Friday, December 15, 2006

Pemikiran dan akal

Oleh: DR. SIDEK BABA

AKTIVITI berfikir selalunya dikaitkan dengan akal. Akal tidak saja membolehkan seseorang mengingat dan menaakul tetapi juga berfikir. Berfikir menghasilkan pemikiran.

Pemikiran mencetuskan idea, gagasan, andaian, pendapat, analisis, hipotesis, dan teori. Tetapi upaya akal tidak segala-gala dan pancaindera juga memiliki upaya yang terbatas. Oleh itu pemikiran manusia mengenai sesuatu juga adalah terbatas.

Keterbatasan itu menyebabkan upaya pemikiran manusia juga terbatas. Bagaimanapun, dalam keterbatasan akal juga manusia dapat berfikir dan pemikiran manusia terus berkembang menghasilkan ilmu dan kemajuan yang menakjubkan. Namun dalam al-Quran, Allah s.w.t. menyatakan dengan jelas bahawa Allah tidak pernah memberikan sebarang ilmu kepada manusia melainkan sedikit sahaja.

Keterbatasan ilmu yang Allah berikan menyebabkan manusia terus melakukan pengamatan, pencarian, penyelidikan dan melakukan rumusan dan hipotesis supaya makna sesuatu yang dicari dapat ditemui jawapan dan jalan keluarnya. Ada teori yang bersifat sementara dan relevan pada waktu-waktu tertentu dan didapati tidak relevan pula pada masa yang kemudian. Manusia terus mencari, meneroka, mengkaji dan menyelidik bagi mendapatkan formula-formula baru bagi mengatasi masalah baru yang berbangkit.

Akal manusia sebenarnya adalah wasilah atau alat, bukannya ghayyah atau matlamat. Sifat alat yang terbatas tetap selamanya terbatas. Ia akan membantu ke arah matlamat sekiranya pemikiran yang ada membantu akal untuk berkembang secara fitrah. Maklumat yang diterima, data yang diperoleh, fakta yang terkumpul memerlukan analisis supaya hikmah di sebalik kajian dan dapatan menemukan manusia dengan sesuatu yang lebih bermakna.

Allah ciptakan sesuatu dalam alam ini. Semuanya terkandung hikmah atau rahsia Allah yang amat menakjubkan. Apabila sesuatu yang dikaji dihubungkan sebagai asas benda seadanya, ia tetap kekal sebagai benda. Tetapi akal yang didukung oleh pedoman nilai melihat benda sesuatu yang lebih daripada itu. Benda akan dikaitkan dengan Penciptanya dan benda akan dihubungkan dengan kebaikan dan kesejahteraan.

Asas pemikiran sebegini memberikan akal pedoman terhadap sesuatu dan menyebabkan manusia sentiasa merasakan kekerdilan diri dalam memahami sesuatu dan kebesaran Allah dalam menciptakan sesuatu. Daripadanya lahir keimanan yang tinggi dan ketakwaan yang kental.

Pemikiran yang Islami dan Qurani tidak menolak kepentingan akal. Islam dan al-Quran terkandung nilai-nilai pemikiran yang tidak saja menghubungkan akal dengan perkara-perkara yang nyata tetapi mempedomankan akal mengenai perkara yang tidak nyata atau ghaib.

Faktor ghaibiyyat adalah faktor kejadian Allah. Faktor roh yang menjadi asas hidupnya manusia adalah sesuatu yang ghaib. Manusia yang hidup percaya bahawa dalam dirinya terdapat roh yang memberikannya hayat. Bukti kebesaran faktor yang ghaib itu dilihat daripada tanda-tanda gelagat dan kelakuan yang dimiliki manusia.

Faktor alam lepas adalah faktor yang masih ghaib atau tidak ketahuan kepada manusia. Walaupun manusia mula sampai ke bulan, robot sampai ke Marikh dan ekspedisi lain cuba meneroka angkasa lepas namun maklumat yang diperoleh masih amat terbatas. Ada berbilion galaksi dan planet-planet yang masih menjadi misteri bagi manusia yang terus beredar secara teratur dan tertib sebagai tanda-tanda kebesaran Allah yang Maha Mengatur dan Maha Sempurna.

Para remaja yang menggunakan otak kanan dan otak kiri untuk berfikir tidak hanya menggunakan fungsi otak kiri terhadap sesuatu yang berbentuk angka dan potensi menganalisis atau menggunakan otak kanan berfikir secara kreatif namun pedoman berfikir perlu ada. Sumber maklumat dan ilmu tidak hanya bergantung hasil daripada pengalaman manusia sepanjang sejarah hidup dan kreativitinya tetapi para remaja harus merujuk pedoman al-Quran sebagai sumber perkhabaran, maklumat dan petunjuk supaya pemikiran daripada akal terpedoman. Ia akan membimbing remaja menyuburkan keupayaan berfikir yang berasaskan nilai-nilai yang Rabbani iaitu menghubungkan pemikiran dengan Allah.

Para remaja harus menginsafi pemikiran popular yang berkembang dewasa ini umumnya tidak berasaskan rujukan nilai-nilai Rabbani. Hasilnya lahir faham-faham yang menolak agama atau nilai-nilai keagamaan dalam pemikiran. Faham mengenai hak asasi, faham mengenai humanisme dan saintisme, faham mengenai feminisme dan gender, faham mengenai perubahan dan pembangunan lebih banyak memberi fokus kepada material ataupun benda atau yang menyentuh tentang aspek nafsu-nafsi yang merangsang gelagat seksual manusia.

Remaja Islam harus mampu menggunakan akal sebagai asas untuk berfikir (ulul albab) ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Berfikir secara logik, mantik, rasional dan saintifik tidak akan memberi makna apa-apa sekiranya tidak dipandu oleh nilai. Nilai Rabbani yang menjadi pedoman tentang hubungan remaja dan Allah akan sentiasa memimpin remaja tentang sesuatu yang bersifat mekanistik yang dipandu oleh nilai dan etika yang Islami dan memimpin remaja ke arah amanah sebagai khalifah dan taat sebagai hamba yang soleh.

Mempelajari keterampilan berfikir, teknologi dan sains adalah sesuatu yang mekanistik. Ia tidaklah salah. Tetapi mekanisme yang tidak didukung oleh ilmu yang benar, nilai dan etika yang Islami menyebabkan nilai guna sesuatu tidak membimbing manusia ke arah kebaikan dan kesejahteraan yang sebenar.

Menjadi seorang doktor yang tidak saja melakukan rawatan terhadap penyakit tetapi mengubati jiwa dan hati pesakit; seorang jurutera, tidak saja melakukan pembinaan terhadap bangunan dan jambatan tetapi melakukan pendekatan kejuruteraan sosial terhadap masyarakat dan sistem menyebabkan pemikiran saintifik dan teknologikal tidak hanya terdapat manfaat fizikal sekali gus manfaat bina insan.

Pemikiran seperti inilah yang harus menjadi landasan penyuburan pemikiran remaja supaya para remaja tidak hanya terpaut dengan faedah berbanding yang terdapat dalam proses keilmuan dan teknologi Barat tetapi sekali gus berupaya melakukan pencernaan berasaskan acuan sendiri supaya faktor pemikiran yang berkembang sifatnya integratif dan mampu menghasilkan idea pemikiran yang tidak saja melihat faktor zahiri yang mekanistik tetapi faktor batini yang lebih fitrah.

No response to “Pemikiran dan akal”