Friday, December 15, 2006

Remaja perlu kembali kepada jiwa umat Melayu

Oleh DR. SIDEK BABA

MELAYU adalah suatu nama yang dikaitkan dengan suatu bangsa. Lahirnya bangsa-bangsa ke dunia adalah fitrah kejadian Allah (al-Hujurat: 13). Pada sesuatu bangsa terdapat ciri-ciri yang sama dan berbeza.

Faktor iklim, makanan dan pemakanan, cabaran persekitaran, agama, tradisi, ilmu dan warisan membentuk budaya sesuatu bangsa, cabaran yang dilalui membawa perbezaan dan juga persamaan.

Bangsa Melayu juga tidak terkecuali daripada pengaruh agama, tradisi dan warisan yang pelbagai. Orang Melayu pernah menganut faham Hindu-Buddha dan faham warisan yang lain. Orang Melayu akhirnya menganut ajaran Islam.

Islam telah membebaskan bangsa Melayu daripada faham tahyul dan khurafat dan akhirnya menganut faham monoteisme iaitu suatu Tuhan. Asas tauhid ini menjadi sumber wadah (kesatuan) dari sudut akidah, ibadah, syariah dan akhlak yang bersandar al-Quran dan hadis.

Para remaja Melayu tidak harus berasa rendah diri kerana lahir daripada bangsa Melayu. Malah tidak harus wujud rasa bersalah bila dirinya dikenal sebagai remaja Melayu.

Ada remaja Melayu yang merasa menyesal menjadi bangsa Melayu. Nama Melayu ditukar kepada nama Barat. Kononnya nama Barat menjadikannya moden dan maju. Ada juga merasa janggal menjadi orang Islam, seolah- olah Islam berkaitan kemunduran.

Tidak kurang ramainya remaja Melayu yang sudah hilang identiti keMelayuannya. Malah setengahnya rasa amat berbangga bila dikaitkan dengan budaya lain khususnya dari Barat. Seolah-olah menjadi remaja Melayu Islam mewarisi imej kolot dan jumud.

Remaja Melayu tidak harus menjadi anti-Barat. Barat dan Timur tidak harus dimusuhi kerana di sana terdapat ilmu-ilmu berguna untuk remaja Melayu. Remaja Melayu tidak harus memusuhi teknologi. Teknologi selamanya adalah alat bukannya matlamat.

Membangunkan alat dengan perisian yang berasaskan nilai dan etika adalah tanggungjawab remaja Melayu Islam. Tekad untuk membangunkan program-program media cetak dan elektronik berasaskan acuan sendiri sewajarnya menjadi matlamat remaja Melayu Islam.

Rasulullah s.a.w. diberikan ajaran mengenai kebaikan, kebenaran, kesejahteraan, rahmah dan nikmat supaya disampaikan kepada bangsa Arab. Bangsa Arab di Mekah pada waktu itu menganut ajaran yang mensyirikkan Allah. Bangsa Arab kemudiannya berubah menjadi bangsa yang berakhlak mulia dan menjadi umat contoh.

Remaja Melayu harus bersyukur berada dalam Islam. Melayu sebagai suatu bangsa apabila ditindikkan dengan Islam ia sebenarnya menghubung diri dengan suatu agama yang mengaturkan cara hidup yang lengkap dan sempurna. Menjadi Islam bermakna menjadi sebahagian dari suatu tamadun besar yang mendukung kemuliaan ilmu dan mertabat diri. Makna umat yang dikaitkan dengan orang-orang Melayu menjadikan umat Melayu sebagai bangsa yang berwibawa.

Konsep umat membayangkan suatu kesatuan yang besar antara bangsa-bangsa yang diikat oleh kesatuan akidah yang membentuk ke arah kesatuan ummah.

Al-Quran menyebutkan konsep ummatan wasata iaitu umat pertengahan dan konsep khaira ummah iaitu umat terbaik sebagai landasan contoh. Umat Melayu dalam konteks ummatan wasata dan khaira ummah seharusnya memiliki ciri-ciri mulia sebagai suatu bangsa yang menjadikan Islam sebagai sumber terbaik bagi membentuk watak Melayu contoh.

Watak Melayu contoh ialah memiliki kekuatan akidah yang teguh. Tidak mudah luntur dengan ajaran sesat dan ajaran yang boleh membawa mereka kepada syirik. Tidak mudah cair dengan pengaruh-pengaruh dari Barat dan Timur yang bercanggah dengan nilai-nilai karamah insan atau kemuliaan diri insan.

Watak Melayu seharusnya memiliki akhlak contoh dalam kepimpinan dan kepengikutan, dalam keluarga mahupun masyarakat. Watak Melayu yang unggul dan cemerlang adalah watak yang menterjemahkan makna ibadah dalam pengertian yang luas. Ibadah tidak saja melakukan solat atau siyam tetapi roh as solat atau roh as siyam iaitu natijah amalan solat dan siyam menjadikannya insan yang muttaqin iaitu berjiwa rukuk dan sujud sebagai lambang kehambaan yang tinggi terhadap Allah s.w.t..

Watak Melayu yang cemerlang adalah watak bangsa yang berdisiplin. Faktor syarak menjadikan bangsa Melayu mempunyai adat dan kelaziman, peraturan dan hukum yang mentertibkan kehidupan yang selari dengan keperluan syarak. Tanpa pematuhan kepada jalur syarak menyebabkan umat Melayu kehilangan arah dan akhirnya mengalami kecelaruan dalam hidup.

Kegiatan ‘Mat Rempit’ adalah bayangan remaja Melayu yang sedang kehilangan diri dan kehilangan arah dalam hidup. Jiwa berontak terhadap keluarga, masyarakat, undang-undang dan sistem adalah akibat tidak menjadikan akhlak sebagai sumber kekuatan. Pendidikan keIslaman berlaku dalam batas fikir tetapi tidak dalam batas hayat dan amal. Jiwa keiibuan dan kebapaan kian tercabut dari rumah menyebabkan anak-anak menjadi remaja dalam kekontangan rohaniah dan nilai-nilai murni.

Orientasi kebendaan dan kenafsian sudah mula menjadi buruan remaja. Ragam hiburan yang melampaui batas menjadi bahan sajian yang enak untuk remaja dan menyebabkan perasaan hilang malu menyubur, bertindak liar terhadap sesuatu dan akhirnya menjadi beban kepada negara dan masyarakat.

Memiliki jiwa umat yang kental menjadi jalan kembali yang terbaik. Remaja Melayu harus insaf bahawa kerosakan terhadap mereka adalah dirancang. Musuh-musuh umat menjadikan hiburan, aktiviti kelasakan yang negatif, berfaham santai menyebabkan lahirnya generasi yang tidak berfikir serius, tidak melihat hari depan dalam kecemerlangan, membiarkan dirinya di belenggu dan akhirnya jiwa mereka akan terus dijajah dan boleh menyebabkan remaja Melayu tewas dari persaingan untuk maju dan membangun.

Lebih-lebih lagi bila wujudnya kekacauan di satu pihak yang berusaha ke arah membawa remaja ke jalan kebaikan dan kekuatan peribadi menghadapi pihak lain yang mempunyai kekuatan sumber kewangan, kepakaran dan keahlian, perancangan dan kesempatan, talian dan perisian yang mengizinkan elemen-elemen kerosakan melemahkan jiwa dan peribadi remaja.

Akhirnya umat Islam terjebak di antara dua masalah ingin membangun generasi cemerlang yang memiliki akhlak mulia dan membiarkan peribadi-peribadi ini diratah oleh corak hiburan, peribadi-peribadi negatif, kelasakan melampau yang akhirnya menjerumuskan keadaan mereka yang menghasilkan beban kepada umat dan negara.

Amat penting jiwa remaja Melayu terarah kepada binaan diri, peribadi dan akhlak contoh ke arah hiburan yang merangsang nilai-nilai baik, kelasakan yang merintis daya juang yang tinggi supaya hiburan dan kelasakan dapat jadi pemangkin ke arah kekuatan bukannya keruntuhan, disiplin bukannya kekacauan dan kecelaruan. Kembali kepada jiwa umat Melayu adalah amat perlu kerana jiwa umat adalah jiwa menyelamat.

Umat yang akur dengan kebesaran Allah dan kekerdilan insan adalah umat yang sentiasa insaf akan amanah dan tanggungjawab. Remaja Melayu yang menjadikan Islam sebagai pedoman dan cara hidup akan sentiasa melihat kepentingan akidah, ibadah, akhlak dan syarak untuk kejayaan dan kecemerlangan.

No response to “Remaja perlu kembali kepada jiwa umat Melayu”