Thursday, December 14, 2006

Fahami hakikat ketuhanan bawa remaja kepada keredaan

Oleh: DR. SIDEK BABA

Remaja adalah kelompok yang amat aktif dalam semua perkara. Remaja suka bertanya, suka mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderung lasak, berjiwa adventure, suka menarik perhatian, gemar memperaga diri, sukakan hiburan, mahu berkawan malah suka bercinta. Inilah perkembangan naluri dan fitrah remaja dalam proses membentuk diri masuk ke alam dewasa.

Sebagai seorang remaja Islam, tidak salah bakat yang baik dikembangkan. Potensi yang dimiliki remaja boleh membangunkan diri, masyarakat dan negara dan potensi itu juga boleh merosakkan diri, meruntuhkan masyarakat dan juga negara. Isu utama di sini ialah bagaimana potensi dapat digilap dan disuburkan secara fitrah dan bagaimana bakat dapat digunakan secara bermanfaat dan berfaedah. Terdapat petanda yang jelas bagaimana bakat remaja terbazir dan disalahgunakan begitu saja tanpa memahami tujuan hidup dan tuntutan persiapan diri bagi remaja.

Islam memberikan remaja jalan dan nilai. Memahami ajaran Islam secara baik membantu remaja bagaimana dapat menjalani hidup secara terancang dan memberi faedah. Islam memandu remaja bagaimana melakukan pergaulan yang sihat supaya naluri berkawan dapat dipenuhi dan batas syarak dapat dipatuhi.

Islam memberi dorongan untuk menuntut ilmu supaya apabila dewasa remaja nanti memiliki kekuatan yang amat perlu bagi pembangunan negara. Islam mendidik remaja menjadi jujur dan amanah supaya apabila mengambil tanggungjawab nanti, remaja akan mempunyai persiapan. Islam memandu remaja supaya memilih hiburan yang tidak melampaui batas supaya hiburan tidak menjadikan remaja lalai dan hilang keutamaan.

Islam tidak mengajar remaja hilang adab kepada orang tua kerana ia adalah tidak baik. Islam tidak menyuruh remaja bersifat takbur kerana orang yang takbur tidak diredai Allah. Islam tidak mengajar kita supaya miskin harta dan miskin ilmu malah Islam menganjurkan kita sejahtera di dunia dan sejahtera di akhirat. Islam tidak menganjurkan remaja supaya bersikap mundur terhadap kemajuan dan perubahan kerana keadaan sedemikian boleh menyebabkan kita hina dan dipandang rendah.

Yang lebih utama ialah harus ada jiwa yang kental bahawa remaja ada Allah yang sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat yang tidak terkira. Tanda-tanda kebesaran Allah adalah amat banyak untuk menjadikan kita yakin dan patuh kepada-Nya. Remaja tidak melakukan penciptaan terhadap sesuatu tetapi ia dilakukan oleh Allah. Remaja hanya mampu mereka, mengolah dan menggubah daripada sesuatu yang sedia ada kerana manusia ada pemikiran kreatifnya.

Bayangkan tanpa air sebagai sumber nikmat, apakah yang dapat kita minum? Bayangkan tanpa akal untuk berfikir apakah daya untuk memiliki ilmu dan ikhtiar? Kalau hujan tidak diturunkan, bayangkan tanah-tanah yang kering tidak akan subur untuk menumbuhkan pokok yang menjadi sumber rezeki manusia. Perhatikan planet yang bergerak teratur dan tersusun, siapakah pengawal kalau tidak Allah?

Manusia cuba menguruskan sistem di jalan raya. Sehebat mana susunannya, kemalangan tetap berlaku dan kesesakan sering terjadi. Betapa sistem solar dan kosmos yang berputar menyebabkan sesuatu itu berjalan dengan tepat tanpa adanya perlanggaran dan kesesakan. Kuasa apakah itu yang Maha Pengatur dan Maha Penyusun.

Remaja seperti orang lain memiliki roh. Roh itu tidak datangnya daripada manusia. Roh itu pastinya milik Allah. Disebabkan roh itu milik-Nya, Ia boleh mengambilnya pada bila-bila masa yang Ia mahu. Remaja hanya mampu berdoa dan berikhtiar. Ketentuan akhir bagi sesuatu bukan pada tangan kita. Ia milik Pencipta. Remaja dan manusia lain juga sifatnya fana atau tidak kekal. Berlaku silih gantian antara yang hidup dengan yang mati dan antara pohon yang tumbuh dan rebah.

Manusia dan makhluk tidak kekal. Tetapi siapa yang kekal? Kalau tidak ada yang kekal tentu tidak ada yang sementara. Adanya kesementaraan tentu ada yang kekal kerana yang kekal menyebabkan adanya kesementaraan. Tanpa yang kekal tidak akan ada silih gantian. Yang kekal itu ialah Allah dan yang sementara itu adalah kita. Hinggalah kita bertemu dengan-Nya nanti maka barulah Allah menentukan di mana kita.

Memahami hakikat ketuhanan boleh menyebabkan remaja yakin tentang Pencipta yang Maha Berkuasa. Daripadanya datang jiwa hamba yang tinggi. Daripadanya lahir rasa patuh, akur, taat dan tunduk. Daripadanya datang sifat melakukan sesuatu untuk mendapatkan perkenan-Nya atau reda-Nya. Bersifat jujur, baik hati, suka membantu, rajin bekerja, amanah dalam pengurusan, taat kepada ibu bapa, kasihkan guru, setia kepada kawan yang baik, cintakan ilmu, tahu membezakan baik dan buruk terhadap sesuatu adalah perkara-perkara yang Allah reda.

Sekiranya perlakuan remaja dalam reda Allah, amalan di dunia akan jadi natijah akhirat. Kebaikan yang remaja lakukan dalam hidup ini tidak saja membawa kebaikan kepada remaja tetapi membawa kebaikan kepada orang lain juga. Katakan remaja kasihkan Allah kerana Ia Maha Berkuasa dan Perkasa menyebabkan remaja akan kasihkan ibu bapa dan orang lain. Tidak mungkin orang yang benar-benar kasihkan Allah akan melakukan kezaliman terhadap orang lain.

Remaja yang beriman dan bertakwa akan sentiasa memiliki kesedaran ketuhanan yang tinggi. Remaja akan sentiasa insaf bahawa perbuatannya diperhatikan, perilakunya dicatatkan dan setiap apa yang dikerjakan sentiasa dalam pengetahuan Allah. Oleh itu pancaran kasih kepada Allah adalah gambaran ketaatan, kepatuhan yang tinggi terhadap-Nya.

Katakan remaja kasihkan ilmu kerana ilmu memberi manfaat kepada manusia. Tidak mungkin ilmu datang kepada remaja tanpa izin daripada Allah. Ilmu yang Allah reda tidak saja berguna dan berfaedah tetapi mendekatkan manusia dengan Pencipta. Apabila remaja merasai kedekatannya dengan Allah, ilmu akan terus dicari dan ditingkatkan dan amalan juga terus diperbanyak dan dikembangkan.

Kedekatan ini bukan bermakna hampir dan dekat dari segi jarak tetapi terhadap Allah dilihat dari segi bukti amalan yang Allah reda, niat yang sentiasa ikhlas dan hati remaja yang sentiasa tidak putus asa yang membayangkan usaha remaja yang berterusan untuk melakukan kebaikan kerana kebaikan walaupun sebesar biji sawi, Allah mengetahuinya. Keyakinan inilah yang sebenarnya menyebabkan remaja yakin akan reda Allah.

Sekiranya budaya atau cara hidup yang yang bersandarkan kepada reda Allah wujud pada diri remaja, ia menyebabkan para remaja tidak saja memiliki pedoman dan dorongan yang terbaik untuk memandu jalan hidup remaja tetapi budaya reda Allah ini boleh membentuk kedewasaan remaja nantinya menjadi orang yang sentiasa taat dan patuh terhadap apa yang disuruh oleh Allah dan sentiasa mengelak dan tidak melakukan apa yang dilarang. Budaya ini apabila sebati dalam diri dan amalan remaja ia bakal menjadikan remaja orang yang sentiasa dalam rahmah Allah.

Bayangkan pada hari ini ramai remaja terjebak dengan salah laku yang pelbagai. Ramai remaja menjadi mangsa dadah, salah laku sosial, malah mangsa AIDS/HIV yang akhirnya derita dan sengsara. Saksikan bagaimana mangsa-mangsa ini sudah hilang jalan kembali. Harapan untuk berperanan sudah hilang.

Hidupnya pun ibarat bangkai bernyawa. Tidak memberi guna kepada diri dan menjadi beban terhadap orang lain. Puncanya adalah kerana hilang pedoman, tunduk kepada rangsangan hawa nafsu, tidak takutkan balasan Allah dan akhirnya kelazatan yang sementara menjadi buruan.

Memilih jalan yang Allah reda adalah jalan yang terbaik bagi remaja menentukan hala tuju hidupnya. Keyakinan terhadap Allah adalah syarat utama. Allah turunkan al-Quran sebagai sumber petunjuk dan sumber ilmu. Tanpanya remaja bakal hilang pedoman kerana kekuatan akal adalah tidak segala-gala.

Allah pilih Nabi dan Rasul untuk menjadi contoh ikutan kerana tanpa sumber teladan yang fitrah remaja akan kesasaran dan memilih ‘idola’ dan ‘diva’ sebagai lambang. Allah berikan remaja rahmat dan nikmat yang banyak supaya remaja hidup dan bakal dewasa dalam reda-Nya. Inilah jalan pencarian yang perlu bagi remaja supaya hidup yang sementara memberi makna yang kekal di akhirat nanti. Inilah jalan reda yang perlu diikuti supaya remaja tidak sesat dan akhirnya menyesal.

No response to “Fahami hakikat ketuhanan bawa remaja kepada keredaan”