Friday, December 15, 2006

Berfikir logikal

Oleh: DR. SIDEK BABA

EDWARD de Bono dalam bukunya,Thinking Course, menyatakan bahawa logik ialah satu cara menjana maklumat daripada sesuatu keadaan. Maklumat yang hendak dijana ialah sesuatu yang benar dan diterima akal.

Berasaskan kefahaman ini bolehlah dirumuskan bahawa berfikir logikal ialah suatu proses pemikiran yang cuba mencari maklumat, ilmu, data dan fakta mengenai kebenaran sesuatu perkara.

Bagi para remaja yang ingin menjana pemikiran, maklumat, ilmu dan kebenaran, pemikiran logikal adalah penting buat mereka. Berfikir logikal akan menyingkirkan faham tahyul, mitos dan perkara-perkara yang tidak mempunyai asas maklumat, ilmu dan data. Ia membimbing remaja kepada perkara yang benar. Kebenaran adalah suluh. Tanpa suluh pemikiran remaja akan gelap. Di situlah lahirnya kejahilan dan kegelapan.

Dalam tradisi Islam, berfikir logikal dikaitkan dengan hikmah. Hikmah adalah sumber daripada Pencipta alam ini. Al-Quran adalah sumber hikmah yang amat hebat. Perkhabaran daripada al-Quran, maklumat yang dirakamkan, kisah yang diceritakan, ilmu yang terdapat, petunjuk yang diberi adalah sumber yang amat bernilai bagi memandu remaja ke arah kebenaran.

Kebenaran yang dijana oleh akal adalah kebenaran yang bersifat zahiri. Akal yang dihubungkan dengan hikmah akan membawa kepada kebenaran hakiki. Kebenaran hakikilah yang dicari oleh manusia kerana ia bakal membimbing manusia menemui fitrah diri. Tanpa fitrah diri remaja hanya berfikir mengenai sesuatu yang berbentuk luaran, zahiri dan tidak memberi makna kepada pemikiran dan hati.

Berfikir logikal secara barat berteraskan asas-asas empiris. Asas empiris hanya menggunakan kekuatan akal, intelek atau minda untuk menanggapi atau membuat kesimpulan terhadap sesuatu berasaskan uji kaji, pemerhatian, pengalaman, kutipan data dan menghubungkan sebab-akibat secara zahiri.

Berfikir logikal secara Islam tidak saja menggunakan pendekatan empiris yang menjana pemikiran terhadap faktor zahiri tetapi di sebalik sebab-akibat terdapat faktor batini yang perlu difahami.

Bila remaja berfikir, bermakna ada sesuatu kekuatan dalam diri remaja yang menyebabkan akal berfungsi. Bila remaja berkata-kata, bermakna ada faktor hayat yang menyebabkan keupayaan bercakap wujud. Bila remaja berlari, bermakna ada sesuatu dalam diri remaja yang memberi kekuatan bagi remaja berbuat demikian. Secara logiknya apabila seseorang itu mati, seluruh sumber kekuatan yang ada pada diri akan hilang dan tidak bermaya.

Apakah yang hilang itu. Yang hilang itu ialah hayat. Hayat manusia dipertahan oleh roh. Logiknya pergerakan tubuh badan adalah kerana adanya roh pada diri manusia yang menyebabkan wujudnya hayat. Apa itu roh dan siapa Penciptanya? Daripada sumber akal, di luar pemikiran logik manusia untuk mengetahuinya. Menerusi hikmah atau al-Quran, Allah memberitahu bahawa roh itu adalah milik-Nya dan yang diketahui oleh manusia tentang roh adalah amat sedikit. Inilah asas berfikir logikal dari sudut Islam yang memberikan kita pedoman batini di samping pedoman zahiri.

Orang-orang Barat berfikir bahawa yang dikatakan logik itu adalah sesuatu yang berasaskan faktor wujud dan maujud. Sekiranya faktor pokok hendak dijadikan asas logik, ia dikatakan wujud dan maujud. Bermakna pokok itu boleh dilihat, dipegang, dibilang dan wujud secara nyata.

Tradisi Islam memberikan pedoman bahawa asas logik tidak saja menghubungkan sesuatu itu wujud dan maujud tetapi ia juga wujud secara batini dan sifatnya ghaib daripada pandangan mata zahir dan tidak semestinya wujud dalam bentuk benda. Tetapi terdapat tanda-tanda dan bukti mengenai kejadian tentang wujudnya sesuatu yang bersifat ghaib.

Alam ini umpamanya adalah bukti yang nyata tentang kewujudan Pencipta kerana logik akal manusia tidak boleh menerima sesuatu itu terjadi dengan sendiri atau sesuatu itu tidak akan terjadi tanpa sebab-musabab.

Kerusi yang kita duduki tidak terjadi dengan sendiri. Ia dibuat oleh tukang. Rumah yang kita diami tidak tegak secara tiba-tiba tetapi hasil tukangan dan bikinan manusia. Kayu yang digunakan untuk membuat kerusi dan rumah asalnya daripada pokok. Siapakah yang mencipta pokok itu. Tidak mungkin pokok itu terjadi tanpa Pencipta seperti tidak mungkin kerusi dapat dibuat dan rumah dapat dibina tanpa tukang. Manusia tidak boleh melakukan penciptaan.

Penciptaan adalah sesuatu yang asalnya tidak ada kemudian menjadi ada. Manusia hanya mampu mereka dan menggubah. Kerusi dan rumah direka dan digubah oleh manusia daripada sumber yang dicipta iaitu kayu yang asalnya daripada pokok. Pokok itu adalah ciptaan Allah. Inilah asas logik yang ada dalam tradisi Islam.

Al-Quran adalah sumber ilmu, hikmah dan petunjuk. Ia memberi suluhan mengenai kebenaran yang sifatnya zahiri dan batini. Al-Quran tidak saja memberi remaja pedoman dan petunjuk tentang sesuatu yang nyata dan zahir tetapi juga yang tidak nyata dan sifatnya ghaib.

Memahami faktor nyata dan ghaib menerusi al-Quran memberikan kita asas logik yang memimpin diri, akal dan penerokaan ilmu kepada kebenaran.

Al-Quran sebagai kalam Tuhan memberikan asas bahawa “gunung-ganang adalah pasak-pasak bumi”. Ia berkait rapat dengan asas ekologi atau tentang kajian alam sekitar apalagi tumbuh-tumbuhan. Makna “pasak-pasak bumi” secara logikal ialah faktor kewujudan gunung-ganang memberikan perimbangan kepada ketahanan bumi, cuaca dan kehidupan.

Bayangkan sekiranya bukit-bukau ditarah, gunung-ganang diruntuhkan, hutan-hutan ditebang, sudah tentu ia akan merosakkan ekosistem dan menyebabkan kepanasan, pencemaran, gangguan terhadap sistem perairan dan sebagainya. Adalah sesuatu yang logikal bahawa pemeliharaan hutan, kehijauan, bukit-bukit dan gunung-ganang dilakukan supaya wujud keseimbangan dalam ekosistem dan persekitaran.

Hal yang sama ditunjukkan secara logiknya bila Allah menyatakan dalam al-Quran, “diturunkan hujan menghidupkan tanah-tanah yang mati supaya tumbuh pohon-pohon yang menjadi rezeki kepada manusia.”

Tanpa air kehidupan tidak akan ada. Sebab-musabab kepada air menumbuhkan pohon-pohon yang menghasilkan buah bagi rezeki manusia. Tanpa makanan manusia akan mati. Bagi yang berfikir logik Islami, siapakah yang berkuasa mencipta awan dan menurunkan hujan kalau tidak Allah. Berfikir logik Islami mendekatkan remaja dengan ilmu yang sebenar dan menemukan remaja dengan kebenaran yang hakiki.

Para remaja Islam harus insaf bahawa apa yang difikirkan oleh remaja adalah terbatas. Pancaindera yang dimiliki remaja bukanlah segala-gala. Apa yang remaja tahu menerusi penglihatan, pembacaan, penelitian, penulisan dan pengkajian adalah terbatas. Keterbatasan itu menyebabkan pemahaman tentang diri, hubungan diri dengan Pencipta, hubungan diri dengan alam sekitar adalah terbatas.

Menjadikan hikmah atau Kalam Tuhan sebagai asas menyebabkan fikiran berkembang dipandu dengan zikir. Akal subur disirami petunjuk. Daripadanya lahir keinsafan zahir batin bahawa sifat nisyan atau lupa dan ghaflah iaitu lalai yang ada pada remaja tidak menjadikan remaja serba tahu akan segala-gala. Apabila pedoman hikmah atau al-Quran dijadikan pedoman, para remaja terbimbing untuk tahu dan berilmu secara lebih baik dan sempurna.

Para remaja memiliki naluri ingin tahu yang tinggi dan ia pasti melibatkan pemikiran. Naluri ingin tahu ini adalah asas kepada dorongan pemikiran secara logik. Sekiranya remaja berfikir logikal dengan dipandu oleh faktor zahiri yang dipedomankan oleh hikmah, maka arah pemikiran logikal remaja menuju ke tapak yang lebih seimbang iaitu ke arah kebenaran hakiki.

Andainya remaja mengasaskan pemahaman logik hanya terhadap benda-benda yang zahir dan bersifat benda semata, ia tidak membimbing remaja mencari dan mengetahui sesuatu yang sifatnya fitrah. Fitrah di sini bermakna wujud keserasian antara apa yang difikir dengan apa yang dirasa. Apa yang terkandung pada akal dan apa yang tersirat dalam kalbu. Allah berikan remaja akal dan kalbu supaya remaja mampu mengimbanginya dalam percakapan, perbuatan dan amalan. Allah berikan juga remaja nafsu yang mendorong keinginan melakukan sesuatu.

Nafsu ibarat kuda liar boleh melakukan apa saja mengikut kehendaknya. Kuda liar boleh dilatih dan dijinakkan supaya ia mendengar kata tuannya. Melatih dan menjinak nafsu ialah dengan faktor rohaniah yang tinggi supaya nafsu dapat dikawal dengan baik. Pemikiran logikal sebeginilah yang harus subur pada diri remaja supaya wujud perimbangan antara faktor zahiri dan batini untuk memahami kebenaran hakiki.

No response to “Berfikir logikal”