Wednesday, December 13, 2006

Remaja dituntut menghidupkan jiwa pengorbanan

Oleh: DR. SIDEK BABA

PENGORBANAN adalah suatu amalan mulia bagi seseorang. Sejarah kejayaan orang terdahulu adalah dengan pengorbanan. Jejak perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat penuh dengan perjuangan dan pengorbanan. Kisah Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim yang reda dengan perintah Allah adalah lambang keagungan suatu pengorbanan. Landasan pengorbananlah yang menyebabkan manusia melakukan perubahan, menempa kemajuan dan akhirnya mampu membina peradaban.

Para remaja hari ini amat perlu memiliki jiwa pengorbanan. Rasulullah s.a.w. pada masa mudanya mengorbankan masa dengan menjaga kambing dan membawa barang dagangan Saidatina Khadijah untuk diniagakan. Saidina Ali sejak zaman anak mudanya lagi sudah terlibat dalam perjuangan dan pengorbanan terhadap menegakkan risalah kebenaran. Beliau sanggup menjadi galang ganti di tempat tidur Rasulullah s.a.w. sewaktu Nabi memulakan misi hijrah.

Menghidupkan jiwa pengorbanan ke dalam diri adalah suatu tuntutan. Realiti mewah, selesa dan membangun hari ini boleh menjadikan remaja alpa dengan keadaan, pergaulan, hiburan dan gaya hidup. Remaja boleh memilih untuk terus unggul dalam cita-cita dan perjuangan hidup. Dan remaja juga boleh memilih untuk terus dibelenggu dengan jiwa santai, tiada perancangan hidup, kerdil cita-cita dan tandus dengan jiwa perjuangan. Pilihan ini adalah penting bagi menentukan hidup remaja, hidup bangsa dan umatnya.

Tahap keremajaan adalah pusingan hidup yang amat mencabar. Di tahap ini remaja amat ideal dengan sesuatu, ingin melakukan sesuatu seperti apa orang lain lakukan, rasa ingin mencuba yang tinggi dan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan, memiliki jiwa memperaga yang hebat malah kadang-kadang diulit perasaan ‘memberontak’ yang meluap-luap. Sekiranya sifat-sifat asasi ini berada dalam olahan yang negatif ia bakal menggelapkan hari depan remaja. Sebaliknya jika sifat-sifat ini dibentuk dengan nilai-nilai perjuangan dan pengorbanan yang positif, ia bakal membimbing remaja menjadi tenaga dewasa yang mempunyai potensi besar untuk maju dan berjaya.

Pengorbanan di tahap ini bermaksud apa saja yang remaja ingin lakukan harus dapat difikirkan baik buruknya. Umpamanya, pergaulan yang lepas bebas tanpa batasan boleh menjebak remaja kepada masalah. Pergaulan yang berhemah membolehkan remaja memilih yang mana satu kawan dan yang mana satu sahabat.

Contoh lain ialah amalan merokok dan akhirnya mengambil dadah adalah suatu bencana besar bagi remaja malah proses pembinaan generasi hari depan akan menjadi rosak disebabkan potensi remaja telah dikorbankan secara negatif. Remaja terdorong untuk menghisap rokok atau mengambil dadah disebabkan rasa ingin mencuba, memiliki identiti, pengaruh kawan, mengatasi tekanan, atau ingin berseronok. Ketahanan jiwa remaja di peringkat ini hampir kosong. Apa yang difikirkan ialah keseronokan tanpa memikirkan akibat buruk yang bakal ditanggung. Di sini perlunya pengorbanan dihubungkan dengan hari depan para remaja.

Ketagihan merokok dan dadah bukanlah suatu benda yang baru. Kesan-kesan negatif amalan tersebut sering menjadi bahan umum khususnya terhadap para remaja. Tetapi sebahagian remaja melihatnya secara enteng, ghairah mengambil dan terus mencuba. Akhirnya ketagih dan tidak dapat lari daripadanya. Di tambah pula dengan kegilaan kepada hiburan popular yang merangsang nafsu-nafsi, terlibat dengan pergaulan bebas, terjebak dengan amalan seks bebas, bertukar-tukang pasangan dan akhirnya terdampar di Pusat Serenti atau di lokap-lopak malah lebih serius lagi ialah menjadi mangsa AIDS/HIV.

Para remaja harus ada rasa sayang pada diri, pada keluarga, pada bangsa dan umat. Penjajahan minda bermula, bila remaja dihinggapi jiwa selesa dan suka berpoya-poya. Remaja akan kehilangan arah, bercelaru dan akhirnya mati cita-cita dan mati perjuangan. Dorongan nafsu-nafsi dan naluri akan dilihat lebih bertenaga daripada dorongan akal dan hati yang mulia . Keadaan seperti ini apabila dipengaruhi oleh dunia hiburan yang merangsang nafsu-nafsi, filem-filem ganas, tahyul dan lucah, ia mempengaruhi remaja untuk terus khayal dengan imaginasi kosong dan tidak berjejak di alam nyata.

Soalnya apabila remaja terjebak dengan amalan negatif itu jalan kembalinya sudah tidak ada. Akhirnya timbul sesal yang tidak sudah dan keadaan ibarat nasi sudah menjadi bubur. Remaja tidak lagi jadi aset sebaliknya liabiliti. Ia amat merugikan umat dan negara.

Kepentingan jiwa pengorbanan perlu dikaitkan bagaimana ramai para remaja menghancurkan hidupnya di umur masih awal. Kesan jangka panjangnya ialah kehancuran bangsanya sendiri. Jiwa pengorbanan harus dapat mengajak remaja berfikir betapa tanpa generasi muda yang berbakat, memiliki daya juang yang tinggi, pentingkan ilmu pengetahuan, tidak mudah terjebak dengan perangkap hidup yang membinasakan, tahu membezakan baik-buruk dan halal-haram sesuatu dan sentiasa ingat bahawa ‘pelanduk sering melupakan jerat sedangkan jerat tidak pernah lupa kepada pelanduk’.

Jiwa pengorbanan harus mengajak remaja mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu untuk membebaskan negara dari belenggu penjajahan, ibu bapa yang bersusah payah membesar dan menyekolahkan kita supaya remaja bakal menjadi orang yang menyumbang kepada pembangunan negara dan umat. Akhirnya memperkasa bangsa dan umat menjadi orang yang berwibawa, dihormati, dirujuk ilmu dan kepakarannya..

Pada prinsipnya agama Islam tidak menolak kepentingan pergaulan, hiburan, komunikasi, menampilkan bakat dan kebolehan, bercita-cita tinggi dan sebagainya. Tetapi Islam memberikan pedoman dan batasan supaya aktiviti dan kreativiti remaja tidak melampaui batas, menepati

keperluan syarak di samping mengisi fitrah berhibur, berseni, berkawan dan menguji bakat dan kebolehan. Pengorbanan yang dituntut ialah elakkan elemen-elemen maksiat, mungkar, subahat dan dosa.

Para remaja harus memiliki keinsafan bahawa kita diciptakan oleh Allah s.w.t. mempunyai misi dan risalah. Para remaja harus mampu membina jiwa kehambaan yang tinggi dengan mendidik jiwa patuh dan taat terhadap sesuatu yang baik dan bermanfaat. Allah jadikan alam, planet, sistem solar dan sistem-sistem lain dalam alam ini berasaskan kepatuhan dan ketaatan masing-masing terhadap ketentuan-Nya atau sunnatullah. Darinya berlaku ketertiban, ketepatan, keseimbangan dan sistem dan hal yang sama juga harus ada pada manusia khususnya remaja supaya sesuatu yang kita lakukan adalah atas dorongan jiwa kehambaan yang tinggi supaya watak kekhalifahan nanti mampu mengurus hidup, rahmah dan nikmat Allah yang banyak dengan amanah yang tinggi terhadap pedoman dan titah perintah Allah s.w.t..

Mengorbankan diri daripada runtunan hawa nafsu yang jelik adalah suatu jihad. Memahami batas buruk dan baik akan sesuatu memerlukan ilmu. Menginsafi bahawa bangsa dan umat sedang menghadapi pertarungan sengit terhadap faktor globalisasi dan penjajahan bentuk baru suatu tuntutan. Dan membuat persiapan yang tersusun rapi dalam saf-saf yang tangkas dan bijaksana menuntut ilmu, latihan dan keterampilan. Inilah fokus pengorbanan yang harus dimiliki oleh remaja. Percayalah jika remaja tidak melakukan pengorbanan merancang hari depan yang lebih dihormati tunggulah perancangan musuh yang ingin menghancurkan generasi dan umat kita dalam keadaan yang amat hina.

No response to “Remaja dituntut menghidupkan jiwa pengorbanan”