Wednesday, March 14, 2007

Melayu itu bangsa, Islam itu agama

Oleh: DR. SIDEK BABA

Remaja Melayu harus dapat membezakan tentang Melayu itu adalah suatu bangsa dan Islam itu adalah suatu agama. Seperti juga suatu ketika dulu Melayu adalah suatu bangsa dan Buddha dan Hindu adalah agamanya. Proses dakwah dan sejarah telah menjadikan bangsa Melayu beragama Islam.

Allah menyebutkan di dalam al-Quran bahawa bangsa-bangsa itu adalah diciptakan. Mesti ada sebab atau hikmah mengapa bangsa-bangsa itu diciptakan. Paling tidak di dalam al-Quran menyebutkan supaya berlaku proses litaarrafu atau berkenalan dalam erti kata yang luas.

Berkenalan boleh membawa kepada perkongsian hal-hal yang memberi manfaat. Ia juga boleh membawa kerjasama dan toleransi. Selain itu, juga boleh memberikan jalan terhadap perkongsian nilai-nilai bersama yang memberi faedah bersama.

Kewujudan suatu bangsa adalah suatu takdir. Apa yang menjadi asas bangunnya sesuatu bangsa berkait rapat dengan agama. Melayu sebagai suatu bangsa apabila ditindikkan dengan Islam, ia membawa konotasi atau maksud ummah. Islam membentuk pandangan alam atau tasawwur orang-orang Melayu.

Islam membentuk jalur berfikir dan bertindak orang-orang Melayu. Sekiranya bangsa Melayu menjadikan Islam sebagai cara hidup, ia bermakna Islam mendasari kehidupan orang Melayu.

Sebaliknya, sekiranya orang-orang Melayu menjadikan Islam tidak lebih sebagai pengenalan atau identifikasi agama, maka tidak banyak jalur hidupnya dipengaruhi oleh agama ini. Bangsa ini bakal terdedah untuk menganut apa saja fahaman baik Barat dan Timur dan tidak menjadikan Islam sebagai dasar hidupnya.

Ia tidak bermakna bahawa menjadi Islam, aspek-aspek budaya yang positif yang ada pada bangsa Melayu harus ditolak. Islam memberikan asas prinsip dan budaya Melayu melakukan adaptasi kepada prinsip tersebut.

Contohnya Islam memberi asas kepada prinsip berpakaian dan menutup aurat. Dengan menggunakan baju Melayu atau baju kurung yang bertudung, prinsip itu dapat dipatuhi walaupun berasaskan budaya Melayu.

Gotong-royong adalah amalan orang Melayu turun-temurun. Amalan ini selari dengan prinsip jemaah yang dianjurkan oleh Islam. Apabila semangat gotong-royong berkembang dalam orang Melayu, ia menggalakkan prinsip kerjasama dan muafakat. Ia selari dengan prinsip jemaah yang dianjurkan oleh Islam.

Apabila Islam menjadi anutan bangsa Melayu, konsep ummah menjadi dasar kepada budaya hidup orang- orang Melayu. Faktor akidah yang menjadi faktor penyatuan bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam menjadikan konsep ummah sebagai ikatan yang menghubungkan manusia sesama manusia.

Kelainan dan perbezaan yang ada dari segi taraf dan status bukanlah isu. Ini kerana Islam memberikan prinsip asas bahawa yang terbaik dalam kalangan bangsa-bangsa atau individu ialah umat yang bertakwa. Prinsip takwa tidak saja menghubungkan manusia atau bangsa-bangsa dengan Penciptanya tetapi menghubungkan manusia sesama manusia dalam erti kata yang luas.

Bagi menjadikan bangsa Melayu sebahagian dari ummah yang kuat, penguasaan ilmu pengetahuan menjadi syarat penting. Dalam masa yang sama bangsa Melayu harus menjadi bangsa contoh dalam memberikan khidmat dan amanah, keadilan dalam layanan, akhlak yang terpuji supaya kualiti bangsa itu tegak atas prinsip-prinsip murni yang dianjurkan oleh Islam.

Kalau bangsa Melayu tidak menjadikan Islam sebagai dasar hidup, orang-orang Melayu akan cenderung bersifat perkauman. Pertimbangan dalam tindakan lebih banyak tertumpu kepada pertimbangan bangsa atau kaum tidak pertimbangan agama. Sekiranya perkara seperti ini terjadi kejelasan orang-orang Melayu dengan imej Islamnya akan tercalar.

Remaja Melayu dalam memahami makna bangsa dan agama harus jelas. Memang benar Melayu ialah suatu bangsa. Suatu bangsa itu memerlukan pedoman, sistem nilai, asas tamadun, tradisi dan budaya supaya bangsa itu menjadi hebat dan alamiah atau global sifatnya. Islam adalah agama tamadun dan pernah memimpin pemikiran manusia lebih 700 tahun.

Menghubungkan faktor Melayu dengan faktor Islam menjadikan bangsa Melayu sebahagian dari ummah dalam erti kata yang luas.

Remaja Melayu harus mampu mengisi proses pembinaan diri dengan menjadikan Islam sebagai asas dan prinsip. Dalam bidang ilmu pengetahuan, Islam menganjurkan orang lelaki dan perempuan wajib menuntut ilmu. Pendidikan dalam tradisi Islam adalah pendidikan sepanjang hayat.

Ilmu-ilmu yang dipelajari tidak saja dari tradisi dan tamadun Islam sendiri tetapi diharuskan untuk mempelajari sumber-sumber ilmu dari tamadun lain selagi ia memberi manfaat.

Remaja Melayu harus memiliki sistem nilai yang tinggi supaya asas membezakan baik dan buruk akan sesuatu diambil dari pertimbangan Islam. Kalaulah pertimbangan bangsa dan individu yang dijadikan sandaran ia mungkin cenderung menyuburkan

faham individu, perkauman atau

nafsu-nafsi.

Remaja Melayu dalam menghadapi kerenah zaman harus memahami terlebih dahulu kekuatan yang pernah ada dalam tamadun Melayu yang berasaskan Islam atau tamadun umat yang berkembang di bawah keunggulan peribadi dan ilmu Islam. Menguasai aspek-aspek ini boleh menyumbang ke arah memperkasakan remaja dengan faktor-faktor berbanding yang tinggi dan boleh memandu remaja ke arah membuat pilihan yang betul dan tepat dalam proses untuk maju dan membangun.

Justeru itu cabaran utama bangsa Melayu kini ialah cabaran kepimpinan dan kepengikutan, cabaran keilmuan dan penguasaan teknologi, cabaran ekonomi dan juga pengurusan, cabaran strategik dan mengurus krisis dan cabaran menjadi bangsa penyumbang yang bermakna.

Ia mengundang remaja Melayu supaya memiliki fokus dalam hidup. Ramai remaja Melayu kini sudah hilang fokus dalam menempuh jalur kehidupan. Kemakmuran kebendaan yang ada disalahgunakan untuk terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang merosakkan. Hilangnya fokus ini menyebabkan sebahagian remaja Melayu tidak menjadi aset kepada negara tetapi menjadi beban jangka panjang yang merumitkan.

Di samping fokus, remaja Melayu harus memiliki usaha yang berterusan. Banyak elemen malas, membuang masa, berlagak, melanggar peraturan dan undang-undang, gaya hidup bermewah-mewah, menjadi ‘pak turut’ terhadap sesuatu yang negatif, suka bercinta secara nafsu nafsi.

Malah ramai yang sudah hilang pertimbangan agama dengan menjadi murtad. Tidak tahu dosa pahala dalam amalan dan perlakuan. Akibatnya isu remaja Melayu sering menjadi polemik semasa dan perkembangan yang ada semakin membimbangkan.

Akar kepada masalah ini ialah remaja Melayu mengalami ketirisan akidah dan iman. Darinya timbul masalah akhlak yang semakin subur. Jalan keluarnya perlu diperkasakan mereka dengan fahaman agama yang berasaskan ilmu dan tamadun.

Pendidikan dalam keluarga , institusi pengajian dan pendidikan, masyarakat harus dibentuk ke arah saling menyumbang bagi memperkasa remaja Melayu dengan kekuatan agama dan pemahaman terhadap kepentingan adab dan peradaban.

No response to “Melayu itu bangsa, Islam itu agama”