja besar, tetapi usaha membangunkan ilmu pada diri kurang, cita-cita merupakan angan-angan. Sebaliknya dengan cita-cita yang tinggi, diikuti dengan usaha yang gigih dan sistematik, kelemahan yang ada pada diri remaja akan dapat diatasi dan bakat remaja menjadi kekuatan dan aset bagi diri.

Remaja juga harus peka melakukan pemerhatian bagaimana memanfaatkan peluang yang ada di sekitar diri remaja. Peluang-peluang dalam bidang keilmuan dan ketrampilan, peluang membangunkan akhlak dan sahsiah diri, peluang-peluang pekerjaan dan ekonomi, peluang memajukan diri untuk naik seiring dengan usaha membangunkan Malaysia ke arah negara maju adalah hal-hal yang menuntut pemikiran dan perancangan strategik di kalangan remaja. Remaja yang tidak berfikir strategik adalah remaja yang mendedahkan diri untuk dirancang oleh orang lain. Jangan meniru perangai pelanduk yang sentiasa melupakan jerat sedangkan jerat tidak pernah melupakan diri pelanduk. Jangan biarkan diri dijadikan mangsa oleh orang lain hingga menyebabkan remaja Islam terjajah pemikiran dan cara hidupnya dan akhirnya menjadi abdi kepada budaya popular Barat.

Salah satu bidang yang menjadi fokus kuasa-kuasa Barat adalah melakukan penjajahan minda terhadap generasi muda Islam (al ghazwul fikr). Remaja Islam tidak harus menentang Barat semata-mata kerana ia datang dari Barat. Ada benda-benda yang bermanfaat terutama dalam bidang keilmuan, penyelidikan, sains dan teknologi yang boleh remaja ambil dan pada masa yang sama para remaja harus bersikap kritis dan reflektif terhadap apa yang diambil.

Yang harus ditentang adalah usaha kuasa-kuasa Barat melakukan pembaratan terhadap umat Islam di mana aspek sistem kepercayaan, agama, gaya hidup, cara berfikir menyebabkan remaja menjadi pengagum setia terhadap sesuatu yang datang dari Barat dan meremehkan tradisi sendiri apalagi roh tamadun yang pernah ada pada umat Islam itu sendiri. Strategi remaja Islam adalah ambil sesuatu yang baik dari Barat dan Timur, jangan jadikan diri sebagai abdi kehidupan nafsu-nafsi Barat dan Timur, kemudian bangunkan kekuatan Barat dan Timur dengan acuan keislaman yang menuntut pencerahan dan perjernihan semula. Sekiranya para remaja mampu memiliki tekad dan pemikiran sebegini, maka remaja Islam sudah memiliki perancangan dan pemikiran strategik yang tinggi dan bijaksana.

No response to “Minda strategik”