Wednesday, June 17, 2009

Jihad perniagaan, ilmu dimensi baru bina kekuatan

Bersama Prof Dr Sidek Baba
KONSEP jihad mempunyai pengertian luas. Jihad bagi umat Melayu ialah
mengangkat martabat dan ada daya juang mempertahankannya. Jihad paling
utama bagi umat Melayu ialah jihad ilmu dan jihad perniagaan.
Semangat jihad penting pada setiap orang Melayu dalam pengertian memiliki
jiwa untuk terus berubah memperteguhkan asas tradisi yang baik dan mengatur
strategi bijaksana bagi memperkasa kekuatan umat dalam semua lapangan.
Islam sebagai cara hidup tidak saja memerlukan umatnya hebat dari segi akidah
dan akhlak tetapi memahami ilmu Islam dan ilmu berbanding dengan baik. Ia
tidak saja teguh dengan kepentingan fardu ain tetapi memiliki keahlian
menguasai ilmu fardu kifayah.
Asas kekuatan ini penting bagi menghadapi cabaran globalisasi yang sifatnya
menampilkan kekuatan ilmu dan teknologi Barat di samping gagah dengan
penguasaan ekonomi kapitalis-liberalnya.
Kehadiran Trans National Corporation memberikan dimensi baru dalam kegiatan
perniagaan di Malaysia. Umat Melayu harus ada keinsafan tinggi untuk
menjadikan kegiatan perniagaan sebagai suatu jihad.
Tanpa semangat itu, umat Melayu akan terpinggir pada masa depan dan ia
boleh menjejaskan pegangan atau ekuiti sedia ada. Ilmu mengenai perniagaan,
etika dalam perniagaan perlu teguh dan dalam masa sama berkeupayaan untuk
bersaing adalah faktor amat dituntut.
Dalam bidang ilmu pengetahuan terdapat petanda anak Melayu sedang
menyertai pelbagai bidang ilmu pengetahuan di institut pengajian tinggi dalam
dan luar negara. Potensi cemerlang di kalangan mereka harus dikenal pasti dan
dipantau supaya memajukan potensi mereka secara susulan hingga ke tahap
pakar menjadi suatu keutamaan. Modal insan seperti ini harus diperbanyakkan
supaya sumbangan dan kajiannya dapat menyumbang ke arah pembangunan
dan kemajuan Malaysia.
Usaha ini berkait rapat dengan jihad perniagaan supaya modal insan dilahirkan
ada ruang untuk terbabit dalam arus perdana ekonomi negara. Umat Melayu
yang sudah berjaya dalam bidang perniagaan, seharusnya membina ahli
perniagaan pelapis yang ada potensi untuk maju dan memajukan yang lain.
Jika kejayaan dalam perniagaan menyebabkan ada kelupaan untuk memberi
ruang kepada yang baru bergiat, ia memberi petanda tidak sihat kepada
pembangunan perniagaan umat Melayu.
Penggiat baru dalam perniagaan perlu menunjukkan keupayaan tinggi
menghadapi cabaran dan kerenah dunia perniagaan. Di sinilah perlunya
semangat jihad dalam erti kata memiliki ilmu dan pengalaman perniagaan yang
baik, mengakui bahawa jiwa mandiri perlu bagi memecahkan masalah dalam
perniagaan, keupayaan menjana modal yang mencukupi dan kesediaan untuk
membina rangkaian yang sihat sesama umat manusia. Ia penting diteroka
kerana di kalangan ahli perniagaan bukan umat mempunyai rangkaian yang
agak kuat dengan modal yang agak besar dan pengalaman yang luas.
Kelebihan yang ada pada penggiat perniagaan umat Melayu dan umat Islam
ialah peluang terbuka luas untuk meningkat. Jihad perniagaan harus mampu
mengunjurkan bahawa bidang perniagaan tidak hanya terbatas dalam negara
saja tetapi peluang terbuka di luar Malaysia harus dijadikan sasaran.
Kebangkitan negara China sebagai sebuah kuasa besar dalam tahun mendatang
memberikan dimensi baru kepada penggiat perniagaan di Malaysia. Harus ada
tekad yang tinggi di kalangan tokoh dan penggiat perniagaan umat Melayu
mewujudkan peluang supaya perkembangan ekonomi di negara itu boleh
dimanfaatkan secara bijaksana dengan mewujudkan jaringan dan hubungan
strategik yang memungkinkan penyertaan aktif berlaku.
Dekad mendatang adalah tempoh amat kritikal bagi umat Islam keseluruhannya
khususnya umat Melayu dalam menghadapi hegemoni Barat yang semakin
agresif. Allah mengurniakan perut bumi dan bumi orang Islam dengan kekayaan
sumber yang banyak.
Umat Islam memiliki tamadun yang mendorong mereka untuk maju dalam ilmu
dan juga perniagaan. Jumlah umat Islam di seluruh dunia melepasi 1.4 bilion
perlu dicerahkan daripada buta huruf dan buta ilmu dan bencana kemiskinan.
Penumpuan kepada bidang ilmu agama mengikut kaedah tradisi perlu di ubah ke
arah pendekatan integratif. Ilmu mengurus diri (fardu ain) tidak memadai untuk
terbabit sama dalam cabaran intelektual dan pemikiran yang sengit.
Keupayaan dalam memperkasa ilmu mengurus sistem (fardu kifayah) amat
dituntut supaya corak modal insan yang dilahirkan tidak saja memiliki kekuatan
akhlak dan amanah tinggi tetapi semangat jihad perniagaan memungkinkan
mereka mempunyai daya saing tinggi.

No response to “Jihad perniagaan, ilmu dimensi baru bina kekuatan”