Thursday, December 14, 2006

Manfaatkan masa senggang

Oleh DR. SIDEK BABA

MASA senggang bermaksud masa lapang dan masa luang bagi remaja yang memerlukan cara bagi menggunakannya. Masa senggang biasanya ada pada hujung minggu atau waktu cuti atau masa-masa tertentu yang lain. Masa senggang selalu menyebabkan remaja hilang fokus dan menyebabkan salah guna masa berlaku. Masa senggang kalau digunakan dengan baik amat bermanfaat dalam menimba ilmu pengetahuan menerusi ulang kaji, mendapat maklumat baru menerusi pembacaan, perbincangan, melayari internet dan juga menonton.

Pepatah Melayu ada menyebutkan bahawa ‘masa itu emas’. Masa itu sesuatu yang amat bernilai kerana sehari yang telah pergi tidak akan kembali lagi dan sehari yang berlaku mendekatkan manusia ke hujung usia. Emas adalah benda yang sangat berharga. Bila masa disandarkan dengan benda yang berharga ia menggambarkan betapa masa yang digunakan dengan betul dan tepat, ia bakal menghasilkan sesuatu yang amat bernilai.

Dalam al-Quran terdapat sebuah surah yang membicarakan tentang masa. Allah berfirman, Demi Masa. Manusia itu sentiasa dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan orang-orang yang sentiasa berpesan untuk kebenaran dan juga dengan kesabaran. (Al-Asr: 1-3)

Manusia yang tidak menggunakan masa sebaik-baiknya adalah manusia yang rugi. Masa di sini tidak semestinya masa yang digunakan untuk melakukan sesuatu urusan yang sifatnya rasmi seperti bekerja dan belajar tetapi ia juga menyentuh tentang masa senggang yang menuntut kebijaksanaan seseorang menggunakannya. Pepatah Cina ada menyebutkan bahawa masa itu ibarat pedang. Sekiranya kita tidak menggunakannya dengan betul ia akan memenggal kita. Dalam bahasa lain masa yang tidak digunakan dan disalahgunakan boleh meninggalkan beban kepada kita.

Masa senggang bagi remaja adalah banyak. Tetapi masa senggang kadang-kadang menyebabkan remaja tidak memiliki jadual atau perancangan yang tertentu. Penjadualan waktu amat penting. Walaupun ia tidak semestinya rigid atau ketat tetapi merancang apa yang patut dibuat dan mengisi masa senggang adalah amat perlu. Hidup remaja bila berlaku kekosongan dibimbangi laluan hidup dan masa berlaku secara kebetulan atau terjadi sesuatu secara mendadak.

Hal-hal begini selalu menjebak remaja dalam keadaan hilang pilihan. Malah ia menyebabkan berlakunya pembaziran masa. Pembaziran masa inilah yang menyebabkan remaja kadang-kadang hilang keutamaan dan hilang fokus. Bila keadaan begini berlaku pengurusan masa sudah menjadi bercelaru. Remaja akan terdorong mengisi masa senggangnya atas pelawaan rakan sebaya atau menghabiskan masa di warung-warung atau di tempat berkumpul tertentu sekadar mengisi masa terluang berbicara hal-hal yang remeh temeh dan akhirnya terdorong untuk melakukan perkara-perkara negatif. Keadaan seperti ini amat merugikan bakat dan usia remaja.

Beramal

Masa senggang yang bererti bagi remaja ialah mengambil semangat surah Al-Asr iaitu beriman dan beramal soleh. Asas ini penting supaya masa senggang dapat dimanfaatkan untuk hal-hal yang berfaedah dan amat berguna untuk mengembangkan bakat dan minat para remaja. Maksud surah Al-Asr ialah mengingatkan kita tentang kepentingan masa dalam kaitannya dengan amal soleh yang kita lakukan dalam hidup ini. Mengisi masa senggang secara langsung dan tidak langsung boleh dikaitkan dengan amal soleh. Berhubung dengan kawan-kawan menerusi telefon, internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel berbicara mengenai ilmu dan fikir adalah amal soleh. Melakukan riadah dan kegiatan rekreasi untuk kesihatan badan adalah juga amal soleh. Mendengar lagu-lagu yang menimbulkan kesedaran di samping hiburan dengan lirik-lirik yang merangsang kebaikan adalah amal soleh. Membaca akhbar, majalah, buku dan menonton bahan-bahan yang tidak melalaikan adalah juga amal soleh. Menolong ibu bapa dan jiran untuk kebaikan dan kebajikan juga amal soleh. Malah apa saja kegiatan masa senggang yang Allah reda, semuanya boleh menjadi amal soleh dengan izin-Nya.

Remaja yang beriman adalah remaja yang memiliki ihsan yang tinggi. Ihsan yang tinggi meletakkan remaja sentiasa dalam taqwa. Remaja akan melakukan sesuatu kebaikan dengan ikhlas tanpa niat untuk berbangga kerana remaja tahu seluruh hidup ini adalah ibadah dan apa saja yang dilakukan baik di masa senggang atau tidak, ia dikaitkan sebagai ibadah. Bagi remaja Islam yang beriman, setiap saat yang berlalu memberi makna yang besar. Setiap jam yang berjalan ada benda-benda yang bermanfaat dilakukan. Setiap hari, minggu dan bulan yang beredar para remaja mencapai kejayaan diri dan peribadi keluarga dan akhirnya kejayaan untuk masyarakat dan negara.

Masa senggang yang ditempuhi tidak berlalu dengan sia-sia. Ia diisi dengan hal-hal yang bermanfaat hatta tidur pun boleh menjadi ibadah sekiranya tidur itu boleh memberi kerehatan dan akhirnya kekuatan untuk bekerja dan berusaha dengan lebih kuat. Masa senggang yang dirancang dan dijadual dengan baik boleh dijadikan sebagai sumber mengatur hidup. Orang yang berjaya dalam hidupnya adalah orang yang mendisiplinkan dirinya dengan masa. Mereka adalah orang-orang yang menepati masa , tidak membazir masa, tahu menggunakan masa dengan bijaksana, cemburu terhadap masa dan menghubungkan masa sebagai usaha meningkatkan amal dan ibadah.

Oleh itu amat penting bagi remaja membiasakan diri dengan menggunakan masa senggang ke arah jadual kegiatan yang baik. Bayangkan sepertiga masa remaja ialah tidur, sepertiga lagi ialah belajar dan sepertiga lagi perlu digunakan sebaik-baiknya dan di antaranya ialah masa senggang. Salah satu cara yang baik bagi remaja mengelakkan kebosanan dan kesunyian ialah melakukan komunikasi.

Remaja perlu bercakap, bercerita, mendengar pandangan, bertemu, berbual-bual, membaca, menonton dan lain-lain. Aktiviti chatting, SMS dan seumpamanya adalah satu kaedah yang tidak terlalu mahal untuk berkomunikasi. Tetapi apa yang ingin dicakapkan, dicerita, dibualkan, dibaca dan ditonton mestilah ada disiplinnya. Berceritalah hal-hal yang berfaedah. Berbual-bual mengenai sesuatu yang boleh meningkatkan daya fikir. Membacalah bahan-bahan yang menambahkan ilmu walaupun ringan dan santai. Tontonlah sesuatu yang memberi menafaat dan chattinglah dengan idea-idea yang berguna. Pembiasaan melakukan perkara-perkara yang baik dan berfaedah boleh memberi kepuasan di kalangan remaja.

Sunyi

Remaja harus memiliki daya kawalan dan pedoman terutama dalam keadaan tertekan, sunyi dan bosan. Elakkan mengisi kebosanan dan kesunyian dengan bahan-bahan dan perkara yang boleh menimbulkan ketagihan dan kesan buruk pada hati, jiwa dan amalan. Memang jiwa remaja memiliki naluri ingin mencuba. Kadang-kadang hati kecil remaja tahu bahawa percubaan melakukan sesuatu di luar kawalan diri dan hati boleh membawa kepada mudarat. Tetapi ada juga yang melanggar rasa hati dan akhirnya jiwa remaja jadi lebih tertekan.

Remaja selalu membina persepsi minda. Persepsi minda ini kadang-kadang diperkukuhkan oleh kawan-kawan. Penting sekali bagi remaja bersikap rasional dan mempunyai etika yang baik bila mendepani sesuatu masalah. Menghadapi masalah adalah perkara lazim yang ada pada remaja. Menyelesaikan masalah dengan bijaksana adalah cabaran terbesar bagi remaja. Menggunakan masa dengan bijak, kreatif dan berkesan terutama pada waktu senggang adalah cabaran yang amat utama. Bila remaja membiarkan diri dengan kilasan emosi atau mendedahkan diri kepada kesunyian yang amat menggigit atau kebosanan yang merimaskan, para remaja boleh hilang perimbangan diri. Lalu sesetengahnya mencari jalan keluar yang negatif dan akhirnya sukar menemui jalan kembali.

Oleh itu masa senggang remaja elok digunakan dengan baik dan bijaksana. Sebelum melelapkan mata pada waktu malam mulalah bina peta minda apa yang hendak dibuat pada hari esok. Lakarkan ke diari sesuatu yang berguna untuk dilakukan.

One response to “Manfaatkan masa senggang”

saNg peNciNta said...

alhamdulillah.. saya sedang membuat kajian kes berkenaan kesunyian di kalangan warga tuh, dan sedikit dari info di blog ini, boleh saya masukkan ke dalam kajian saya. berbanyak2 terima kasih. sampaikan salam pada cikgu sidek.