Friday, December 15, 2006

Berfikir kreatif

Proses berfikir adalah ibarat pertumbuhan sebatang pokok. Berfikir kreatif umpama pohon yang membesar menghasilkan cabang dan dahan, bunga dan buah serta memberi manfaat kepada manusia. Berfikir bermakna menjana idea atau pemikiran. Berfikir kreatif memberi makna bagaimana idea asas dikembangkan, dicambah dan akhirnya lahir idea-idea baru atau alternatif baru bagi sesuatu masalah atau keadaan.

Menurut Tony Buzan, seorang yang pakar mengenai fungsi otak, otak kiri manusia mempunyai potensi terhadap pemikiran kreatif berkembang. Pertama, manusia hidup menghadapi pelbagai cabaran, kebuntuan, tekanan dan masalah. Jalan keluar daripadanya adalah berfikir kreatif supaya wujud pilihan-pilihan tertentu bagi melegakan kebuntuan, menyahut cabaran, menghadapi tekanan dan menyelesaikan masalah.

Kedua, memang fungsi otak untuk memberi reaksi terhadap suasana dan persekitaran. Lazimnya otak manusia tidak beku. Keupayaan berfikir manusia tetap ada sama ada dipandu oleh nilai dan niat baik atau tidak. Manusia mempunyai pancaindera yang membolehkannya berhubung dengan persekitaran. Komunikasi pancaindera menyebabkan datangnya maklumat dan daripadanya manusia berfikir.

Ketiga, berfikir secara kreatif boleh membawa seseorang kepada jalan yang baik dan juga jalan yang tidak baik. Seorang remaja yang menuntut ilmu tidak saja menerima ilmu daripada gurunya tetapi menggunakan buku-buku di perpustakaan untuk menambahkan sumber. Membuat nota terhadap subjek yang berkaitan, cuba memahami dengan baik pelbagai sumber yang ada, merakamkan isi-isi penting dalam pita rakaman kemudian didengar semula dan mengajak kawan-kawan berbincang atas tajuk yang berkaitan kemudian cuba menulis isi-isi penting secara lengkap seolah-olah sedang berada di bilik peperiksaan. Remaja ini sebenarnya berfikir secara kreatif bagaimana menghasilkan banyak alternatif ke arah menimba ilmu untuk keperluan tertentu. Mengembangkan pemikiran mengikut jalan ini dikatakan berfikir kreatif yang membawa kesan positif.

Seorang remaja yang lain meminta ayahnya membelikan motosikal sebagai hadiah kerana kejayaannya dalam peperiksaan. Selepas dibelikan, remaja itu menunggang motosikal baru di hadapan kawan lain. Lalu motosikal itu diubahsuai supaya ia kelihatan secocok untuk menganggotai kumpulan Mat Rempit. Melakukan ubahsuai seperti ini juga memerlukan pemikiran yang kreatif. Tetapi kreativiti seperti ini adalah negatif kerana maksud ubahsuai itu membolehkan remaja tadi berlagak dan masuk dalam kumpulan yang gemar melanggar undang-undang jalan raya serta mengganggu ketenteraman orang ramai.

Berangan-angan

Pada tahap remaja, potensi berfikir kreatif adalah besar. Remaja adalah kelompok manusia yang suka bercita-cita, berangan-angan dan melakukan sesuatu di luar kelaziman. Tidak salah bercita-cita dan berangan-angan sekiranya idea-idea yang dikembangkan adalah baik. Bermulanya kreativiti remaja adalah hasil wujudnya keinginan yang tinggi untuk mendapat dan melakukan sesuatu kemudian membolehkan idea berkembang, jalan dicari dan akhirnya sesuatu yang dihajati menjadi kenyataan. Keadaan seperti ini bergantung

kepada sumber ilmu dan ketrampilan yang dimiliki, pengaruh kawan dan pengaruh-pengaruh lain yang membantu menyuburkan perkembangan idea yang sudah bertapak dalam benaknya. Sekiranya sumber yang diterima, kawan yang digauli, teladan yang diperoleh adalah sesuatu yang baik, ia bakal membentuk minda remaja berfikir kreatif ke arah kebaikan. Sebaliknya, jika maklumat yang diperoleh oleh remaja adalah tidak betul, kawan yang digauli adalah kawan bermasalah, persekitaran yang ada banyak mendorong melakukan perkara-perkara buruk, kreativiti juga boleh berkembang tetapi ia membawa kepada keburukan.

Rasulullah s.a.w. apabila melihat sekumpulan sahabatnya sedang melakukan pendebungaan kurma atau tamar, baginda bertanya kepada sahabat-sahabat tersebut maksud kerja itu dilakukan. Para sahabat menjelaskan bahawa maksud kerja itu dilakukan adalah untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Rasulullah menjawab, “Kamu lebih tahu urusan duniamu.” Kenyataan Rasulullah s.a.w. itu memperlihatkan sikap baginda

tidak menentang kreativiti yang baik walaupun kegiatan seperti itu adalah sesuatu yang baru di kalangan para sahabat Nabi. Ia juga memperlihatkan penghargaan Rasulullah terhadap perkembangan ilmu, ketrampilan, kepakaran dan keahlian.

Islam tidak menghalang remaja

berfikir kreatif. Orang-orang yang maju sebenarnya adalah orang berfikir kreatif. Untuk menjadikan remaja maju dalam dunia yang amat mencabar kini, remaja perlu kreatif. Remaja tidak harus membina mentaliti pengguna, peniru dan penciplak semata-mata. Untuk menjadi generasi penyumbang kreativiti dalam ilmu, ketrampilan, kajian dan penyelidikan, pembacaan dan perspektif kefahaman mestilah kreatif dan berkembang. Tanpanya idea-idea baru tidak akan lahir dan kreativiti tidak akan wujud.

Asas kreativiti dan pemikiran kreatif mesti bertitik tolak daripada perkara-perkara yang bermanfaat. Al-Quran memberikan pedoman tentang maksud ilman nafia atau ilmu-ilmu yang bermanfaat atau pedoman yanfaunnnas atau sesuatu yang mendatangkan faedah. Selain sumber-sumber ilmu daripada al-Quran dan as-Sunah yang tercerna dalam tamadun gemilang pada masa lalu, para remaja boleh memanfaatkan sumber-sumber lain baik di Barat mahupun di Timur yang berfaedah untuk manusia, kehidupan dan sistem. Inilah faedah-faedah berbanding yang perlu diolah secara kreatif supaya ia selari dengan keperluan fitrah insan.

Kepakaran

Kajilah bagaimana ulama dan ilmuan terdahulu amat kreatif dalam berfikir dan menghasilkan sesuatu. Az Zahrawi, umpamanya, hafaz Quran pada awal umur, menjadikan al-Quran sebagai sumber utama dalam mengembangkan pemikirannya dan secara kreatif mendalami ilmu perubatan bagi menghasilkan alat-alat perubatan serta berupaya melakukan pembedahan pesakit sehingga ke tahap kepakaran. Semuanya bermula apabila al-Quran memberikan suluh hikmah dan pedoman nilai bagaimana ilmu dan alat dapat digunakan untuk kebaikan manusia.

Remaja hari ini tentu melihat bagaimana Barat membangun, melakukan dominasi dalam kreativiti sains dan teknologi, ditiru pula oleh Jepun yang mengangkat tanda aras Jepun menjadi negara maju dan sedang ditiru oleh China dan India untuk menjadi negara maju serta kuasa besar. Para remaja juga harus ada tekad yang tinggi bahawa kalau orang lain boleh maju dengan daya kreativiti yang tinggi hasil wujudnya tradisi penyelidikan, remaja Islam harus juga membangunkan jiwa tadabbur yang tinggi mencontohi kehebatan ilmuan dan ulama silam dalam mengembangkan kreativiti ilmunya.

Teknologi selamanya adalah alat dan bukannya matlamat dalam hidup kita. Para remaja harus dapat menghubungkannya. Matlamat sesuatu alat adalah untuk membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada manusia. Teknologi tidak semata-mata dilahirkan sebagai alat berfungsi untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada manusia. Kandungan dalam alat, perisian dan nilai guna alat mestilah mampu menawarkan kebaikan dan faedah kepada manusia. Ia boleh dilakukan sekiranya para remaja dari awal umur lagi memiliki nilai-nilai murni dalam nilai-nilai yang baik supaya alat tidak disalahgunakan dengan kreativiti yang merosakkan. Sebuah komputer boleh digunakan secara kreatif untuk menghasilkan program dan perisian yang baik atau sebaliknya, bergantung kepada sistem nilai yang dimiliki oleh pengguna.

Sekiranya sistem nilai yang membentuk watak pengguna adalah baik, kebaikan jugalah yang bakal

menyusul. Sekiranya pengguna adalah remaja yang rakus, gopoh dan tidak dipandu oleh nilai-nilai yang baik matlamat penggunaan sesuatu akan menghasilkan kesan negatif. Berfikir kreatif mestilah disandarkan dengan nilai-nilai murni dan nilai-nilai murni boleh didapati daripada ajaran agama dan perkongsian ilmu, maklumat dan pengalaman yang baik yang terdapat dalam tamadun, budaya, tradisi orang lain yang sifatnya bermanfaat dan boleh memberi keseimbangan terhadap manusia lain dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

No response to “Berfikir kreatif”