Wednesday, June 17, 2009

Jihad ilmu atasi rendah diri terhadap Barat

Bersama Prof Dr Sidek Baba

CENDEKIAWAN Islam dari Universiti Kaherah, Mesir, Prof Dr Ahmad Kamal Aboulmagd, panel Persidangan Antarabangsa ‘Islam dan Barat’ di Kuala Lumpur, baru-baru ini, menyebut bahawa banyak dimensi perlu dilihat kerana Islam tidak dilihat sebagai Islam seadanya tetapi dilihat menerusi jendela politik lalu dipolitikkan.

Katanya, agenda politiklah yang menyebabkan ketegangan hubungan Barat dan Islam. Jika Islam dilihat dalam konteks tamadun ilmu dan peradaban, maka Barat akan melihat kepentingan Islam.

Lebih-lebih lagi apabila Islam dilihat sebagai agama ’sejahtera’ atau ‘salama’, tentunya dimensi damai menjadi asas perkembangan Islam.

Dalam masyarakat agama yang menganut berbilang kepercayaan, Islam meletakkan asas ‘agamaku agamaku dan agamamu adalah agamamu’ dan memberikan landasan ‘tiada paksaan dalam beragama’.

Konotasi dan makna daripadanya sudah tentu memberi ruang dialog agama dan tamadun berkembang supaya perbezaan difahami dan persamaan disuburkan.

Prof Kamal Aboulmagd memetik pandangan Prof Hans Kung dari Universiti Tubingen yang menyebut bahawa orang Islam menderita dengan salah faham sehingga Islam dikaitkan dengan bom kereta, serangan bunuh diri, penculikan dan pemenggalan kepala di tangan segelintir ekstremis.

Seolah-olah tidak menyedari bahawa di kalangan kuasa Barat melakukan layanan buruk terhadap banduan, serangan udara dan pemusnahan infra oleh tentera Amerika dan terorisme yang dilakukan tentera Israel terhadap Palestin.

Tanggapan yang ada pada orang Islam ialah Barat sedang melaksanakan agenda memaksakan faham sekular dan liberal atas nama globalisasi, pembangunan sains dan teknologi tanpa mengambil kira sensitiviti umat beragama mengenai elemen kerosakan yang disuburkan dengan pelbagai bentuk atau cara.

Orang Barat sejak Perang Salib menganggap mereka adalah kelompok ‘lebih baik’ dan setengahnya menjunjung label ‘kita adalah orang terpilih’ untuk melaksanakan misi zionisme tanpa mengambil kira sensitiviti kelompok yang dijadikan sasarannya.

Dendam Salibiyyah dipaksakan pertamanya melakukan ‘penjajahan pemikiran’ kemudian beralih ke penjajahan kebudayaan dan akhirnya penjajahan keseluruhan cara hidup orang Islam.

Umat Islam menyedari hal ini menyebabkan mereka rasa tertekan dan setengahnya melakukan ofensif dalam pelbagai cara.

Sifat Islam itu sendiri adalah agama penghidupan atau bakal bangun semula. Dengan fahaman kebendaan yang melampau, hedonistik melulu, kecenderungan melakukan penguasaan dan dominasi di tengah kebangkitan kesedaran Islam di kalangan generasi muda, sudah tentu wujud kecenderungan umat manusia untuk maju dan membangun berasaskan sistem nilai yang fitrah.

Turki umpamanya adalah contoh negara Eropah yang pernah menempa tamadun Islam hebat dipaksakan menerima fahaman sekular Kemal Ataturuk selama hampir satu abad.

Hari ini, orang Turki sedang mencari akar tradisinya yang dihilangkan dan kembali menemui diri untuk membina Turki baru berdasarkan fahaman beragama.

Jika ini dilihat sebagai pertembungan tamadun Islam dan Barat seperti yang diungkapkan Samuel Huntington, ia adalah pandangan bersifat ideologi politik bukannya pandangan ketamadunan yang memilik kejernihan bahawa kualiti kemanusiaan harus dikembalikan pada tempatnya.

Di sinilah perlunya dialog agama dan tamadun supaya pemahaman yang jernih di kalangan ahli ilmuwan, wartawan, ahli politik dan perniagaan dapat memberi dimensi baru terhadap kehidupan beragama.

Agama mengajar manusia kebaikan dan ketertiban. Yang berbeza biarkan berbeza. Faktor masa menerusi ilmu bakal menjernihkan perbezaan yang ada. Oleh itu, kod etika perbezaan dalam minda dan titik persamaan dalam ajaran dan sistem nilai harus disuburkan.

Orang Islam umpamanya mempunyai dasar akidah atau asas kepercayaan yang jelas. Ia perlu dihormati.

Islam mengajar penganutnya menghormati orang lain, tidak boleh melakukan pembunuhan atau rampasan sesuka hati, menghina pihak lain yang tidak di sukai sebaliknya memperlihatkan peribadi hebat dan bijaksana supaya Islam tidak hanya dilihat dari sudut ajaran tetapi umat Islam dilihat indah pada amalannya.

Barat rasa hebat kerana penguasaan ilmu, dominasi sains dan teknologi, penguasaan kuasa dan kekuatan militer yang dimilikinya. Umat Islam harus memiliki tekad untuk bangun memugar kembali kekuatan tradisi ilmunya dan dalam masa yang sama tidak merasa malu mempelajari ilmu sains dan teknologi yang bermanfaat.

Jihad umat Islam hari ini perlu difokuskan kepada jihad ilmu supaya kebangkitan umat dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan melalui proses sinergi nilai dan ilmu membolehkan rasa rendah diri terhadap Barat di atasi.

Tidak ada jalan pintas untuk maju dan berubah. Maju dan berubah mesti atas landasan ilmu. Adalah silap bagi sesetengah umat Islam memeluk Barat erat-erat dalam semua perkara dan meremehkan agamanya sebagai kolot, ketinggalan zaman dan menyebabkan kemunduran.

Islam menawarkan umatnya dua perkara iaitu pertama, ajaran yang terbukti membawa kesan tamadun yang besar. Kedua, status umat yang ada pada hari ini. Ajaran Islam adalah daripada Allah. Ia semacam terpinggir kerana umatnya tidak mengamalkannya sebagai cara hidup.

Islam dianut secara upacara dan diperlukan pada masa tertentu saja. Menghayati Islam dengan kekuatan ilmu dan bertindak balas terhadap tamadun adalah jawapan terbaik meletakkan Islam dihormati Barat dan Timur, menjadikan pemahaman terhadap Islam dan dialog peradaban lebih bermaya serta bermakna.

No response to “Jihad ilmu atasi rendah diri terhadap Barat”