Thursday, December 14, 2006

Rutin hidup - Membentuk tingkah laku

Oleh PROF DR. SIDEK BABA


RUTIN hidup bermakna apa yang dibuat oleh remaja setiap hari. Dalam bahasa yang mudah, ialah jadual kegiatan remaja daripada celik mata sehinggalah menutup mata kembali. Rutin hidup berkait rapat dengan perancangan dan hala tuju hidup.

Rutin hidup apabila menjadi sebati atau membudaya, ia akan menjadi kelaziman atau kebiasaan. Ia bakal membentuk tabiat dan tingkah laku. Mengatur dan menyusun rutin hidup amat rapat hubungannya dengan remaja. Cara masa digunakan, kegiatan yang dilakukan, keutamaan dalam kegiatan harian adalah di antara perkara-perkara yang berkait rapat dengan maksud rutin hidup.

Faktor masa, dan cara menggunakan masa adalah perkara yang sangat penting bagi remaja. Hidup bagi mereka bukanlah peristiwa pergi dan datang. Maksudnya, setiap hari hidup dilalui tanpa perancangan dan kegiatan yang berfaedah. Hidup bagi remaja adalah zaman keemasan.

Masa yang berjalan perlu digunakan sebaik-baiknya kerana potensi yang ada pada remaja apabila digunakan dengan betul, bukan saja memberi faedah kepada remaja tetapi menjadikan hidup remaja lebih bermakna. Bermakna di sini, bermaksud ia tidak menjadikan masa bagi remaja berlalu dengan sia-sia. Sebaliknya perancangan penggunaan masa yang baik, akan menyuburkan bakat dan minat remaja, sekali gus mendewasakan remaja dalam kegiatan yang bermanfaat.

Oleh itu remaja kena pandai menggunakan masa supaya rutin hidupnya diisi dengan kegiatan-kegiatan yang mempersiapkan dirinya untuk masuk ke alam dewasa.

Ramai remaja tidak tahu menggunakan masa harian dan masa lapangnya. Sesetengahnya terlibat dengan kegiatan lepak, berbual-bual kosong dengan perkara-perkara yang remeh temeh, tidak meningkatkan pengetahuan dan pengalaman yang berguna. Ada yang berkumpul dan berbual-bual kosong di warung-warung, berbasikal ke hulu ke hilir, ke pusat-pusat siber, cit-cat yang tidak keruan, tersadai di pusat membeli-belah dan sebagainya.

Kadang-kadang terdapat remaja yang tidak tahu hendak berbuat apa-apa. Keadaan hidup hari-hari seperti pergaulan dengan rakan sebaya banyak menentukan rutin hidup hariannya. Oleh itu remaja perlu ada perancangan hidup supaya hidup pada zaman remaja memberi makna yang cukup tersendiri kepada dirinya.

Ia berlaku kerana remaja tidak ada perancangan dalam melalui rutin hidup dan tidak ada keutamaan dalam menjalani kegiatan hidup. Umpamanya sebagai pelajar, menimba ilmu pengetahuan sebanyak-banyaknya tidak dijadikan fokus atau keutamaan. Sebaliknya timbul rasa bosan untuk belajar dan mula terlibat dengan kegiatan seperti merokok, ponteng sekolah dan kegiatan-kegiatan yang tidak menyumbang ke arah bina diri.

Remaja selalunya menghadapi masalah menggunakan masa lapang. Sesetengah remaja menggunakan masa lapang untuk berkawan dengan kawan-kawan yang tidak membantu ke arah kebaikan, dan setengahnya terlibat dengan kegiatan merosakkan harta benda awam dan mengganggu orang lain. Sekiranya kegiatan seumpama ini terus berjalan, masa remaja terbazir begitu saja dan bayangkan jenis orang dewasa yang bakal ditempuhnya nanti.

Allah pinjamkan

Sebagai remaja, disiplin diri amat penting. Amalan-amalan yang dituntut oleh agama seperti solat, melakukan kerja-kerja yang bersifat amal soleh, amat berguna membantu rutin hidup remaja. Remaja harus berfikir bahawa hidup yang Allah pinjamkan kepada kita adalah pendek. Harus dapat diaturkan bagaimana sejak remaja lagi cara kita mengatur rutin hidup boleh memberi manfaat yang besar.

Katakan remaja adalah seorang pelajar. Sebagai pelajar keutamaan melalui rutin hidup ialah menumpukan perhatian untuk cemerlang dalam menguasai ilmu pengetahuan. Penyusunan jadual hidup mestilah rutinnya ke arah belajar, mengulangkaji dan sebagainya. Sekiranya rutin hidup berlaku dengan disiplin yang tinggi, remaja bakal menempuh kejayaan. Apabila kejayaan diperoleh, remaja boleh menyumbang kepada diri, keluarga dan masyarakat malah negara apabila dewasa nanti.

Bayangkan seorang pelajar melakukan rutin hidup, sebaliknya hidup dewasanya nanti bukan saja meneruskan rutin hidup remajanya tetapi kehadirannya dalam hidup ini tidak menjadi aset tetapi menjadi beban kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Minat remaja adalah pelbagai. Ia adalah sesuatu yang fitrah. Ada remaja yang suka bermain dan bersukan. Terdapat remaja yang suka mendengar muzik, menonton televisyen, membaca dan melakukan kerja-kerja yang mencabar, berkawan dengan rakan sebaya, dan melakukan kerja-kerja lasak dan mencabar. Ia adalah sesuatu yang sihat sekiranya remaja melakukannya dengan terancang dan sifatnya bermanfaat.

Amalan rutin remaja perlu diatur dengan kesedaran bahawa masa jangan dibazirkan, keutamaan harus ada, peningkatan ilmu, maklumat dan pengalaman perlu berlaku. Amalan rutin boleh menjadi kebiasaan dan ia boleh membentuk sikap. Pembentukan sikap adalah sesuatu yang amat penting bagi remaja. Sikap positif umpamanya perlu ada bagi setiap remaja. Sikap positif terhadap sesuatu yang berfaedah boleh mendorong remaja untuk terus maju.

Remaja dalam menjalani rutin hidup harus berpegang kepada dua prinsip. Pertama, lakukan sesuatu bagi maksud mendapatkan kebaikan. Kedua, lakukan sesuatu bagi maksud yang bermanfaat. Sekiranya remaja menginsafi bahawa kebaikan adalah sesuatu yang bernilai dalam hidup, maka melakukan keburukan adalah sesuatu yang janggal. Sekiranya remaja menyedari bahawa yang bermanfaat adalah sesuatu yang amat berharga dalam diri, maka melakukan sesuatu yang sia-sia adalah sesuatu yang membazir masa.

Remaja yang berdisiplin sentiasa bertanya apakah yang baik dan bermanfaat yang dilakukan pada hari ini, dan apakah kerja-kerja yang baik dan bermanfaat yang akan dilakukan esok. Remaja akan terus bertanya bagaimana dia harus mengurangi kesilapan dalam hidup dan bagaimana dia dapat menambahkan pahala dalam melakukan sesuatu. Tekad ini kalau ada, menjadikan remaja orang yang sentiasa insaf bahawa sesaat yang berlaku tidak harus berlalu dengan sia-sia, sejam yang akan datang harus diisi dengan kerja-kerja berfaedah, setahun yang silam telah diisi dengan amal yang berfaedah dan lima tahun mendatang remaja akan mencapai kedewasaan dan kematangan yang membanggakan.

Remaja Islam harus mampu memulakan disiplin diri dengan solat. Solat kerana Allah bermaksud melakukan sesuatu dengan ikhlas, hikmahnya (faedahnya) akan kembali kepada remaja sendiri. Solat meningkatkan jiwa kehambaan yang tinggi. Jiwa hamba mendidik manusia sifat patuh, taat, tunduk dan akur kepada Pencipta, dan remaja sebenarnya mendidik diri dan hati supaya memiliki sifat-sifat yang berkenaan. Amalan rukuk dan sujud dalam solat harus difahamkan sebagai meningkatkan jiwa kehambaan yang amat perlu bagi remaja.

Kerosakan yang berlaku kepada jiwa remaja dalam melakukan rutin hidup, ialah rasa ingkar, sombong, takabur, pentingkan diri, iaitu di sebalik jiwa kehambaan yang menyebabkan remaja tidak hormat kepada ibu bapa, melakukan sesuatu sehingga melampaui batas, degil untuk mendengar nasihat, angkuh dengan minat dan gelagat, dan akhirnya terjebak dengan amalan merokok, pergaulan bebas, ketagihan bahan-bahan lucah dan akhirnya terlanjur dengan ketagihan dadah.

Dalam mengatur rutin hidup, remaja harus berpandangan jauh. Remaja yang cemerlang pada hari ini bakal menguruskan negara pada masa depan. Bayangkan sebahagian besar remaja tidak pandai menyusun rutin hidup, yang menyebabkan banyak masa berlalu secara sia-sia, akhirnya mudah terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan pengaruh rakan sebaya dan pengaruh persekitaran yang tidak berfaedah.

No response to “Rutin hidup - Membentuk tingkah laku”