Friday, December 15, 2006

Faktor fitrah dalam membangunkan modal insan

PADA asasnya setiap manusia lahir dalam keadaan fitrah. Remaja juga dilahirkan dalam keadaan fitrah. Yang membentuk ragam watak remaja menjadi baik atau sebaliknya adalah didikan ibu bapa dan pengaruh persekitaran. Rasulullah s.a.w. memberikan asas pendidikan yang sangat penting dengan menyatakan bahawa setiap anak lahir dalam keadaan fitrah (ibarat kain putih). Ibu bapa dan persekitaranlah yang bakal membentuk watak anak-anak sama ada ia menjadi seorang Islam yang baik atau sebaliknya.

Fitrah remaja bermaksud pada diri remaja terdapat potensi asas yang Allah kurniakan yang menyebabkan lahirnya kecenderungan, keinginan dan dorongan untuk melakukan sesuatu. Allah berikan kepada remaja akal bagi membolehkan remaja berfikir. Ia suatu fitrah. Allah berikan para remaja hati dan kalbu yang membolehkan remaja mempunyai perasaan dan keinginan. Ini suatu fitrah. Allah berikan para remaja ketangkasan jasmani membolehkan pergerakan dan perbuatan berlaku. Ini juga suatu fitrah.

Dalam konteks kembali ke fitrah atau kekal dalam keadaan fitrah, apakah akal yang dikurniakan digunakan untuk berfikir perkara-perkara yang baik, mengembangkan ilmu dan maklumat yang baik atau sebaliknya? Apakah hati dan kalbu yang dikurniakan dimanfaatkan dengan baik untuk membina emosi dan kejiwaan yang stabil atau sebaliknya? Atau apakah bakat jasmani yang diberi digunakan untuk perlakuan dan tindakan yang bermanfaat atau sebaliknya. Soalan-soalan seperti ini amat penting dijawab oleh remaja kerana tanpa kekal atau kembali ke dalam fitrah diri tidak mungkin para remaja dapat menyumbang sesuatu yang bermakna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Anak-anak bila lahir saja ke dunia diberikan suntikan imunisasi atau kekebalan daripada jangkitan cacar, measles, hepatitis B atau C dan sebagainya. Ini bermakna jasmani anak-anak sudah diberikan perlindungan daripada jangkitan virus yang boleh merosakkan pertahanan dirinya. Betapa tentang akal fikirannya? Tidakkah ada kemungkinan virus maklumat dan ilmu boleh menyerang para remaja apabila terdedah dengan berbagai bentuk maklumat dan pengaruh ilmu nanti. Bagaimana pula tentang hati dan kalbunya? Tidakkah ada kemungkinan cabaran emosi, naluri dan nafsu boleh menyebabkan virus budaya popular menyerang remaja nanti?

Soalan-soalan itu ditanyakan kerana memang fitrah remaja apabila diberikan akal yang membolehkan remaja berfikir. Tetapi berfikir untuk apa dan berfikir yang macam mana? Kalaulah remaja menggunakan bakat akal untuk berfikir perkara-perkara yang baik dan bermanfaat, bermakna remaja telah menggunakan akal untuk hal-hal yang baik dan menjadikan akal benteng untuk tidak mudah dirempuh oleh pengaruh pemikiran yang tidak sihat. Remaja juga diberikan hati dan kalbu untuk membolehkan keinginan, kecenderungan dan hajat tertunai. Sekiranya keinginan, kecenderungan dan hajat disempurnakan berasaskan nilai-nilai yang Allah reda, bermakna para remaja sedang membina benteng hati dan kalbu supaya tidak mudah dirosakkan oleh virus emosi yang melampau, naluri dan nafsu nafsi yang menyalahi syarak. Sekiranya faktor rohaniah kukuh dalam diri remaja bermakna remaja memiliki kekuatan menyaring sesuatu yang buruk dengan yang baik dan menjadikan remaja tetap berada dalam keadaan fitrah. Hatta kalau terlajak pun, remaja ada jalan kembali kerana nilai yang fitrah akan sentiasa membisik dan mengingatkan remaja tentang sesuatu yang hendak atau telah dilakukan.

Apalagi remaja diberikan dengan bakat jasmani yang menyebabkan remaja aktif, tangkas dan kadang-kadang agresif. Bakat jasmaniah ini harus dilatih menggunakan pertimbangan akal dan hati supaya ada pedoman dan neraca sebelum melakukan sesuatu. Integrasi antara bakat akal, hati dan jasmani yang Allah kurniakan kepada remaja harus dipupuk secara fitrah supaya kecenderungan menggunakannya pun seiring dengan fitrah yang baik yang ada pada remaja.

Terbaik

Kekal dan kembali kepada fitrah adalah pedoman yang terbaik bagi remaja. Ada ketikanya remaja tersalah langkah, tersilap pedoman dan hilang arah jalan, fitrah diri yang baik bakal mengembalikan remaja ke jalan yang benar. Bayangkan sekiranya remaja pada asasnya tidak ada nilai-nilai fitrah dalam dirinya, ada kemungkinan dirinya akan terus terlajak kerana tiadanya pedoman menyatakan salah benar, akhirnya naluri dan nafsu menjadi rujukan mengenai perbuatan dan amalan.

Pentingnya para remaja kekal dan kembali kepada fitrah kerana pada diri kita ada imej Islam. Remaja Islam adalah kelompok modal insan yang amat berpotensi sama ada ia membantu ke arah kecemerlangan atau sebaliknya. Remaja Islam harus insaf bahawa

musuh-musuh umat akan sentiasa memikirkan bagaimana ‘virus-virus’ yang boleh merosakkan diri remaja Islam di hasilkan dalam pelbagai bentuk hiburan, program berfoya-foya, berfikir secara fantasi dan ilusi, kegilaan remaja terhadap muzik dan cara berpakaian dengan maksud meruntuhkan benteng-benteng pertahanan diri. Maksud mereka adalah supaya para remaja Islam akan dapat dirosakkan dan kerosakan remaja hari ini tidak memungkinkan mereka akan menjadi pemikir tentang nasib umat, pejuang hak-hak kemanusiaan dan peneroka ilmu dan keterampilan yang boleh membangunkan tamadun yang berasaskan nilai-nilai kemanusiaan tinggi. Remaja yang rosak bakal menjadi beban kepada negara dan penjajahan pemikiran dan budaya akan terus mereka lakukan dan akhirnya ia akan membawa kemunduran, kerosakan dan kesan ‘penjajahan’ akan berlaku secara berterusan.

Para remaja Islam harus memiliki beberapa keperluan untuk kekal dan kembali kepada fitrah. Pertama, harus ada kecintaan untuk berilmu, menguasai ilmu dan mengamalkan ilmu dalam kehidupan. Sijil, diploma dan ijazah tidak memadai sekiranya ia tidak menggambarkan kualiti diri yang berakhlak mulia. Oleh itu kepentingan untuk belajar setinggi mungkin adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Kedua, harus ada minat yang besar di kalangan remaja untuk melakukan rekfleksi tentang asas kekuatan yang menyebabkan tamadun Islam berkembang suatu ketika dulu hingga Barat dan Timur terhutang ilmu kepada peradaban Islam. Sikap reflektif itu harus mampu mendorong remaja Islam hari ini untuk bangkit semula menguasai ilmu-ilmu Islam di samping tidak menolak faedah berbanding ilmu Barat dan Timur.

Ketiga, fitrah diri manusia terbangun dengan kekuatan akhlak dan contoh teladan. Asas ini harus diperkukuh oleh remaja dengan sistem tarbiah atau didikan yang baik supaya pada diri remaja terdapat suri teladan yang baik untuk dicontohi oleh generasi berikutnya. Kekuatan rohani harus diseimbangkan dengan kekuatan ilmu dan amal. Kekuatan rohani tanpa ilmu dan amal menjadi amalan yang tidak membawa perubahan. Ilmu dan amal tanpa dukungan kualiti rohaniah yang tinggi bakal mengheret remaja pada salah laku dan salah amal. Kualiti rohaniahlah yang memberikan pedoman nilai dan syarak yang mengekalkan remaja dalam keadaan fitrah.

Keempat, harus dibina keupayaan menyaring yang baik di kalangan remaja supaya dapat membezakan yang baik dan yang buruk, yang maaruf dan yang mungkar supaya dalam menjalani hidup, remaja tidak membiarkan dirinya dijebak oleh perangkap kefasadan yang sentiasa ternganga untuk meratah potensi muda ibarat api yang meratah daun-daun kering.

Kelima, sekiranya berlaku terlajak dalam perlakuan dan tindakan, kembali semula kepada pancang diri. Remaja

Islam diberikan asas akidah. Akidah ibarat pancang yang menghubungkan diri remaja dengan Allah s.w.t.. Pancang ini adalah ibarat layang-layang terbang tinggi. Tanpa pancang atau ikatan tali,

layang-layang akan terbabas entah ke mana. Remaja juga harus memiliki pancang ini supaya jika terlajak mereka

boleh kembali ke pangkal jalan. Jalan kembali membolehkan remaja menginsafi kesilapan yang berlaku dan kembali semula kepada fitrah. Kekal dan kembali ke fitrah adalah suatu tuntutan terhadap remaja Islam. Remaja Islam harus memiliki cita-cita besar untuk menjadikan umat Islam sebagai umat contoh. Contoh yang terbaik yang dapat diberikan adalah keteladanan diri dengan kecenderungan membangunkan ilmu, memperkasa akhlak, berjiwa penerokaan, bijaksana dalam berstrategi dan sabar menghadapi kerenah perjuangan. Inilah asas yang mengekal dan mengembalikan remaja kepada fitrah.

No response to “Faktor fitrah dalam membangunkan modal insan”