Wehdah adalah landasan kesatuan umat seaqidah yang menjadikan ALLAH sebagai sumber aqaid atau ikatan, al-Quran sebagai sumber petunjuk dan Rasulullah SAW sebagai sumber qudwah atau contoh ikutan. Wehdah sesama umat adalah penting supaya kekuatan yang dimiliki mampu memelihara maslahah agama.

Umat Islam di mana-mana berada dalam keadaan krisis. Perbezaan pendirian dan sikap menyebabkan permusuhan terjadi. Akhirnya umat menjadi lemah dan menyebabkan pergantungan terhadap orang lain menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Umat Islam adalah umat dakwah. Jalan dakwah menghasilkan jalur tarbiyyah. Dakwah Islam mendidik warga umat memiliki rasa kasih sayang yang kental dan belas kasihan yang tinggi. Inilah jiwa besar yang dimiliki Rasulullah SAW bila mendekati bapa saudaranya Abu Talib dan berdepan dengan kerenah perempuan Yahudi yang akhirnya memeluk Islam.

Al-Quran dalam Surah Al Asr memberikan kita pedoman, watawasaubil haq, watawa saubissabr – menyatakan yang hak, menuntut setinggi-tinggi kesabaran. Ke mana hilangnya kesabaran yang ada pada kita sehingga fikiran terus tertutup untuk berbicara sesama kita dan melakukan muzakarah. Muzakarah adalah asas kepada binaan ukhuuwwah.

Atas nama warga Islam kita memiliki taqlif atau amanah menjaga maruah warga sesama Islam. Yang kurang kesedaran dan keinsafan, kita cetuskan
kesedaran dan keinsafan tanpa putus asa. Yang lalai dan cuai, nasihat perlu diberikan sebijaksana mungkin. Yang terjebak dengan kemungkaran dan kefasadan harus dicuba untuk ditarik keluar dari belenggu itu.

Islam membawa makna salama atau sejahtera. Apa yang ALLAH kurniakan kepada kita harus dimanfaatkan untuk kesejahteraan orang lain. Darinya akan lahir ukhuuwwah yang tinggi dan rasa kebencian serta dendam kesumat dapat diatasi dengan bijaksana.

Asas wehdah harus dibina dengan sikap khusnuzzan atau sangka baik yang tinggi. Sebelum sesuatu maklumat diterima mengenai sesuatu perkara harus dilakukan kajian dan telitian supaya yang benar diambil dan berbaur fitnah diketepikan. Iblis dan syaitan amat gemar dengan sikap sangka buruk kerana ia selari dengan nafsu serakah yang haiwani.

Umat Islam harus menginsafi bahawa kelompok di luar umat amat suka suasana perpecahan dan krisis. Perpecahan dan krisis apabila berlaku tidak mudah untuk dileraikan. Umat Islam dituntut memahami maksud isu pokok (usul) dan maksud isu rantingan (furuk). Kalau tidak umat Islam bakal terjebak dengan polimik dan krisis berpanjangan dan menyebabkan umat lemah.

Ketentuan terhadap benar dan salah harus diselesaikan secara ilmu. Al-Quran dan Hadith adalah rujukan kita. Seerah Nabawiah atau jalur perjuangan Nabi adalah sumber pedoman kita. Dalam realiti masyarakat dan zaman yang berbeza pendekatan fiqqiyyah dan ijtihadi harus berlaku. Antara maslahah dan maqasid syariyyah perlu ada jalur bijaksana yang sentiasa meletakkan kesatuan ummah (wehdah) sebagai sesuatu yang amat utama.

Justeru sifat dendam kesumat harus digantikan dengan sangka baik yang tinggi. Pemikiran tertutup harus digantikan jiwa muzakarah yang ikhlas. Salah faham harus dijernihkan dengan kesediaan memahami orang lain secara dakwah dan tarbiyyah. Kesilapan yang berlaku tidak harus diulangi sehingga ia menjadi daki-daki dosa yang menghijab hati dan pemikiran.

Lakukan sesuatu kerana ALLAH supaya hikmahnya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Perkara pokok yang menyebabkan wehdah tidak terjadi ialah ego kepimpinan dan taksub pengikut. Pemimpin merasakan dia adalah segala-gala. Sedangkan ilmu yang ada dan pengalaman ditimba masih sedikit. Harus wujud suatu sikap bahawa kita adalah sebahagian daripada kekuatan.

Kekuatan-kekuatan lain ada pada orang lain. Kalau kita berpendapat bahawa kita adalah satu-satunya bukan salah satu daripadanya, takabbur akan mengambil tempat.
Orang yang takabbur tidak akan dirahmati ALLAH. Jiwa yang tawadhuk dikuti dengan prinsip yang benar, diolah secara bijaksana, memahami idealisme dan diseimbangkan dengan pemahaman terhadap realiti mampu memberikan jalan yang terbaik untuk wehdah terjadi.