Wednesday, June 17, 2009

Bapa mengimbangi didikan anak lelaki

Bersama Prof Dr Sidek Baba

STATISTIK menunjukkan peratusan pelajar lelaki semakin berkurangan memasuki institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta di Malaysia. Statistik juga menyatakan anak lelaki ramai terbabit masalah salah guna dadah, berada di pusat serenti, terbabit dengan ‘mat rempit’, terjebak bencana Aids/HIV dan jenayah juvana.

Tentu ada sebab yang melatari perkara ini. Antara dikenal pasti ialah cara keluarga mengasuh dan membesarkan anak lelaki serta persekitaran yang banyak mempengaruhi mereka. Anak lelaki daripada sudut bawaan psikologi dan jasmani tidak sama dengan anak perempuan.

Umumnya, anak perempuan lebih patuh dan taat kepada ibu bapa. Anak perempuan lebih tekun mempelajari ilmu dan berjaya dalam pelajaran.

Anak lelaki dari sudut psikologi lebih suka menarik perhatian, aktivitinya perlu diraikan, kelasakan terlihat, jiwa memberontak tinggi, tidak mudah mendengar tunjuk ajar ibu bapa, lebih santai dan bersahaja, suka meniru dan mencontohi, selain kuat terpaut dengan rakan sebaya.

Fokus atau tumpuan kepada anak lelaki amat dituntut sama ada dalam keluarga mahupun di bangku persekolahan. Ia penting daripada sudut keluarga, masyarakat dan negara. Pembinaan keluarga yang ceria dan bahagia bergantung kuat kepada jenis lelaki yang bakal menjadi suami. Jika suami orang berilmu, amanah, penyayang, penyabar dan sentiasa menjadi contoh kepada isteri dan anak, rumah tangga akan bahagia.

Rumah tangga yang lelakinya lepasan pusat serenti, terbabit dengan penagihan dadah, terjebak dalam kenakalan muda dan remaja, ilmu pengetahuan dan kelulusan yang rendah, rumah tangga cenderung menghadapi masalah dan musibah.

Inilah dilema wanita dalam mencari pasangan hidup. Setiap wanita memerlukan pasangan lelaki yang amanah, bertanggungjawab, mempunyai jiwa pengasih dan penyayang tinggi dan selalu memberi tunjuk ajar kepada isteri dan anak. Banyak kes perceraian, penderaan, sifat bengis dan garang suami yang tidak bertempat menyebabkan ruamh tangga gagal dan anak kehilangan contoh yang baik di rumah.

Tumpuan perlu diberi pada setiap tahap dan peringkat pendidikan anak lelaki dengan didikan dan asuhan terbaik. Ia tidak bermakna pendidikan anak perempuan diabaikan. Fokus terhadap pendidikan anak lelaki bermakna komunikasi lebih tinggi antara ibu bapa dengan mereka.

Ibu memiliki sifat kasih sayang yang tinggi. Sejak awal kelahiran lagi perhatian kepada anak lelaki harus dititikberatkan. Bapa pula adalah pemimpin dalam keluarga. Bapa harus ada wibawa mendidik dan membentuk watak anak kerana pada bapalah contoh terbaik bagi anak lelaki yang suatu ketika nanti bakal menjadi bapa.

Bapa dicontohi kerana kewibawaannya sebagai suami dan pelindung ibu dan anak. Ibu dicontohi kerana kualiti kasih sayang , kelembutan dan kesantunan yang perlu bagi mengimbangkan disiplin, ketangkasan serta aktiviti pada anak lelaki. Bapa lazimnya mempunyai kualiti yang bakal diteladani anak kerana bapa adalah pemimpin keluarga.

Menjadi bapa tidak semudah menjadi suami. Bapa mempunyai tanggungjawab besar menentukan ibu mendapat keadilan dan kasih sayang. Bapa perlu berilmu dan ketrampilan mendidik supaya anak lelaki dibesarkan dalam keperluan bakat, naluri yang ada, begitu juga anak perempuan.

Bayangkan gambaran bapa yang bengis, hilang daya komunikasi dengan anak lelaki, tidak cuba memahami gelojak jiwa mereka, kurang arif menyatakan salah benar, boleh dan tidak boleh akan sesuatu menyebabkan anak lelaki hilang tempat rujukan serta putus tempat mengadu. Anak lelaki ini tidak berasakan rumah tempat selamat baginya dan bapa adalah pengimbang didikan serta asuhan terbaik.

Anak lelaki jangan dibiarkan berwatak lasak tanpa ditanamkan perasaan malu bertempat, pedomankan aktiviti jasmaninya supaya sentiasa dalam adab dan kesantunan. Kelasakan fizikal perlu diimbangi dengan ketangkasan minda dan keteguhan rohaniah.

Peribadi anak lelaki yang baik ialah cerdas akal fikirnya, hebat daya juangnya dan murni jalan hatinya.

Anak lelaki yang mempunyai peribadi seimbang bakal menjadi suami baik yang sifatnya menjadi teladan. Gadis kurang masalah mencari pasangan yang baik dan dipercayai. Keluarga akan ceria dan bahagia kerana bapa adalah seorang yang amanah.

Bapa yang berkualiti menjadikan pendidikan anak suatu keutamaan. Jika setiap keluarga memberikan fokus seimbang dalam melakukan pendidikan khususnya anak lelaki, jumlah generasi lelaki bermasalah akan dapat dikurangkan.

Bapa perlu mempunyai ilmu kebapaan. Ketrampilan mendekati anak lelaki dengan adab, disiplin, kesantunan menerusi daya komunikasi yang tinggi supaya bapa menjadi sumber rujuk dan teladan bagi anak lelaki sehinggalah anak lelaki boleh mandiri dengan bakat dan kebolehannya.

Jika isu anak lelaki dapat dijadikan agenda keluarga, sekolah, masyarakat dan negara, masalah ketirisan anak lelaki di tempat strategik dalam keluarga, masyarakat, kepakaran, kepemimpinan, sektor profesional boleh diatasi dengan berkesan. Keluarga adalah ejen perubah dan pembentuk yang paling utama kepada anak, khususnya anak lelaki.

Ibu bapa saling berkasih pengaruhi akhlak anak

Bersama Prof Dr Sidek Baba

IBU sering dirujuk sebagai faktor penting dalam pendidikan. Bapa tidak kurang penting membentuk anak dalam kepemimpinan. Bapa adalah lambang ketua dalam sebuah rumah tangga.

Didikan ibu dan kepemimpinan bapa boleh memberi perlindungan kepada isteri dan contoh kepada anak.

Menjadi suami adalah mudah. Perkahwinan boleh memberikan gelaran suami tetapi, menjadi seorang bapa adalah peranan yang payah.

Watak bapa tidak sama dengan watak ibu, tetapi Allah menjadikan mereka berpasang-pasang untuk melakukan peranan saling melengkapi.

Bapa perlu insaf bahawa pada ibu ada peranan penting untuk membentuk watak anak. Ia bukan monopoli bapa tetapi menjadi tanggungjawab bersama.

Semangat kebapaan perlu wujud dalam suasana keluarga. Kebapaan kepada ibu, meletakkan ibu dilihat sebagai sumber amanah.

Bapa harus berasakan bahawa ibu adalah amanah Allah yang besar. Ibu perlu dikasihi dan disayangi. Semangat kebapaan memberi perlindungan, tunjuk ajar, bimbingan dan rasa persefahaman dengan ibu. Ia bakal mewujudkan suasana rumah tangga harmoni dan damai.

Bapa tidak boleh mengatakan dia adalah segala-gala dalam rumah tangga. Perlu ada komunikasi dan persefahaman tinggi bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam keluarga.

Konflik akan berlaku jika ego bapa menyebabkan ibu sering tersinggung dan kepemimpinan keluarga menjadi monopoli bapa.

Wujudkan suasana selesa dalam rumah. Pandangan ibu boleh didengar, pertanyaan anak boleh dijawab dan akhirnya bapa membuat pertimbangan serta keputusan terbaik sebagai ketua keluarga.

Jika wujud pertelagahan antara bapa dan ibu, bapa harus mencari jalan penyelesaian saksama.

Ego kebapaan jangan sampai si ibu memendam perasaan, takut memberi pendapat, sentiasa mengikut telunjuk bapa, bapa selamanya benar hingga menyebabkan ketegangan sering wujud dalam keluarga.

Bapa perlu menyedari dirinya tidak semua sempurna. Kekurangan tetap ada. Ia memerlukan pandangan ibu dan saluran perbincangan sentiasa terbuka. Keadaan ini akan memberikan suasana melegakan dalam rumah tangga apabila pandangan terbaik diambil bagi membantu bapa untuk membuat keputusan.

Ada pengalaman bapa yang tidak ada pada ibu dan pengalaman mendidik yang dilakukan ibu, tidak ada pada bapa.

Selalunya banyak masa ibu bersama anak atau mengendalikan perjalanan rumah berbanding bapa. Seorang bapa yang baik selalu menginsafi bahawa fikiran ibu akan diminta dan keputusan dibuat untuk kebaikan keluarga dan anak adalah pertimbangan bersama.

Pada bapa ada sifat tegas dan tangkas. Anak perlu dilatih supaya memiliki watak tegas dan tangkas. Masalah anak hari ini adalah masalah ketiadaan disiplin dan kehilangan adab. Watak bapa yang tegas harus difokuskan untuk membangun disiplin anak.

Bapa perlu menjadi contoh kepada binaan disiplin ini. Jika bapa mahukan anaknya jangan merokok, bapa juga jangan merokok. Jika bapa mahukan anak menjadi berakhlak, awal pagi bapa perlu mengejutkan anak untuk bersolat Subuh dan menjadikan anak tidak lupa kepada waktu solat lain.

Bapa perlu mampu membentuk adab anak mengasihi ibu bapa dan orang tua. Menghormati jiran dan rakan taulan jadikan suatu amalan. Ada rasa malu terhadap perkara terlarang. Timbulkan kecintaan kepada amalan baik. Rasa malu terhadap perkara dosa seperti bercakap bohong, menganiaya manusia dan binatang, merosakkan harta awam dan berbangga terhadap sesuatu. Sifat kebapaan yang memiliki watak tegas boleh menjadikan anak terbiasa dengan disiplin dan kelaziman hidup yang santun.

Bapa juga perlu menjadikan anaknya tangkas. Ketangkasan tidak hanya terlihat pada aktiviti jasmani tetapi ketangkasan berfikir.

Bapa perlu berbincang dan berkomunikasi dengan anak. Anak yang rajin bertanya memberi kesan baik ke arah ketangkasan berfikir. Anak yang kelihatan lembik pada fizikal dan lemah upaya berfikir adalah akibat tiadanya suasana di rumah yang boleh merangsang ke arah itu.

Disiplin tinggi, adab baik, ketangkasan fizikal dan pemikiran adalah kunci membangun anak yang baik. Bapalah sepatutnya berperanan membentuk watak sedemikian.

Kegagalan anak dewasa ini akibat daripada kealpaan bapa memberikan bimbingan dan asuhan hingga ibu melakukan segala-galanya dan bapa hanya bertugas mencari nafkah.

Perlu diinsafi bahawa rumah tangga adalah tapak utama untuk asuhan dan didikan berlaku. Apa yang berlaku dalam keluarga bakal mencorakkan kejayaan anak di sekolah.

Keciciran anak di rumah kerana kealpaan bapa dan ibu menyebabkan keciciran anak di sekolah. Keciciran di sekolah boleh membawa keciciran dalam masyarakat.

Bapa perlu sentiasa berasakan ibu adalah harta didik yang sangat berkesan kepada anak. Menyayangi dan melindungi ibu seumpama mengasihi anak kerana ibu yang jiwanya tenang dan dikasihi bapa akan sentiasa memiliki kekuatan melaksanakan tanggungjawab mendidik.

Bapa hendaklah memberikan masa berkualiti tidak saja di tempat kerja tetapi kepada isteri dan anak.

Pada bapa ada hak isteri terhadapnya dan hak anak terhadapnya. Jika hak ini disempurnakan oleh bapa sebaiknya, rumah tangga dan keluarga akan menjadi bahagia dan contoh terbaik kepada orang lain.

Apabila bapa melihat ibu adalah aset dan anak adalah harta, akan wujud perimbangan daripada sudut peranan dan tanggungjawab. Wang ringgit bukanlah segala-galanya untuk dicari. Jika fokus tidak diberi bapa untuk membantu ibu mendidik anak, maka kemungkinan keluarga ’kehilangan anak’ boleh berlaku.

Bayangkan jika bapa tidak melakukan peranan dan tanggungjawabnya menyebabkan anak terjebak dengan amalan salah guna dadah, ia tidak boleh ditebus dengan wang ringgit lagi. Nasi sudah menjadi bubur.

Anak yang terbabit dengan dadah adalah beban kepada keluarga dan negara.

Begitu juga anak yang terbabit dalam kerosakan akhlak disebabkan tidak wujudnya suasana contoh di rumah. Keluarga menjadi tempat tidak selesa membentuk watak dan akhlaknya.

Bapa hanya sibuk di tempat kerja atau mencari duit tambahan. Anak menjadi terbiar. Percampuran dengan rakan sebaya adalah tinggi. Akhirnya anak terjebak dengan amalan negatif dan sukar untuknya berpatah ke pangkal jalan.

Bapalah watak penting yang perlu bertanggungjawab terhadap ibu dan anak. Jika peranan itu berjalan dengan baik dan saksama, ibu menjadi manusia paling gembira dan anak menjadi anggota keluarga yang amat berbahagia.

Pembudayaan insan Malaysia wajar ikut Al Quran

Bersama Prof Dr Sidek Baba

MAKSUD budaya dalam pengertian mudah ialah gabungan budi dan daya. Budi adalah sesuatu yang murni dan baik terpancar daripada hati, sementara rasa adalah upaya diri menterjemahkan nilai murni dalam kehidupan.

Apabila percakapan seseorang santun dan sopan, ia dikatakan selari dengan budi. Apabila amalan dan perbuatan seseorang berasaskan amanah, jujur dan adil, ia adalah pancaran daya yang tinggi.

Fahaman sesetengah orang mengenai budaya hanya dikaitkan dengan seni dan hiburan sebagai sebahagian aspek budaya tetapi maksud budaya adalah lebih luas. Budaya menggambarkan cara hidup sesuatu bangsa yang berbeza dalam masyarakat berbilang. Yang perlu disuburkan ialah nilai budaya tinggi yang mengangkat martabat kemanusiaan hingga tahap tamadun.

Kini kita menghadapi pengaruh budaya popular Barat. Ia tidak saja terpancar daripada asas berbeza tetapi banyak bercanggah dengan budaya santun pernah wujud dalam masyarakat yang mengutamakan nilai dan etika baik.

Budaya santun bermaksud bagaimana pancaran seni tinggi memberi makna hebat terhadap kehidupan. Genre pantun, seloka, gurindam, bayt, nazam dan qittah umpamanya adalah seni puisi yang memancarkan kata santun, enak di dengar dan memberi kesan kepada jiwa serta emosi kerana terkandung mesej tersendiri.

Ada salah faham terhadap maksud budaya Barat di kalangan generasi muda Islam. Jika budaya itu diibaratkan suatu cara hidup, aspek positif dari Barat seperti kecintaan kepada ilmu dan kaji-selidik, kegemaran membaca, berfikir dan berbincang, tradisi mengutamakan cara hidup demokratis tidak dijadikan pedoman terbaik.

Sebaliknya, lagu yang tidak keruan, muzik hilang arah, pakaian kehilangan identiti, filem yang merangsang keganasan dan kelucahan dijadikan sumber ikutan serta kebanggaan hingga menyebabkan generasi muda hilang cinta kepada diri sendiri dan akhirnya lahir rasa ketagih terhadap seni popular yang merangsang nafsu-nafsi.

Pemahaman terhadap maksud budaya harus jelas dan sifatnya menyumbang kepada proses pembudayaan yang mendukung nilai tinggi dan beradab. Dalam tradisi Islam, proses pembudayaan bermula dengan pemerkasaan akidah sebagai asas membina sistem kepercayaan.

Ia dikembangkan dengan pengukuhan ibadah yang tidak saja memberi fokus kepada keteguhan nilai rohaniah tetapi terpancar dalam amal dan perbuatan. Amal perbuatan dipandu aturan dan batasan supaya tidak bercanggah dengan keperluan serta kepentingan syarak.

Pancaran aqidah yang tinggi mempertautkan keimanan manusia dengan Pencipta menghasilkan rasa kehambaan dan kekhalifahan tinggi. Ia perlu menjadi sandaran dalam melakukan aktiviti kehidupan yang memberikan batasan benar dan salah, makruf dan mungkar.

Puncak daripadanya lahir akhlak dan peribadi insan mendukung nilai adab yang akhirnya mampu mendukung lahirnya sebuah tamadun. Inilah asas terhadap proses pembudayaan dalam Islam.

Dalam situasi masyarakat berbilang, banyak asas budaya yang terpancar daripada tamadun mereka yang boleh disaring, diadaptasi dan pengharmonian supaya nilai tinggi daripada tamadun yang pelbagai mampu diolah dengan bijaksana, kreatif supaya dapat dicetuskan acuan budaya membimbing ke arah persefahaman serta kasih sayang.

Seni bunyi dan silat umpamanya boleh dikembangkan secara bersepadu supaya wujud seni memancarkan masyarakat Malaysia yang berbilang. Daripadanya wujud pengertian baik terhadap persamaan dan perbezaan. Persamaan dan perbezaan dapat diterima dengan baik jika wujud keramahan dan harmoni dalam memberikan apresiasi serta penghargaan terhadap seni tinggi sesuatu bangsa.

Oleh kerana budaya itu membawa maksud kehidupan atau cara hidup, penting proses pembudayaan di Malaysia dibangunkan secara murni dan sihat. Nilai murni yang disemai dalam sistem pendidikan seharusnya lebih kreatif untuk membentuk daya fikir dan apresiasi kerana tanpa nilai murni pelajar akan disemai dengan fahaman individu, kebendaan dan nafsu-nafsi yang akhirnya membuka jurang pemisah antara kaum dalam batas sosioekonomi sempit.

Proses pembudayaan dalam masyarakat Islam harus menjadikan nilai al-Quran sebagai teras yang sifatnya terbuka untuk menerima unsur budaya lain sesuai dengan fitrah insani. Bagi masyarakat bukan Islam, harus wujud kecenderungan memperkasa unsur budaya positif dan sihat berasaskan nilai murni supaya jalan fitrah yang menghubungkan kelainan dan perasaan dapat disambung.

Pendakwah mesti kreatif, proaktif

Oleh Prof Dr Sidek Baba



ISLAM adalah agama yang lengkap. Nabi Muhammad saw dibentuk peribadinya dalam tempoh 23 tahun untuk menjadi contoh umat sezamannya dan terkemudian. Baginda mempunyai qudwah atau contoh sempurna untuk dijadikan sumber ikutan. Kualiti maksum yang ada pada Rasulullah menjadi sebaik-sebaik contoh pesuruh yang memiliki kecacatan sifar yang membolehkan manusia meneladaninya dengan baik.


Qudwah Rasulullah menghubungkan Islam sebagai agama dakwah dan tarbiah. Jalan dakwah dan tarbiah ini pula menempuh banyak dugaan dan cabaran.

Pendakwah terdahulu diuji dengan pelbagai bentuk ujian, tetapi kesabaran mereka dalam menyatakan yang hak, amat luar biasa. (Watawa saubil haq watawa saubis sabr).

Dustur atau rukun dakwah yang berasaskan bil hikmah wal mauizatil hasanah, wajadilhum billati hia ahsan sentiasa menjadi obor kekuatan dalam membina uslub antara gagasan yang besar dengan hakikat yang serba bejat dan mencabar.

Mereka melakukan olahan bijaksana, menekuni bidang keilmuan yang pelbagai, menampilkan contoh sahsiah yang dihormati dan mampu menampilkan jalan alternatif yang sezaman sifatnya. Dengannya wawasan besar Islam dapat disuburkan secara teratur dan berkesan.

Namun, sepanjang zaman itu juga ada pemeluk Islam bangun dalam orientasi atau suasana dewasanya dengan sentuhan ilmu, rempuhan pemikiran, corak amalan dan budaya hidup yang tidak serasi dengan faham Islam yang syamil atau sempurna.

Ada umat Islam yang syahadahnya Islam, tetapi jelmaan amalnya banyak yang bercanggah dengan roh syahadah yang begitu hebat maknanya. Ada umat yang istiqjal atau gopoh, yang mahukan umat berubah ke arah lebih baik dalam masa segera. Sayangnya, pendekatannya tidak mengambil kira faktor tahap kefahaman seseorang, latar pendidikan dan suasana di mana seseorang itu berada.

Ia menuntut pendekatan atau metodologi bagaimana usaha dakwah dan tarbiah dapat dilakukan supaya pintu minda dapat diketuk dengan kalimah kebenaran.

Begitu juga, pintu hatinya dapat diresapi dengan risalah murni yang membawanya kembali kepada fitrah.

Jalan dakwah itu penting diambil. Hal itu supaya di celah-celah lopak pertentangan politik kepartian, faham kelompok dalam jemaah, di tengah-tengah simpang siur globalisasi dan pengaruh media cetak serta elektronik yang serba menghambat, terbina jalan mengajak manusia kepada wehdah atau kesatuan umat secara bijaksana.

Di tengah-tengah kemelut manusiawi yang pelbagai, tersebar kalimah tarbiah disuburkan di hati insan supaya lahir perasaan kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi. Hal ini bakal mendorong daie dan murabbi mendekati hati yang mati dan rasa yang sudah binasa.

Kemungkaran dari sudut seorang daie dan murabbi atau pendakwah dan pendidik perlu jelas. Tetapi, jiwa daie dan murabbi yang memiliki belas kasihan dan kasih sayang yang tinggi akan sentiasa mencari jalan terbaik bagaimana hati-hati yang mati didekati. Begitu juga bagaimana rasa yang binasa dihidupkan semula.

Kesabaran kental dalam menyatakan kebenaran dan hak serta kebijaksanaan dalam mendekati pelaku kemungkaran dan mengolah strategi akan mengukuhkan perjuangan dakwah.

Bayangkan seseorang daie dan murabbi tidak memiliki rasa kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi yang menyebabkan terputusnya tali-temali dakwah. Begitu juga kebencian mereka terhadap perbuatan seseorang sama seperti kebencian terhadap orangnya.

Jika ini keadaannya, pasti perubahan sukar untuk berlaku dan kemungkaran akan terus bermaharajalela.

Hakikatnya, meskipun Islam itu agama sempurna, tetapi pemeluknya mempunyai banyak kekurangan. Ada yang memahami Islam sebagai agama rohaniah semata-mata, tanpa menghubungkan agama itu dengan tanggungjawab keilmuan, membangun keluarga, taklif sosial, amanah pendidikan dan sebagainya. Ia tidak menampilkan Islam sebagai suatu cara hidup yang boleh dicontohi.

Akhirnya, kepincangan umat akan berterusan kerana kecenderungannya lebih banyak terhadap perkara asas dan ketidakmampuan mengembangkan faktor asas supaya natijahnya membangun sistem.

Daie dan murabbi harus memiliki ilmu asas Islam secara baik. Dirinya harus menjadi contoh dalam hal kebijaksanaan, kesabaran, tasamuh atau tolak ansur. Ia juga perlu memiliki pengertian mendalam mengenai keperluan manusia dikembali dan dikekalkan dalam keadaan fitrah.

Perkara itu bertambah penting, pada era teknologi maklumat dan telekomunikasi yang kepentingan alat lebih banyak digunakan bagi mengembangkan maklumat dan alat perhubungan. Namun, hakikatnya ia belum tentu mampu membangun minda manusia, menunjuk jalan kebenaran atau memberi keinsafan terhadap pentingnya budaya pesan memesan ke arah kebaikan dan kemakrufan serta budaya tukar menukar maklumat untuk mendekatkan manusia kepada Tuhannya.

Oleh itu, pendakwah dan pendidik mesti bersedia untuk mengharungi cabaran dan ujian yang lebih getir. Hal ini kerana kesyumulan Islam tidak akan dapat diterjemah tanpa tekad tinggi semua pihak bahawa cabaran globalisasi adalah besar sekali.

Ia dapat dilakukan dengan tekad dakwah tinggi dan sifat murabbi yang dapat dicontohi, terutama yang mampu menjadi daya tarik umat, khususnya generasi muda ke arah pemikiran yang lebih fitrah dan budaya hidup yang lebih terarah.

Ia menuntut pengolahan dan pendekatan dakwah kreatif dan proaktif kerana minat di kalangan sasaran hari ini berubah dengan pesatnya.

Di kalangan daie dan murabbi seharusnya bersedia terjun ke tengah-tengah gelanggang menangani cabaran yang sebenar, bukan sekadar mengungkapkan gagasan Islam yang besar.

Tetapi tidak dapat difahami oleh sasaran, khususnya generasi muda yang jurang kefahamannya dengan pengaruh sekitarnya yang cukup membimbangkan. Di sini, letaknya kebijaksanaan dan kesabaran pendakwah dan pendidik merancang lantaran musuh Islam, bukan saja merancang, malah sedang melaksanakannya.

Pendirian liberal antara ancaman terhadap akidah

Prof Sidek Baba

ADA segelintir umat Islam mudah terpesong akidahnya disebabkan mereka kurang memahami serta mendalami Islam sepenuhnya.

Keadaan itu turut diancam oleh fahaman Islam liberal yang mula menular serta mempengaruhi masyarakat Islam kebelakangan ini sehingga menimbulkan rasa bimbang banyak pihak.

Buku Islam Liberal yang turut menjelaskan secara terperinci ciri aliran fahaman itu bertujuan menyedarkan umat Islam agar berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah.

Secara umumnya, Islam Liberal adalah aliran yang menolak kesepakatan ulama serta mentafsirkan al-Quran dan Hadis mengikut hukum akal.

Golongan ini dianggap begitu ghairah untuk menyebarkan ilmu agama, bagaimanapun apa yang mereka sangkakan betul sebenarnya tidak menepati al-Quran dan Sunnah, malahan sebaliknya tafsiran dan penjelasan mereka mengelirukan serta boleh menggugat akidah umat Islam.

Golongan Islam liberal menggunakan ayat al-Quran mengikut kepentingan mereka sehingga ia kelihatan seolah-olah menyokong walaupun tafsiran itu akan menyebabkan sesuatu ayat bercanggah antara satu sama lain.

Pendokong Islam liberal berasa pegangan umat Islam kepada agama menghalang kebebasan hak mereka seperti soal halal haram dan poligami.

Berikutan itu, mereka cuba mentafsirkan semula nas agama dengan tafsiran yang dapat disesuaikan dengan pegangan barat sehingga secara tidak langsung menimbulkan kekaguman dan pemujaan terhadap nilai barat.

Apabila keadaan ini berlaku, akidah mereka berubah seperti pemikiran barat sehinggakan peraturan Islam yang bercanggah dengan iklim barat dianggap bagaikan musuh mereka.

Buku Islam Liberal turut memperincikan tiga jenis ancaman seperti yang ditulis Pensyarah Bahagian Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tiga ancaman berkenaan ialah penyelewengan golongan yang melampau, ancaman Intihal al-Mubtilin (dakwaan palsu golongan yang batil) dan ancaman Takwil al-Jahilin iaitu golongan yang cenderung metakwilkan nas agama bertentangan dengan kaedah disiplin ilmu Islam yang betul.

Buku Islam Liberal mengemukakan perbahasan al-Quran dan Sunnah bagi menjawab segala persoalan yang timbul akibat pergerakan misi Islam liberal di Indonesia sebelum cuba dilanjutkan di Malaysia.

Oleh itu, pembaca seharusnya mendapatkan buku ini bagi mendapatkan pemahaman dan pengetahuan secara terperinci mengenai padangan Islam liberal serta menjadikannya sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan ini selain memastikan akidah sentiasa terpelihara.

Islam angkat daya intelek Melayu

Pedoman al-Quran berhasil mengetepikan kepercayaan tahyul, syirik

MELAYU satu bangsa dan Islam adalah agama. Kewujudan bangsa Melayu itu adalah suatu fitrah. Al-Quran memberikan asas bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa ( surah al-hujurat, ayat 13).

Bangsa Melayu adalah salah satu bangsa yang wujud di dunia. Islam ialah ajaran dan agama yang datang daripada Allah. Diturunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada manusia supaya mendapat petunjuk dan membina takwa.

Al-Quran turun kepada bangsa Arab. Bermula dengan Rasulullah SAW, kemudian berkembang kepada bangsa lain termasuk Melayu, Cina, India dan lain-lain. Islam adalah agama rahmat, ajarannya mendukung sifat alamiah, ia tidak terbatas kepada bangsa Arab tetapi juga kepada seluruh bangsa yang ada di dunia ini.

Bangsa Melayu pada asalnya menganut faham anamisme. Kemudian ditindikkan keyakinan Melayu dengan agama Hindu dan Buddha. Melayu yang anamisme, Hindu dan Buddha dibentuk oleh kepercayaan dan cara hidup yang sesuai dengan ajaran agama itu. Apabila Islam datang, cara berfikir, tradisi dan budaya yang dibina dan cara beribadah adalah mengikut jalan Islam.

Islam membebaskan keyakinan orang Melayu daripada faktor tahyul dan syirik. Islam mengangkat minda dan intelek orang Melayu supaya berfikir selari dengan fitrah akal. Islam tidak saja suatu sistem kepercayaan tetapi ia mengatur kehidupan.

Islam dalam sejarahnya di Alam Melayu sudah membangunkan suatu tamadun sama ada dalam kepemimpinan dan kepengikutan mahupun dalam karya yang terhasil serta sistem pendidikan yang berlangsung.

Bangsa Melayu menjadi hebat kerana ajaran Islam. Ajaran Islam menjadikan orang Melayu beralih daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah yang satu. Dari situ lahirnya kesedaran tauhid bahawa Allah adalah Pencipta bukannya direkabentuk seperti berhala dan benda hasil buatan manusia kemudian disembah sebagai tuhan.

Bangsa Melayu menjadi hebat kerana dilatih taat kepada imam dan pemimpin selagi imam dan pemimpin tidak melakukan perkara terlarang. Al-Quran, sumber utama ajaran Islam tidak saja menghasilkan kisah manusia terdahulu untuk dijadikan teladan bagi orang terkemudian tetapi mengajar bangsa Melayu mengenai prinsip hidup, kekeluargaan, masyarakat dan negara.

Al-Quran juga mengatur kehidupan orang Melayu dengan prinsip syariah atau hukum, mengetahui benda yang makruf dan mungkar, wajib dan haram supaya orang Melayu tidak melampaui batas. Daripada ajaran itu, bangsa Melayu membentuk budaya hidupnya selari apa yang terkandung dalam al-Quran.

Oleh itu, kekuatan bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan dengan ajaran Islam. Islamlah yang membentuk jalan berfikir, jalur budaya dan pedoman hidup yang mendorong mereka untuk maju dan cemerlang tidak saja di dunia, juga di akhirat.

Hal yang sama juga berlaku kepada bangsa Arab dan juga bangsa lain. Mereka mampu membina tamadun dan menghasilkan penerokaan ilmu sains dan teknologi kerana menerima perisyaratan dan pedoman daripada al-Quran.

Al-Quran menjadi sumber petunjuk untuk membangunkan jiwa tadabbur (kaji selidik), mengajak mereka berfikir mengenai tanda kebesaran Allah. Terdapat kira-kira 2000 ayat al-Quran memberi pedoman perkara sains yang akhirnya mencetuskan Baghdad dan Andalusia dalam satu siri tamadun menakjubkan.

Bangsa Melayu yang ditindikkan dengan Islam mendukung maksud ummah dalam erti kata yang luas. Al-Quran memberi pedoman mengenai konsep khaira ummah atau umat terbaik sebagai asas kejayaan.

Umat terbaik terdiri di kalangan bangsa yang melakukan hal makruf, mencegah kepada yang mungkar dan beriman kepada Allah. Apabila bangsa Melayu cintakan kebaikan, bencikan kejahatan dan sentiasa menghubungkan perbuatan serta gelagatnya untuk mendapatkan keredaan Allah, maka bangsa Melayu menjadi sebahagian daripada umat Islam yang berjaya, maju dan cemerlang.

Umat Melayu bertukar menjadi sebahagian umat yang lebih besar. Makna alamiah dalam Islam menjadikan dukungan terhadap tamadun mengatasi dukungan terhadap bangsa itu sendiri. Apabila asas tamadun Islam dijadikan landasan membangunkan kekuatan berfikir, kehebatan bekerja, kebaikan peribadi umat Melayu, dengan sendirinya umat Melayu berada dalam barisan bangsa contoh.

Bayangkan bangsa Melayu yang tidak menghayati cara hidup Islam, ia boleh menyebabkan kemungkaran dan kefasadan hanya perkara biasa. Kezaliman dan pecah amanah menjadi amalan. Kebendaan dan nafsu-nafsi menjadi matlamat hidup. Akhirnya bangsa Melayu akan kecundang dalam pertarungan sengit untuk memajukan bangsanya.

Menjadi Islam tidak harus menjadikan kita mundur kerana Islam mendorong bangsa Melayu untuk maju. Berpegang kuat kepada ajaran Islam tidak harus dikaitkan dengan halangan untuk maju kerana tamadun silam diambil oleh Barat untuk memajukan diri mereka.

Berpegang kepada watak amanah dan adil tidak harus menyebabkan bangsa Melayu terkebelakang kerana rasuah, salah guna kuasa, lupa amanah untuk membangunkan Melayu, mementingkan diri sendiri, oportunis terhadap peluang dan kesempatan terbukti menyebabkan bangsa Melayu tiris dalam banyak bidang.

Pemahaman Islam secara dinamik dan diaplikasikan dalam budaya hidup serta bekerja umat Melayu adalah jawapan terbaik untuk membangun Malaysia di bawah acuan kita sendiri. Tidak menolak faedah berbanding yang terdapat daripada Barat dan Timur, mengunggulkan jati diri bangsa yang berfaedah dan menjadi sebahagian daripada tamadun umat.

Modal insan bermutu tuntut sahsiah tinggi

PEMBANGUNAN modal insan adalah agenda utama Malaysia dalam perancangan menjadikan Malaysia negara maju memenuhi matlamat Wawasan 2020 yang meletakkan Malaysia maju dalam bidang sains dan teknologi berasaskan acuan sendiri.

Pada Rancangan Malaysia Kesembilan, faktor modal insan menjadi agenda utama dalam menentukan pembangunan Malaysia yang mementingkan ilmu dan kepakaran untuk mencapai tahap negara maju.

Modal insan yang berkualiti tidak sekadar mempunyai ilmu dan kepakaran, keahlian dan profesionalisme tinggi, tetapi mendukung sahsiah tinggi. Sahsiah tinggi penting dihayati kerana jenis cabaran dalam bidang masing-masing tidak saja sifatnya intelektual, teknikal dan profesional tetapi menuntut kualiti amanah, adil, telus dan tulus pada diri.

Modal insan berkualiti tidak saja terbabit dengan kerja mekanikal, profesional dan saintifik tetapi memerlukan etika dan nilai supaya urusan menjadi tulus dan telus. Modal insan yang terbabit dengan salah tadbir, rasuah, mementingkan diri sendiri, oportunis umpamanya tidak akan menjadikan organisasinya cemerlang.

Amalan salah menjadi belenggu dirinya. Dirinya tidak ada kemerdekaan kerana perbuatannya bakal merosakkan negara dan sistem. Amat penting kesedaran etika dan nilai dikaitkan keyakinan bahawa Allah SWT melihat dan menyaksikan apa yang berlaku.

Asas ihsan ini penting dalam melaksanakan amanah pengurusan. Dalam Islam amanah pengurusan ialah suatu ibadat. Melaksanakan sesuatu atas niat ibadat dan apabila melakukannya yakin akan penyaksian Allah SWT mempunyai daya dorong tinggi untuk berlaku jujur dan ikhlas. Inilah asas ihsan yang menjadi tunggak dalam menguruskan sesuatu.

Membina kualiti ihsan membangunkan modal insan adalah penting. Al-Quran ada menyebut kecemerlangan insan dilihat pada takwanya (Surah al-Hujurat, ayat 13) sebagai asas menjadikan manusia insaf bahawa sesuatu yang berjalan dan berlaku sentiasa terhubung dengan Allah SWT.

Insaf ketuhanan menjadi faktor penting menyebabkan etika dan nilai berjalan. Ia dapat memerdekakan diri manusia daripada melakukan perkara tidak baik.

Kemerdekaan serta pembangunan modal insan memerlukan ilmu dan nilai. Pembangunan modal insan tidak hanya cukup dengan latihan yang sifatnya mekanistik. Upaya mekanistik akan menjadi lebih bermakna jika asas nilai dan pedoman bersamanya.

Baik ia seorang saintis, pakar teknologi dan seumpamanya, keperluan terhadap nilai baik dan pedoman berguna adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Apalagi. jika nilai itu datangnya daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Kemerdekaan dalam erti kata luas ialah membebaskan manusia daripada belenggu perasaan rendah diri, malas terhadap kerja, cuai terhadap tanggungjawab, lebih kurang dalam pengurusan, tidak menepati waktu, tiadanya muafakat dalam membuat keputusan, kualiti dan produktiviti.

Membebaskan belenggu itu harus dihubungkan dengan ganjaran lebih besar mengenai kerja dan tanggungjawab. Jika kerja dihubungkan dengan amanah dan tanggungjawab, lonjakannya akan lebih hebat.

Seseorang tidak akan hanya bekerja kerana rutin untuk mendapatkan gaji tetapi kerja dilihat sebagai tempat melakukan ibadat dalam erti kata luas. Menepati waktu, rasa kepunyaan dan kekitaan terhadap organisasi, jujur terhadap tugas dan tanggungjawab, serius dalam melaksanakan amanah kerja, kualiti dan produktiviti dijadikan keutamaan adalah gambaran bagaimana kualiti modal insan yang berjiwa merdeka dan memiliki daya ihsan tinggi.

Pembangunan modal insan di negara kita perlu mengambil pendekatan intergratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan. Pendidikan intergratif menjadikan asas nilai dan etika sebagai sumber utama dan ia diharap dapat membentuk watak pekerja yang sentiasa mengaitkan asas nilai dan etika dengan apa saja jenis pekerjaan dilakukan.

Pekerja Islam umpamanya, tidak harus ada masalah melakukannya. Keyakinan tinggi terhadap Allah adalah faktor utama yang memberikan daya kawalan manusia supaya tidak terbelenggu dengan niat dan cara bercanggah dengan konsep amanah serta telus.

Keyakinan kepada Allah menjadi penggerak dan pendorong manusia melakukan sesuatu. Apabila nilai dan etika Islam sebati dalam niat dan amalan, maka manifestasi amal akan berjalan seiring. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang faham makna dosa dan pahala, halal dan haram akan dapat membezakan yang mana satu amalan baik atau sebaliknya.

Membelenggu diri dengan amalan salah berkait rapat dengan rezeki diterima. Rezeki yang diterima mungkin tidak halal dan tiada berkatnya apabila dibawa balik ke rumah. Jika keinsafan ini ada bagi setiap orang Islam, dengan sendirinya apa saja pekerjaan dilakukan dikaitkan dengan ibadat.

Insan beriman yakin bencana peringatan Tuhan

Bersama Prof Dr Sidek Baba


BENCANA tsunami di beberapa negara di Asia dan Afrika akhir tahun lalu serta terbaru Taufan Katrina yang melanda Amerika Syarikat dilihat oleh sesetengah orang sebagai bencana alam. Bagi orang beriman, faktor alam tidak boleh dipisahkan dengan faktor Pencipta. Sesuatu kejadian yang berlaku tentu bersebab dan ada hikmah di sebaliknya bagi orang yang mahu merenung dan berfikir.

Perjalanan alam ini adalah suatu sunnah Allah bukannya sunnah alam. Sunnah Allah menghubungkan kejadian dengan Pencipta dan Pengaturnya. Sunnah alam tidak menghubungkan manusia dengan Pencipta, malah ia terjadi dengan sendiri. Tidak mungkin alam itu terjadi dengan sendiri seperti tidak mungkin kereta, kapal terbang dan kapal laut bergerak sendiri. Semuanya dipandu dan digerakkan oleh manusia.

Tetapi manusia tidak mampu menggerakkan bintang dan mengawal sistem solar, apa lagi mengatur perjalanan sistem galaksi yang amat raksasa, melainkan ada suatu kuasa yang amat Perkasa mengaturkan semuanya itu. Ia dirujuk kepada kuasa Pencipta iaitu Allah.

Allah menggambarkan perkara ini dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu Allah hidupkan bumi sesudah mati (kering), dan Allah sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi. Itulah tanda kebesaran Allah bagi mereka yang memikirkan." (Surah al Baqarah, ayat 164)

Al-Quran tidak dituntut untuk diimani sebahagiannya dan tidak diimani sebahagian yang lain. Kisah dalam al-Quran, peristiwa dirakamkan, peringatan diberi dan khabar gembira diutarakan serta batasan yang dijadikan pedoman dan prinsip yang dijadikan ikutan adalah cerminan keseluruhan daripada proses pengwahyuan yang perlu diimani oleh manusia. Setiap yang dirakamkan dalam al-Quran membawa maksud dan hikmah tertentu untuk manusia berfikir dan renung. Ia supaya daripada semuanya itu manusia mendapat pengajaran dan iktibar.

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah suatu ketentuan Allah terhadap hamba yang terpilih.

Saat kejadian itu terhadap Rasulullah SAW ialah ketika Baginda dihimpit tekanan dan cabaran pedih daripada kelompok penentang yang ingin memadamkan cahaya Allah dan bertekad menghapuskannya dari bumi.

Oleh kerana Nabi Muhammad adalah manusia pilihan Allah untuk membawa suatu risalah besar untuk umat manusia, maka tentu Allah memiliki kekuasaan untuk melakukan apa saja. Bagi orang yang tidak beriman, peristiwa ini dianggap sebagai sesuatu yang lucu dan tidak masuk akal. Tetapi, bagi mereka yang beriman meyakini bahawa Rasulullah bukan seorang pendusta.

Seperti juga apabila berlaku peristiwa tsunami di Aceh, bagi orang beriman, ia diterima dengan penuh keinsafan dan iktibar bahawa kuasa Allah itu mengatasi segala-galanya. Bagi yang tidak beriman, terus bertanya mengapa ia berlaku di suatu tempat di mana orangnya bersembahyang dan beriman kepada Allah. Apa yang Allah tahu tidak sama seperti apa yang manusia tahu. Hikmah di sebalik kejadian kadang-kadang tidak mampu diselami oleh mereka yang tidak beriman.

Tsunami adalah bukti nyata berlakunya kiamat kecil kepada manusia seperti kematian yang juga kiamat kecil kepada setiap insan. Al-Quran memberikan peringatan mengenai kiamat yang sebenar. Gambaran kiamat itu tentunya membabitkan semua, tidak kira apa kedudukan kita pada sisi Allah dan apa suasana pun kita berada ketika kiamat berlaku. Hal ini kerana ia adalah ketentuan Allah. Bagi yang beriman dan beramal salih, Allah akan memberikan tempat setimpal di akhirat nanti. Bagi yang ingkar, sombong dan melampau batas Allah akan memberikan balasan setimpal seperti yang dijanjikan-Nya.

Hal yang sama berlaku terhadapTaufan Katrina yang amat dahsyat menimpa penduduk di Amerika Syarikat. Kalaulah manusia dikatakan memiliki kekuatan meramal dan mengatasi bencana, Allah tunjukkan bagaimana faktor sunnatullah atau ketentuan Allah mengatasi keupayaan teknologi dan saintifik yang dimiliki oleh manusia.

Sebesar mana suatu kuasa manusia, akhirnya terpaksa tunduk terhadap ketentuan Pencipta.

Selagi mana manusia ingkar terhadap sunnatullah dan tidak mengambil iktibar daripadanya, maka selagi itulah manusia tidak akan belajar daripada sifat angkuhnya sendiri. Begitu juga tidak mendapat hikmah daripada sesuatu kejadian.

Firman Allah bermaksud: "Allah menimpakan angin itu kepada mereka (kaum Aad dan Tsamud) selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus, maka kamu lihat kaum Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk)." (Surah al-Haaqqah, ayat 7)

Peristiwa Israk dan Mikraj juga adalah ujian Allah kepada manusia. Bagi yang beriman mengukuhkan lagi imannya kepada Allah. Bagi yang ingkar menambahkan keingkarannya kerana bagi yang ingkar mereka tidak percaya kepada yang ghaib. Logik akal mereka hanya bersandarkan kepada sesuatu yang nampak pada penglihatan dan pemandangan mereka. Sedangkan sunnatullah ada pada yang nampak dan ada pada yang manusia tidak nampak. Allah memiliki kekuasaan menampakkan sesuatu untuk manusia percaya dan tidak menampakkan sesuatu untuk manusia percaya.

Sedangkan Allah memiliki kekuasaan menghadirkan yang wujud dan tidak setiap yang wujud mesti maujud atau terlihat dengan nyata.

Roh, umpamanya, wujud pada diri manusia dan tidak maujud seperti adanya tangan dan kaki. Tetapi tangan dan kaki tidak akan bergerak tanpa adanya roh yang memberi hayat kepada manusia. Roh itu bukan milik manusia dan bukan urusannya. Kalaulah roh itu milik manusia dan urusannya, maka roh boleh kekal pada tubuh manusia selama-lamanya.

Oleh kerana roh itu adalah urusan Allah, maka setakat mana roh itu perlu berada pada tubuh manusia ia adalah hak Allah bukan hak manusia. Allah boleh mengambilnya bila-bila masa tanpa meminta izin daripada manusia.

Lenyap kasih sayang punca krisis generasi

Bersama Prof Dr Sidek Baba

RASULULLAH SAW apabila ditanya oleh seorang sahabat mengenai siapa lagi yang harus dipatuhi selepas Allah dan Rasul menyebutkan, Ibumu! Ibumu! dan Ibumu!

Tiga kali ulangan terhadap ibu membayangkan ibu adalah watak penting dalam kehidupan manusia dan keluarga. Tentu ada kekuatan pada ibu yang menyebabkan Rasulullah SAW berkata demikian.

Rasulullah dalam hadisnya menyebutkan juga bahawa,"syurga adalah di bawah tapak kaki ibu." Ia terkandung maksud yang amat besar kepada anak bagi kesejahteraan di dunia dan akhirat.

ibumithali.jpg

Pada diri ibu ada unsur penting dalam proses didik, asuhan, kasih sayang, kesabaran dan memiliki kasih sejati terhadap anak. Mana tidaknya, ibulah yang mengandung anak dengan susah payah selama lebih sembilan bulan. Ibulah yang melahirkan anak dalam kesakitan dan kepedihan. Ibu jugalah yang bangun pada tengah malam menyusukan anak dan menyalin lampin anaknya.

Ibu sebagai pelengkap kepada watak bapa menjadi faktor penting dalam proses pembangunan zuriat, anak dan generasi. Kualiti keibuan sifatnya unik kerana kelembutan dan kasih sayang ibu mendekati anak memiliki upaya didik menyuburkan watak dan peribadi.

Ibu yang berilmu dan berketrampilan dalam memahami proses pertumbuhan dan pembesaran anak baik dari sudut minda, psikologi, emosi dan tabiat, memiliki cara dan kaedah berkesan bagaimana anak harus diremaja dan didewasakan.

Apakah ibu pada masa kini dalam ruang peranan baru hadir di pejabat, kesibukan melakukan kerja pengurusan dan profesional sepanjang hari, mempunyai masa berkualiti dengan anak?

Memadaikah dengan peranan "bibik" atau pembantu untuk memindahkan jiwa keibuan dan budaya keluarga kepada anak. Apabila masa berkualiti ditumpukan di pejabat atau di luar rumah, adakah masa yang berbaki untuk anak.

Keluarga yang melihat hari depan yang baik ialah keluarga yang berasakan anak adalah aset. Anak adalah harta bernilai dan tidak boleh ditukar ganti dengan wang. Apabila kita meninggal nanti, anak yang salih menjadi faktor penting menghubungkan yang pergi dan masih tinggal.

Anak yang diberi makan-pakai yang cukup tidak bermakna sudah sempurna tanggungjawab dilakukan oleh ibu. Makan-pakai adalah perkara asas bagi meneruskan kehidupan, tetapi kasih sayang dan kemanjaan penting untuk membentuk watak dan perangai.

Anak yang tidak mendapat kasih sayang serta kemanjaan daripada ibu akan mencari sumber lain untuk meluahkan perasaan sunyi dan bosan bagi mendapatkan perhatian. Naluri ingin tahu yang tinggi dan sikap aktif anak akan tertumpah kepada rakan sebaya dan juga kepada sumber yang tidak fitrah. Akhirnya, anak tidak belajar daripada ibunya, tetapi belajar daripada orang atau sumber lain.

Bayangkan jika ibu asyik mengejar harta, mengumpul kekayaan saja dan mengabaikan tanggungjawab untuk mendidik serta mengasuh anak. Memadaikah ratusan ribu ringgit yang terkumpul untuk menebus "kehilangan" diri anak yang terjebak dengan salah guna dadah, berada di pusat serenti, terbabit kegiatan "mat rempit" atau terimbau dengan penyakit Aids/HIV.

Harga memberikan kasih sayang, belaian, pemerhatian dan bimbingan terhadap anak amat tinggi nilainya. Lebih-lebih lagi dalam tempoh kritikal sejak lahir hingga ke akil baligh, anak memerlukan tapak tabiat, perangai dan peribadi yang teguh dan kukuh supaya memiliki kekebalan bagi menghadapi cabaran negatif dalam perjalanan hidupnya.

Asas inilah disebutkan Rasulullah SAW bahawa anak lahir dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapalah yang bakal menentukan arah tuju kehidupan anak.

Anak hari ini secara fizikalnya amat aktif. Secara mindanya anak mempunyai naluri ingin bertanya yang tinggi. Anak memerlukan pujian dan apresiasi bila melakukan sesuatu yang membawa kepada kemajuan dan kejayaan.

Anak juga memerlukan contoh supaya hidupnya terbimbing. Apakah ibu memiliki kualiti ini dan sesuai pula dengan zaman. Pada hari ini anak terdedah dengan benda dan perkara mencabar dari dunia cetak dan elektronik.

Rasa selesa dilalui kebanyakan keluarga menyebabkan anak muda mempunyai kecenderungan berfoya-foya. Rasa kesempitan ditanggung sesetengah keluarga menyebabkan anak terbiar dan terjebak dalam amalan salah guna dadah dan pergaulan bebas membawa kepada kerosakan akhlak.

Minat anak muda dengan agenda hiburan dan suasana yang memberi ruang kepada pergaulan lepas bebas memang kuat. Contoh artis dan penyanyi di media elektronik dan cetak tidak mewakili watak yang santun, gerak geri tertib dan indah.

Sebaliknya "idola" yang menjadi pujaan ialah memiliki rambut tegak tidak terurus, pakaian mendedah menampakkan susuk dan pusat, pekikan suara yang sudah kehilangan harmoni dan kebingitan bunyi muzik memekakkan telinga.

Keadaan seperti itu tidak membantu untuk melahirkan anak yang santun, tertib serta memiliki disiplin dan akhlak tinggi. Ia tidak menyumbang kepada pembinaan sahsiah contoh.

Pemikiran anak seperti ini tidak akan berkembang. Mentaliti perbualan hanya kepada hal remeh sekitar gosip, kahwin cerai artis dan selebriti SMS. Anak dimatikan hatinya daripada memperlihatkan rasa malu, hormat, patuh kepada ibu bapa dan orang tua. Anak dirangsang minda dan nafsunya untuk menyunsung slogan "hidup muda remaja hanya sekali".

Dewasa ini, kita menghadapi krisis generasi. Ramai remaja yang sedang kehilangan arah dalam kehidupan dan mengalami kecelaruan membuat keputusan. Ada ramai di kalangan generasi muda tidak lagi merujuk kepada ibu untuk mendapatkan nasihat dan beralih kepada rakan sebaya untuk mendapat pedoman.

Ramai di kalangan remaja yang tidak lagi mendengar cakap dan pedoman ibu dan tidak menjadikan ibu sebagai pemberi nasihat, penunjuk jalan atau pun tempat berkongsi masalah.

Justeru, ibu perlu kembali kepada peranan asal sebagai pendidik awal kepada anak. Meniupkan obor kasih dan cinta sayang yang tak kunjung padam. Menjadi tempat rujukan anak di saat perlu.

Sumber teladan terbaik membangun diri. Tempat meluahkan perasaan dan mencari suluh pedoman bila jiwa anak tertekan. Mampu membahagikan masa berkualiti untuk anak.

Berdakwah zaman mencabar harus bijaksana

ALLAH SWT menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada manusia. Rasulullah SAW menghazamkan makna al-Quran dalam peribadinya sehingga isterinya, Saiditina Aishah menghubungkan akhlak Rasulullah sebagai akhlak al-Quran.

Dari situ lahirlah qudwah atau contoh untuk dijadikan sumber ikutan manusia. Di samping sifat siddiq dan amanah Rasulullah SAW, Baginda membuktikan menyampaikan (tabligh) kebenaran itu menjadi kewajipan paling utama. Al-Quran tidak diturunkan dalam kekosongan.

Al-Quran turun berdepan dengan hakikat kehidupan manusia. Ayat Makkiyyah atau Madaniyyah turun dalam konteks sosiobudaya, realiti sistem kepercayaan dan gaya hidup yang memerlukan metodologi amat serasi. Di Makkah ayat yang menyentuh aspek akidah menjadi keutamaan dan di Madinah ayat mengenai syariah dan cara hidup menjadi landasan.

Al-Quran adalah mukjizat Allah yang membawa kebenaran untuk difahami dan diterima manusia. Ia adalah amanah untuk disampaikan kepada seluruh manusia. Al-Quran dalam Surah al-Imran, ayat 104, memberikan asas perlu ada sekumpulan manusia menyeru, mengajak, memanggil, melakukan tabligh atau dakwah iaitu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Rasulullah SAW juga memberikan pedoman mengenai metodologi dakwah iaitu bijaksana memahami realiti yang ada, berikan hujah terbaik dan jika berlaku perbezaan pendapat, lakukan dengan baik.

Surah al-Asr juga memberikan asas supaya dalam menyampaikan kebenaran, kesabaran menjadi pedoman terbaik. Islam adalah agama dakwah. Rasulullah SAW, sahabat, tabie dan ulama adalah pendakwah serta pendidik. Wujudnya usaha dakwah dengan kegigihan, kebijaksanaan dan pengorbanan di kalangan mereka, menyebabkan Islam sampai ke alam Melayu dan berkembang sehingga ke hari ini.

Kerja dakwah adalah tugas mulia. Realiti masyarakat sifatnya dinamik berubah. Faktor persekitaran dan perkembangan semasa, sama ada dalam ilmu, maklumat, teknologi dan hiburan banyak memberi kesan terhadap gaya serta cara hidup manusia.

Oleh itu, persiapan pendakwah dari segi ilmu, maklumat dan metodologi juga perlu canggih supaya wujud keseimbangan antara faktor menarik dan menolak dengan faktor mengajak mereka kembali ke jalan benar.

Sebagai dai’ dan murabbi, kita tidak boleh lari atau berkecuali daripada keadaan yang ada. Kebijaksanaan harus dicari, metodologi dakwah harus diteroka, kreativiti harus digarap supaya antara faktor yang dinamik berubah mampu diimbangi asas kefahaman Islam yang mampu membimbing manusia ke jalan ilmu dan syarak.

Rasulullah SAW mendekati bapa saudaranya, Abu Talib dengan penuh hemah dan kebijaksanaan. Baginda menyampaikan maklumat terbaik kepadanya. Usaha melakukan yang terbaik adalah tugas dai’ dan murabbi tetapi harus diinsafi bahawa yang memberikan hidayah adalah Allah SWT.

Hakikatnya, cabaran terhadap manusia adalah sama. Pada zaman jahiliyah, jenis manusia adalah ingkar terhadap wahyu Allah. Sifat jahiliyah adalah sifat sepanjang zaman. Keingkaran manusia juga berlaku pada masa kini, malah boleh berlaku pada masa depan. Tanpa dakwah dan tarbiyah, manusia akan bertambah jauh daripada kebenaran.

Yang membezakan zaman lalu dengan zaman kini ialah asas mekanistik yang berbentuk teknologi. Pada hari ini, kekuatan teknologi media cetak, elektronik, sistem komunikasi dan telekomunikasi memberi kesan hebat kepada penonton dan pengguna. Usaha menyampaikan amanah Allah juga memerlukan kecanggihan.

Jika tidak, dakyah atau usaha pihak yang sedang melakukan tipu daya dan penyesatan dalam pelbagai cara akan bertambah subur dan memberi kesan terutamanya kepada generasi muda.

Generasi muda Islam masa kini tidak sama dengan generasi Islam masa lalu. Mereka terdedah dengan perkara baru yang mencabar sehingga setengahnya cair dan hanyut dengan budaya popular Barat yang menyebabkan kerosakan kepada minda, akhlak dan gaya hidup. Jika kerosakan terus berlaku, bayangkan jenis generasi yang bakal lahir bagi menawarkan kepimpinan Islam pada masa depan.

Keadaan itu menuntut ketrampilan pendakwah melakukan tabligh atau dakwah dan tarbiyyah dai di gelanggang. Ada setengah umat Islam semacam putus asa dengan apa yang sedang berlaku dan menyerahkannya kepada takdir. Tetapi, perlu ada di kalangan umat melihat situasi sebegini sebagai cabaran melakukan dakwah.

Sekitar 70-an dan 80-an, dakwah lebih banyak menumpu kepada perubahan pemikiran dan hati. Tetapi, hari ini pendekatan dakwah harus menyesuaikan diri dengan kecanggihan teknologi yang sangat memberi kesan terhadap cara hidup manusia.

Sedikit dakwah yang berlaku kadang-kadang cair dengan dakyah yang berjalan. Ia menyebabkan sebahagian generasi muda menjadi celaru dan keliru kerana dakwah dan dakyah membawa dua sistem nilai berbeza. Yang satu mengajak manusia melakukan kemakrufan dan satu lagi menyediakan jalan kemungkaran.

Dekad terdahulu, kita berdepan dengan masyarakat daif ilmu dan maklumat. Hari ini, kita berhadapan dengan masyarakat berpelajaran, kelas menengah yang semakin meningkat, arus kemewahan dan keselesaan yang ketara. Ia mencabar pendakwah mencari jalan terbaik bagaimana dakwah boleh berjalan.

Jika usaha dakwah diolah dengan bijaksana, sama ada melalui laman web, internet, lama sembang, blog, penghasilan buku dan karya kreatif mahupun melakukan komunikasi menerusi perbincangan, pertukaran pendapat, seminar dan bengkel dan ziarah, ia boleh meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap Islam.

Al-Quran sumber utama pemahaman nilai hidup

Bersama Prof Dr Sidek Baba

PENDIDIKAN bersepadu adalah wadah terbaik menentukan generasi dilahirkan. Pendidikan bersepadu bermaksud bagaimana ilmu pengetahuan berkembang dan subur bersama nilai murni.

Dalam konteks masyarakat Islam, ilmu mengurus diri (fardu ain) dan mengurus sistem (fardu kifayah) dapat menyatu diri atau diharmonikan supaya mempunyai kekuatan pemikiran serta nilai murni.

Minda generasi muda penting diperkasa dan pada masa sama kemahiran berfikir perlu diberi. Antara kekuatan minda dan kemahiran berfikir, ia perlu dipandu oleh nilai. Tanpa nilai, apa yang difikir boleh menjadikan pemikiran hampa dan kosong.

Pemikiran tidak mendukung sesuatu bermakna dan memberi erti kepada kehidupan manusia sehingga nilai memberi pedoman dan jalan membangun hidup yang maju serta bermanfaat.

Nilai adalah ukur tara yang memberikan manusia pedoman mengenai buruk baik sesuatu.

Bercakap benar umpamanya adalah nilai dan amalan baik. Jika kebenaran yang disampaikan, maka kebenaran juga diterima. Apabila kita berdusta, maka ia akan memudaratkan diri dan orang lain.

Sama ada nilai itu diambil daripada sumber agama atau falsafah, ia memberi manusia pedoman dan batasan mengenai sesuatu yang serasi dengan fitrah insan. Bagi orang Islam umpamanya, nilai Islamik menjadi sumber ukur tara dijadikan pedoman dan jalan.

Percakapan tidak membolehkan pembohongan berlaku kerana ia satu dosa. Perbuatan Islamik sentiasa mengarah kepada nilai adil, bijaksana dan mensejahterakan. Ia selari dengan fitrah insani.

Pendidikan bersepadu menjadikan nilai al-Quran sebagai sumber berdirinya ilmu dan akhlak manusia. Mempelajari akidah ialah mempelajari mengenai faktor ghaib, iaitu Allah dan menghubungkannya dengan benda nyata.

Dalam pengurusan umpamanya, kekuatan akidah menjadi landasan bahawa, ‘Pengurusan kerana Allah membawa hikmah kepada manusia.’ Maksudnya kekuatan akidah memberikan manusia landasan mengenai keperkasaan Allah mengetahui apa yang zahir dan batin.

Melakukan pengurusan atas asas keikhlasan dan amanah (kerana Allah) akan memberi manfaat kepada orang lain kerana keikhlasan dan amanah adalah kekuatan tiada tolok bandingnya.

Isu berbangkit kini ialah bagaimana nilai Islam dapat dijadikan landasan berdirinya ilmu dan kemahiran kerana tanpa nilai, ilmu tidak memberi makna. Ilmu diajarkan mendekatkan manusia kepada pencipta dan ilmu mendukung kebenaran memanfaatkan manusia.

Ilmu dikembangkan tetapi putus hubungannya dengan pencipta akan mendorong manusia menjadikan akal segala-gala, sedangkan sifatnya terbatas. Bagi bukan Islam, nilai fitrah menjadi asas keperluan mereka.

Nilai murni yang dijadikan asas membangun kurikulum dan kokurikulum dalam pengajaran serta pembelajaran penting kerana interaksi mereka dengan orang Islam memerlukan nilai bersama yang dikongsi.

Nilai jujur, ikhlas, amanah, adil, bijaksana umpamanya terkandung maksud diperlukan oleh fitrah manusia. Kasih sayang dan percaya antara satu dengan lain terbina atas asas ini.

Sama ada pelajar Islam dan bukan Islam, pemupukan nilai murni penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Cara paling berkesan, bagaimana nilai dapat dijadikan sumber contoh ialah menerusi proses amali dan penghayatan ditunjukkan ibu bapa, guru dan masyarakat. Teladan boleh memberi kesan positif terhadap pembangunan akhlak murid dan pelajar.

Pendidikan bersepadu menghubungkan faktor akademik dan bukan akademik secara seimbang.

Pendidikan sains dan teknologi tidak mengetepikan kepentingan nilai supaya manfaatnya kepada manusia tinggi.

Membangun pengetahuan mengenai teknologi tinggi tidak melupakan kepentingan sentuhan kemanusiaan supaya asas keinsanan dilihat sebagai yang utama. Pembangunan minda generasi muda umpamanya memerlukan acuan seimbang.

Pendidikan yang memberi fokus kepada akademik semata-mata tidak memadai untuk menjadikan mereka berwatak menyeluruh. Tumpuan hanya kepada pendidikan nilai dan rohaniah tidak diimbangi dengan kepentingan ilmu serta kemahiran boleh menyebabkan kecacatan menterjemahkan maksud kehidupan itu sendiri.

Bagi pelajar Islam, memperkasa minda perlu diikuti zikir. Kepentingan zikir membawa hikmah yang tinggi terhadap Allah dan kebesaran-Nya. Memahami kebesaran Allah secara rohaniah, kajian dan ketelitian membangun jiwa tadabbur yang tinggi dan mampu mencetuskan pemahaman seimbang terhadap diri, alam dan Pencipta.

Bagi pelajar bukan Islam, pemahaman falsafah dan nilai boleh memberikan makna tersendiri mengenai ilmu dipelajari serta kaitannya dengan kemajuan dan perubahan.

Kemajuan dan perubahan hidup menuntut nilai murni diaplikasikan supaya akhirnya sebagai manusia terdidik.
anak perempuanku berjalan di tengah padang pasir. Kami bergurau dan dia amat manja denganku. Kami berkejaran hingga debu pasir berterbangan dan ketika kami berhenti di satu lurah yang agak terlindung aku berkata kepada anakku. Mari nak, kita main pasir, kita buat benteng lalu jari jemari anakku dalam keriangan membantuku mengaut pasir hingga dia keletihan dan peluh mengalir di dahinya. Ketika dia keletihan itulah aku tolak dan kutimbus anakku walaupun teriak dan tangisnya yang hiba itu menyucuk ke jantung hati. Detik itu terlalu hitam bagiku. Aku kejam.”

Kejam bagaikan suatu permainan. Zaman jahiliah memungkinkan manusia melakukan apa saja dan hanya mengikut hukum nafsu.

Mereka tidak mempunyai undang-undang dan peraturan hidup. Manusia berlumba mengaut harta walau terpaksa membiarkan si miskin terseksa. Wanita dipandang rendah dan siapa kuat dia berkuasa.

Namun, sejarah manusia membunuh anak berulang lagi, malah lebih kejam dan tragik, kadangkala dibuang di tepi longkang, dalam tong sampah dan ada kalanya cukup hanya dengan menelan pil atau suntikan hingga anak dalam kandungan gugur tanda belas kasihan.

Ibarat penyakit berjangkit, setiap hari ada saja laporan mengenai bayi yang ditinggalkan sama ada masih hidup atau tidak bernyawa.

Perbuatan berkenaan seolah-olah menjadi kebiasaan dan tidak menyalahi undang-undang.

Malah, pihak melakukan dosa melanggar syariat agama itu dilihat tidak sedikit pun menyesali perbuatan mereka, malah dengan berani menambah lagi kemaksiatan sambil melakukan jenayah penganiayaan kepada anak tidak berdosa.

Kebelakangan ini kemungkaran seakan menjadi budaya, pergaulan bebas dan maksiat menjadi-jadi.

Manusia bagaikan mabuk dan lupa pintu neraka sedang terbuka luas ternganga menunggu isinya.

Firman Allah bermaksud: “Hai orang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, kayu bakarnya ialah manusia dan batu-batu. Di situ ada malaikat yang kasar dan keras, mereka tiada menderhakai Tuhan mengenai apa yang diperintahkan kepada mereka dan mereka melaksanakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahirn, ayat 6)

Lagi firman Allah bermaksud: “Muka Aku memperingatkan kamu api yang bernyala. Tiada masuk ke dalamnya melainkan orang jahat yang mendustakan kebenaran dan yang membelakangkannya.” (Surah al-Lail, ayat 14-16)

Demikian seruan dan peringatan Allah untuk membebaskan manusia daripada status rendah ke martabat lebih tinggi dan mulia demi membebaskan manusia daripada lembah neraka yang menyeksa, kejahilan dan kegawatan iman.

Justeru, kegawatan dan kejahilan perlu dirawat bukan sekadar melihat dengan mata keinsafan setiap kepincangan dan noda sebaliknya, setiap hati perlu ada keazaman membetulkan keadaan supaya dapat menjadi amaran kepada yang jahil supaya kembali ke jalan diredai Allah SWT.

Islam Pelopor Globalisasi

SIFAT ilmu yang berkembang di Barat, umumnya, mengembangkan faham sekular yang memisahkan ilmu dengan agama dan nilainya. Apabila ilmu tidak berkembang seiring dengan nilai persepsi manusia terhadap perubahan, kemajuan dan pembangunan menjadi tidak seimbang.

Hasilnya, lahir tamadun yang berpaksikan kebendaan dan selera semasa. Ia melahirkan masyarakat yang konsumeristik, menjadikan faham kebendaan sebagai matlamat dan nafsu-nafsi sebagai keperluan hidup yang utama.

Keadaan itu juga lahir manusia Barat yang terus mencari makna diri, hidup, kebahagiaan dan kemajuan. Dalam usaha mencari, mereka terjebak dan terpaut dengan amalan hidup dan pergaulan yang lepas bebas, menjadi penagih arak dan zina yang luar biasa serta kecenderungan terpikat dengan amalan gay dan lesbian hingga wabak Aids/HIV semakin menjadi kebimbangan luar biasa mereka.

Sesetengahnya menghabiskan masa di stadium bola dan kelab malam bagi mengatasi tekanan dan konflik. Kegiatan dan kecenderungan seperti ini tidak serasi, malah bertentangan dengan budaya hidup Islam.

Globalisasi yang menerpa hidup umat Islam kini mempunyai strategi utama iaitu menukar cara berfikir, gaya hidup, pola kegiatan, corak ekonomi dan sosial serta cara makanan dan pemakanan.

Begitu juga dengan kegilaan fesyen berpakaian, berfahaman kebendaan dan nafsu nafsi sebagai lambang untuk maju, moden dan membangun. Inilah yang selalunya menjadi petanda maju oleh sesetengah negara dan umat Islam hingga menawarkan Islam yang fundamental kepada mereka. Perkara sedemikian dianggap sebagai usaha memutar jarum jam ke belakang, kembali kepada faham dogmatik, antisains dan teknologi serta akhirnya sebagai antikemajuan dan perubahan.

Lambang agama dilihat secara fobia atau takut hingga ia dipersenda dan diremehkan. Usaha seperti ini didukung oleh alat komunikasi dan telekomunikasi dan ternyata memberi kesan kepada ramai orang, khususnya generasi muda atau kanak-kanak.

Generasi inilah sebenarnya menjadi matlamat kepada proses globalisasi dan pemBaratan kerana generasi tua masih lagi mempunyai kekuatan nilai. Generasi tua hanya mampu mengeluh terhadap kerosakan akhlak generasi muda, pembabitan mereka dengan salah laku sosial, kehilangan adab dan santun. Mereka hanya mampu mengeluh apabila melihat generasi muda tidak menghormati ibu bapa dan orangg tua; hilang malu pada diri; terjebak dengan ketagihan, salah guna dadah dan mangsa Aids/HIV. Mereka menjadikan sesuatu dari Barat itu lambang kebebasan, kebangkitan baru serta moden dan maju. Hingga akhirnya ada yang berpendapat untuk maju dan moden sepenuhnya kita harus menjadi Barat sepenuhnya.

Dalam konteks berbanding, tidak semua faktor globalisasi merugikan umat Islam. Aspek kemajuan sains dan teknologi, umpamanya, adalah hal yang menarik untuk dikaji dan diterokai. Meskipun, ia terpisah dengan sistem nilai, ilmuwan Islam yang beriman dan mendalami ilmu berkaitan tamadun Islam boleh memberikan perimbangan supaya ilmu dan ketrampilan yang dipelajari dapat disesuaikan dengan keperluan membangun umat Islam yang maju.

Kalau kita teliti faktor globalisasi kini dengan faktor Rahman Alamiah yang terpancar daripada risalah Nubuwwah atau risalah kenabian pada masa lalu, ternyata proses pensejagatan telah lebih awal dimulakan oleh Islam.

Corak pensejagatan Islam atau globalisasi yang ditawarkan oleh Islam kepada Barat mempunyai isi dan corak yang berbeza. Ilmu sains, teknologi, perubatan, matematik dan sebagainya yang ditawarkan ke Barat dan ke Timur seperti India, China, Uzbekistan dan alam Melayu adalah ilmu yang berteraskan nilai.

Nilai Rabbani yang menekankan kepentingan amanah, adab, adil, telus dan tulus sentiasa menjadi pedoman ilmuwan Islam. Kesan ilmu terhadap pembentukan peribadi umat Islam amat jelas sekali iaitu adab dan akhlak menjadi matlamat dalam perjuangan hidup. Ini berbeza dengan globalisasi kini yang memaksakan orientasinya dan tidak ada jawapan tidak terhadap apa yang mereka lakukan.

Oleh itu, untuk mengembalikan konsep Rahmah Alamiah yang menjadi obor perjuangan Rasulullah saw, konsep ummatisasi atau kembali kepada konsep umat dalam erti kata sebenar adalah jawapan terbaik mengimbangi cabaran globalisasi.

Konsep khaira ummah dan ummatan wasata adalah konsep yang amat menarik untuk disuburkan secara strategik dan bijaksana. Perkara ini kerana konsep itu yang bakal mendukung proses ummatisasi.

Ummatisasi mampu menemukan potensi keilmuan dan kepakaran yang ada pada umat. Pada diri umat Islam, Allah kurniakan dengan tiga kekuatan utama:

· Dinul Islam itu sendiri adalah suatu sumber tamadun. Tamadun silam umat harus dikaji semula bukan saja pada kandungan, malah terhadap metodologinya. Harus wujud renungan kembali terhadap hakikat kini supaya kajian semula dibuat secara reflektif serta kreatif dan pada masa sama wujudkan proses integrasi atau Islamisasi terhadap bidang yang perlu.

· Allah kurniakan di perut bumi negara umat Islam dengan kekayaan sumber yang amat banyak. Kekayaan sumber minyak, gas dan uranium, contohnya, mampu menggerakkan ekonomi, pendidikan dan kaji selidik bagi membangun serta mensejahterakan umat. Sayangnya sumber itu amat terdedah kepada muslihat eksploitasi kuasa Barat.

· Allah kurniakan lebih 1.3 bilion umat Islam sebagai sumber tenaga manusia yang amat berpotensi. Sekiranya sumber tenaga ini berada dalam sistem pendidikan yang sepadu dan Islamik, bayangkan corak generasi yang bakal memimpin dan meneraju serta menguruskan sumber kurniaan Allah yang kaya itu.

Tentangan kita terhadap Barat bukan kerana ia Barat, tetapi menginsafi bahawa Barat dan Zionisme sedang berganding untuk menghancurkan jati diri umat dan agama Islam.

Menjadi tanggungjawab umat Islam memberikan perimbangan yang baik dengan mengukuhkan fahaman terhadap Islam sebagai agama tamadun dan Rahmah Alamiah dengan mendidik peribadi berakhlak tinggi. Sekali gus, harus mampu meneroka bidang sains dan teknologi sama ada menerima kaedah berbanding daripada apa yang sedang berkembang di Barat, mahupun usaha terancang untuk melakukan Islamisasi ilmu dalam aspek sains dan teknologi.

Faham saintisme Barat yang hanya mengutamakan akal dan indera semata-mata harus diperkukuhkan dengan nilai Rabbaniah. Perkara ini dilakukan sama ada terhadap epistemologi atau teori ilmu yang patut dikembangkan, mahupun nilai Rabbani yang perlu teguh diamalkan supaya ilmu alat dapat dikendalikan dengan etika dan adab yang tinggi. Inilah yang ditunggu oleh umat manusia pada hari ini, bukannya bentuk tamadun Barat yang mengambil pendekatan penjajahan, tidak mengiktiraf kelainan dan perbezaan.

Tamadun baru yang senafas dengan konsep Rahmah Alamiah ini harus mampu menawarkan umat manusia dengan dua perkara:

· Ilmu Rabbani yang amat diperlukan oleh manusia untuk mengurus diri dan peribadi. Di sini perlunya ilmu agama yang dinamik dan mempunyai mutu tamadun.

· Ilmu alat yang amat diperlukan oleh manusia bagi mengurus organisasi, institusi, sistem dan sumber.

Di sini, perlunya ilmu alat seperti sains dan teknologi.Sekiranya ilmu mengenai akidah, akhlak, syariah, tamadun dan sebagainya dikuasai dan dihayati dengan baik dan pada masa sama umat menguasai ilmu secara strategik dan bijaksana, ia bakal memberi jawapan mengenai jenis peribadi yang kita perlukan. Begitu juga dengan jenis ilmu dan ketrampilan yang patut disuburkan dan jenis perubahan, kemajuan dan pembangunan yang kita mahukan.

Tekad ini tentu menuntut jihad ilmu yang tinggi. Perubahan ke arah ini tidak memiliki jalan pintas, melainkan umat Islam di setiap peringkat harus meyakini bahawa hari depan umat manusia hanya akan kembali sejahtera, sekiranya kembali kepada Dinulfitrah iaitu Islam.

Inilah corak perubahan, kemajuan dan pembangunan yang harus diperjuangkan secara strategik dan bijaksana di tengah gelombang globalisasi yang sifatnya amat asing dengan pembangunan fitrah insan.

Falsafah di sebalik kemajuan di Barat lebih banyak menumpu terhadap penguasaan sumber benda dan memajukannya lebih banyak menghasilkan faham kebendaan yang menggunakan pendekatan 'siapa kuat dialah yang menguasai, siapa lemah dialah yang dikuasai'.

Harus ada tekad yang tinggi untuk merubah pola berfikir umat manusia ke arah menggunakan sumber untuk faedah kemanusiaan dan kesejahteraan.

Akhlak landasan utama kualiti hidup

DALAM menghadapi kerenah generasi muda yang terjebak dengan salah laku sosial dan budaya, pemikiran dan watak, kadang-kadang kita menjadi hilang punca dan akhirnya kerenah ini menjadi wabak yang sukar dibendung. Amalan salah guna dadah, kehidupan orang muda yang lepas bebas, skandal seks dan jenayah remaja amat menakutkan, gejala mat rempit semakin menular adalah natijah daripada suatu proses pembudayaan dan perubahan menjadikan Barat sebagai sumbernya.

Barat tidak ditentang kerana ia Barat, tetapi dari Barat berlaku suatu proses pemBaratan yang memiliki agenda tersirat untuk memerangkap generasi muda Islam dan juga generasi umat manusia. Fahaman sekular berkembang dan sikap liberal diambil tidak menjadikan agama dan nilai sebagai landasan, sebaliknya nilai merangsang fahaman kebendaan dan nafsu menjadi lebih nyata dan dominan.

Banyak aspek positif di Barat yang boleh diambil atas maksud berbanding terutama dalam bidang sains dan teknologi. Tetapi kecenderungan sebahagian besar generasi muda kita ialah meniru aspek budaya popular yang banyak membawa kesan negatif terhadap tingkah laku dan perangai mereka. Gaya hidup Barat yang lepas bebas menjadi rujukan mereka. Akhirnya ukuran maju dan moden bagi mereka ialah menjadi Barat sepenuhnya.

Perubahan dan kemajuan adalah sesuatu pasti berlaku. Tetapi, apakah perubahan dan kemajuan membawa manusia kepada kualiti hidup yang tinggi. Kualiti hidup tidak saja diukur daripada kuasa beli yang ada atau memiliki ijazah dari universiti dalam negara atau luar negara. Sebaliknya, kualiti hidup menyangkut tentang kekuatan akhlak dan peribadi yang menampilkan nilai kemanusiaan tinggi. Nilai kemanusiaan tinggi dengan tunjangan ilmu khususnya sains dan teknologi boleh menjadikan kehidupan lebih sejahtera dan bermakna.

Asas kepadanya ialah kembali kepada keluarga. Keluarga adalah asas terhadap pembinaan anak. Bila fokus terhadap keluarga menjadi minimum atau kurang, kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Anak pada peringkat pembesaran, pembentukan dan pendewasaan memerlukan ibu dan bapa sebagai contoh terawal. Rasulullah SAW menyebutkan dalam hadisnya mengenai kepentingan ibu bapa dalam membentuk anak sejak lahir lagi.

Dalam tradisi Islam, saat kritikal dalam proses memberi tapak nilai, contoh, kasih sayang , perhatian dan komunikasi akrab ialah dari dalam perut ibu sehingga ke akal baligh. Tempoh kritikal memerlukan proses pemupukan, belaian dan contoh teladan. Anak memiliki naluri ingin tahu tinggi. Dalam masa sama bakat ada pada anak perlu digilap secara fitrah. Anak memerlukan teladan dan contoh dapat menyediakan dirinya untuk menjadi remaja dan akhirnya dewasa berguna dan menyumbang.

Sekiranya asas ini tidak dilandaskan dengan bijaksana dan sabar ke dalam diri anak, maka bakal wujud jiwa kosong dan akhirnya anak tercicir dalam arus pembangunan diri. Keciciran ini boleh menyebabkan anak hilang arah dalam memilih rakan sebaya sesuai dan akhirnya tewas di tengah-tengah cabaran masyarakat amat rumit.

Peluang pendidikan luas di Malaysia sepatutnya menjadikan ibu bapa lebih berilmu dan memiliki keupayaan untuk menghasilkan pendidikan berkualiti di rumah. Walaupun isu pekerjaan sering menjadi alasan bagi ibu bapa, namun pengurusan masa yang berkualiti sepatutnya membolehkan hubungan anak dan ibu bapa menjadi lebih akrab. Anak harus dilihat sebagai aset lebih bernilai daripada yang lain. Aspek kebendaan memang penting bagi keluarga tetapi, meletakkan aspek kebendaan sebagai yang utama hingga menyebabkan anak terabai adalah suatu kesilapan besar.

Bayangkan sekiranya anak terabai terjebak dengan amalan salah guna dadah, apakah ia mampu ditebus dengan wang ringgit yang banyak. Ternyata pembabitan anak-anak dalam kes salah guna dadah amat kecil kemungkinannya untuk kembali sebagai generasi normal. Aset yang asalnya memiliki potensi tinggi menjadi korban akibat kealpaan dan salah keutamaan berlaku di dalam keluarga.

Aspek lain lebih penting ialah pengaruh ibu yang menjadikan sumber utama dalam pembentukan kasih sayang dan perhatian yang benar-benar bermakna. Rasulullah SAW apabila ditanya sahabatnya mengenai asas kepatuhan selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul menyebutkan ketaatan kepada ibu sebanyak tiga kali dan menyebutkan ketaatan kepada bapa sekali saja. Ia tidaklah bermakna peranan bapa tidak penting.

Rujukan hadis ini memberikan fokus terhadap kualiti keibuan yang amat tinggi kesannya terhadap anak. Ibu yang mengandung dan melahirkan anak dengan susah payah. Pada ibu terdapat kualiti kasih sayang yang tulen, rasa belaian yang tinggi dan menjadi rujukan utama kepada anak-anak yang sedang membesar. Sekiranya kualiti ini disuburkan di kalangan anak, keluarga dan rumah tangga, anak akan mempunyai suasana yang merangsang pembesaran positif.

Malangnya, ramai di kalangan anak-anak tidak mempunyai kesempatan seperti ini. Roh keibuan dalam erti kata mendidik dan membelai tidak berlaku dan akhirnya peranan membesar dan meremajakan anak-anak terletak di tangan ‘bibi’ yang belum tentu memiliki kualiti keibuan yang sama. Dalam masa sama bapa juga harus memainkan peranan pelengkap bagaimana pembesaran dan pendewasaan anak-anak dibentuk dengan perimbangan watak keibuan dan kebapaan yang menawarkan sumber teladan, jalan berhubung untuk anak-anak menyatakan keluhan dan mendapat jawapan tentang sesuatu perkara yang berbangkit secara jujur, sabar dan bijaksana.

Yakinlah bahawa keluarga yang bahagia dan mampu menghasilkan anak-anak yang cerdik dan ceria adalah keluarga yang mempunyai keakraban hubungan yang tinggi. Seluruh kasih sayang ibu bapa tertumpah untuk mendidik anak. Ibu bapa menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Pada ibu bapa terdapat sumber inspirasi dan motivasi tinggi hingga menyebabkan anak-anak kembali kepada keluarga apabila menghadapi sesuatu masalah. Atas nama kasih sayang dan belaian, masalah anak-anak dapat diatasi dengan bijaksana. Inilah kualiti anak-anak yang diperlukan supaya remaja dan dewasanya menyumbang terhadap negara dan umat.

Sikap harap bantuan punca daya saing tiris

Oleh Prof Dr Sidek Baba

PERSOALAN minda dan watak Melayu dibangkit sejak sekian lama. Munsyi Abdullah umpamanya mengaitkan Melayu dengan beberapa sifat negatif. Melayu mempunyai watak malas, suka bercinta, membuang masa, bertangguh, tidak menepati waktu dan lain-lain.

Tokoh pembaharuan Syed Sheikh Al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin melihat dari sudut agama orang Melayu suka melakukan khurafat dan memiliki tabiat taklid yang negatif.

Pendita Zaaba, seorang cendikiawan Melayu yang disegani juga melakukan kritik terhadap bangsanya. Dalam tulisannya di majalah Qalam (Bil 19:1952) beliau menyebutkan, “Orang yang membiasakan dirinya meminta tolong dengan tiada berusaha sendirinya itu ialah melatih dirinya menjadi peminta sedekah.

Maka, tidak ia akan sampai ke mana dalam pekerjaan mencapai kejayaan. Jika dapat pun olehnya ketinggian dan kejayaan itu dengan jalan demikian, tidaklah ada apa-apa yang ia boleh berbesar hati kerananya, kerana iaitu bukan dengan kudrat kebolehannya sendiri, hanya dapat dengan pertolongan orang.

Perangai suka meminta tolong saja itu walaupun meminta tolong kepada Allah kita sendiri tidak menjalankan usaha ikhtiar dengan secukupnya – sangat tidak betul kepada Islam ”.

Apa yang disebut oleh Pendita Zaaba itu amat wajar untuk direnung. Sikap bergantung kepada pertolongan orang atau pihak kerajaan semata-mata harus dikaji dengan serius. Jiwa kebergantungan dalam banyak hal menyebabkan daya saing dan jiwa mandiri semakin tiris.

Dalam dunia di mana persaingan terbuka menentukan faktor kejayaan sama ada dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, penyertaan dalam kegiatan ekonomi dan perniagaan, penerokaan bidang sains dan teknologi, keteguhan dalam sistem keluarga dan masyarakat banyak bergantung kepada kesungguhan serta kekuatan peribadi yang terbabit dengannya.

Kecenderungan menyalahkan orang lain dan bergantung kepada penyelesaian orang lain terhadap masalah yang berbangkit adalah jalan mudah mencari kambing hitam dalam jalan keluar daripada masalah. Malah terdapat kecenderungan yang amat aktif di kalangan orang Melayu yang menaja aktiviti budaya popular baik dalam media cetak dan elektronik mahupun dalam bentuk pesta dan festival yang tambah melalaikan dan merosakkan kualiti jiwa dan emosi generasi muda Melayu sehingga akhirnya berbangkit pelbagai masalah serius dan menyentuh mengenai jatidiri dan kekuatan bangsa Melayu itu sendiri.

Sebatang pokok tidak tumbang semata-mata kerana hentakan mata beliung atau kapak tetapi tumbangnya pokok akibat kayu yang disendalkan dengan beliung yang memberikan hentakan yang amat berkesan supaya pokok kayu itu tumbang. Beliung atau musuh orang Melayu tetap berlagak seperti jerat dan pelanduk. Pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Hingga ada sebilangan orang Melayu berpendapat bahawa menaja kegiatan hiburan yang sifatnya melampau adalah tidak salah malah ia adalah sumber perniagaan.

Bayangkan kerosakan peribadi dan akhlak akibat daripada hiburan yang melampau memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap jati diri generasi muda. Kerosakan yang berlaku tidak tertampung dengan pulangan kewangan yang diterima.

Masalah salah guna dadah sudah mencapai paras tertinggi melepasi satu juta orang. Lebih 70 peratus adalah generasi muda Melayu. Pusat Serenti terpaksa menampung jumlah yang semakin meningkat. Di universiti jumlah kemasukan lelaki muda Melayu semakin berkurang. Bayangkan corak modal insan yang bakal lahir pada masa depan. Generasi muda Melayu yang bermasalah bakal menjadi beban kepada negara. Negara terpaksa menyediakan belanja yang besar bagi mengatasi masalah lain yang berbangkit.

Kurangnya masa berkualiti diberikan ibu bapa terhadap hal ehwal pendidikan dan kebajikan anak menyebabkan anak rasa terbiar, kekosongan dan kelompangan. Keciciran anak Melayu sedang berlaku sejak awal umur lagi, sedangkan tempoh sejak dalam perut ibu hingga akil baligh adalah tempoh amat kritikal pendidikan anak seharusnya berlaku.

Apabila anak cicir di rumah tidak ada jaminan sekolah bakal mengatasi masalah mereka. Tabiat anak yang cicir akan berterusan di sekolah dan bakal lebih parah lagi apabila berada di tengah-tengah masyarakat.

Ibu bapa Melayu harus memikul tanggungjawab menguruskan anak dengan penuh keinsafan. Dengan siapa anak berkawan, membiarkan anak secara bebas lepas di pusat kafe siber, tidak bertanya anak mengapa lewat pulang, membiarkan anak terbabit dalam kegiatan anti sosial seperti mat rempit, membiarkan bahan media cetak dan elektronik merangsang nafsu dan minda berada di dalam rumah tanpa kawalan adalah antara faktor yang menjinakkan remaja dan generasi muda Melayu kepada jerat yang bakal menjerumuskan mereka ke arah hidup bermasalah.

Pihak di luar keluarga harus turut sama membantu. Sekiranya kelemahan pengurusan keluarga tidak dibantu oleh sekolah atau agensi yang menyumbang ke arah pembangunan generasi muda maka orang Melayu akan terus menerus menghadapi masalah. Masalah sedia ada sudah semakin parah. Ia diburukkan lagi dengan sikap tidak peka dan bertanggungjawab melemahkan jiwa dan peribadi generasi muda Melayu.

Kekuatan kesedaran dan jati diri generasi muda Melayu hari ini adalah penting untuk kelangsungan bangsa Melayu menghadapi cabaran perjuangan. Gelagat sebahagian generasi muda Melayu hari ini tidak membayangkan wujudnya harapan untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Globalisasi yang datang kepada bangsa Melayu tidak saja menuntut orang Melayu menguasai ilmu pengetahuan dengan baik tetapi mampu terjun dalam persaingan semakin sengit. Bayangkan jiwa dilumpuhkan sejak awal umur, tidak mungkin bersedia untuk bangun dan bersaing tetapi sebaliknya bakal menimbulkan masalah hari depan.

Setiap hari kita mendengar dan membaca kisah ngeri dan sedih, jarang kedengaran berlaku pada masa lalu. Kisah rompakan, pembunuhan, rogol, penipuan, sindiket dalam pelbagai bentuk, perceraian, pelacuran, kecenderungan terhadap amalan gay dan lesbian dilaporkan silih berganti.

Kekuatan peribadi, akhlak bentuk pemimpin mulia

Oleh Prof Dr Sidek Baba

PENDEKATAN bersepadu memberikan kepentingan nilai yang berasaskan agama, budaya dan tradisi yang baik diungkapkan dengan bijaksana dan sifatnya merentasi kurikulum dan kokurikulum.


Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, proses kesalingan dan kekenalan atau litaarrafu perlu disuburkan. Ia supaya wujud proses menghargai dan menghormati nilai positif dan perbezaan. Dengannya juga bakal teradun nilai bersama yang menyumbang ke arah pengkayaan hati budi dan tidak bercanggah dengan faktor akidah dan syarak.

Sekiranya pendidikan Islam difahamkan sebagai pendidikan akidah, ibadah dan akhlak semata-mata tanpa melihat kepentingan ilmu alat seperti matematik, sains dan teknologi, pembangunan manusia hanya berlaku dalam konteks kekuatan peribadi dan akhlak serta menafikan pemahaman dan penguasaan ilmu alat.

Sumbangan yang bakal diberikan kepada pembangunan umat tidak akan menyeluruh sifatnya. Hal yang sama juga boleh berlaku apabila pembangunan pendidikan hanya menumpu kepada kekuatan ilmu alat dan melupakan kepentingan nilai. Kita akan melahirkan manusia mekanistik dan robotik yang hilang etika dan kemanusiaan tinggi.

Jalan terbaik ialah mengambil pendekatan integratif yang mampu menggabungkan kedua-dua keperluan utama iaitu kekuatan peribadi dan akhlak serta keunggulan penguasaan ilmu alat. Sekiranya generasi muda Islam memiliki dua kekuatan ini, corak perubahan negara dan umat pada masa depan tentunya berada dalam acuan kita sendiri.

Acuan yang bermaksud pengolahan sistem nilai yang dinamik. Ia juga mampu menjadi asas amalan dan dimanifestasikan dalam jihad ilmu dan pendidikan.

Memang diakui salah satu cabaran terpenting dalam jihad ini ialah memahami konteks perubahan, pembangunan dan kemajuan yang pernah berjalan mengikut perspektif Islam. Begitu juga perubahan, pembangunan dan kemajuan mengikut perspektif semasa yang paksinya ialah pembaratan.

Globalisasi yang sedang berjalan adalah bukti jelas bagaimana hegemoni Barat begitu rancak menjebak umat Islam, khususnya generasi muda. Keadaan itu sehingga menimbulkan persoalan moral dan sosial yang amat menakutkan.

Faktor perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Ia adalah fitrah dalam kehidupan dan tamadun umat manusia. Suatu ketika dulu kegemilangan tamadun berpusat di Andalusia dan Baitul Hikmah. Ia dilambangkan dengan kekuatan ilmu yang integratif dan menjadi rujukan Barat dan Timur lebih 600 tahun. Selepas kejatuhan Baghdad dan Andalusia, kebangkitan Barat semakin terserlah. Mereka melakukan misi penjajahan serta pengembangan ilmu dan pendidikan yang tidak lagi bertunjangkan nilai murni. Sebaliknya, mewujudkan faham orientalisme yang meremehkan Timur dan Islam.

Globalisasi kini adalah mercu tanda penguasaan Barat terhadap Timur dan Islam. Ia menyebabkan Timur dan umat Islam menjadi pengkagum dan pengguna setia terhadap produk Barat dalam pelbagai bentuk.

Dalam konteks umat Islam, nostalgik atau kagum terhadap kehebatan silam harus didukung dengan upaya strategik memahami faktor semasa. Hal ini supaya ia releven dengan tuntutan sezaman dan cabaran lingkungan.

Mengagumi model masyarakat madani yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah, umpamanya, mestilah dalam pengertian yang amat mendalam terhaadap roh, semangat dan prinsip yang di tinggalkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini supaya ia mampu diterjemahkan dalam realiti yang sudah berubah.

Memahami perubahan dalam konteks Islam merujuk kepada perubahan bentuk, bukannya isi. Maksud atau maqasid daripada perubahan selalunya tidak berubah. Pada zaman Rasulullah SAW, unta, kuda dan keldai digunakan sebagai alat kenaikan dan pengangkutan. Pada hari ini kereta, lori dan jet digunakan sebagai alat kenaikan dan pengangkutan. Perubahan kepada bentuk ini tidak boleh dielakkan kerana perkembangan ilmu, penyelidikan dan kemajuan teknologi terus berlaku. Tetapi, maksud perubahan ini tetap tidak lari daripada maqasid utama pengangkutan iaitu bagi kepentingan penumpang dan membawa barangan.

Hal yang sama juga dalam prinsip riba yang menjadi pedoman muamalah, jual-beli dan perdagangan dalam Islam. Pada zaman Rasulullah SAW transaski berlaku secara tukaran barangan dengan mengekalkan amalan tanpa riba. Pada masa ini proses transaksi berlaku dengan lebih canggih. Pewujudan Bank Islam dan Takaful Islam, umpamanya, berjalan menggunakan mekanisme semasa tetapi larangan terhadap riba tetap dipatuhi. Perubahan transaksi berubah dari segi bentuknya.

Antara strategi utama yang boleh mencapai matlamat mengisi perubahan ialah dengan melakukan proses pengIslaman ilmu. PengIslaman ilmu adalah suatu tuntutan bagi menghadapi globalisasi.

Penguasaan ilmu Barat biar berteraskan syarak

GLOBALISASI tidak saja mengukuhkan fahaman sekular, tetapi merintis jalan hidup yang liberal. Fahaman liberal tidak sama dengan fahaman kebebasan dan hak asasi. Dalam tradisi Islam kebebasan mesti dalam kerangka syarak.

Faktor syarak bagi seorang Muslim memberikannya pedoman supaya kehidupan berada dalam keadaan fitrah. Maqasid syariah sentiasa memberikan fokus untuk memelihara agama, keturunan dan harga diri.

Menjadi liberal sebenarnya ingin menjadikan kita sebagai sebahagian kebudayaan sekular. Ada aspek tradisi di Barat memiliki faedah berbanding yang tinggi. Tradisi berilmu, kecenderungan mengkaji dan menyelidik, tradisi berkarya adalah baik.

Tetapi, fahaman liberal yang berkembang mendedahkan diri umat Islam kepada fahaman kebendaan dan hedonisme.

Fahaman ini berbahaya kepada umat kerana asas tumbuhnya lebih banyak memberi kesan negatif terhadap pembangunan manusia dan membina jiwa kemanusiaan.

Budaya liberal itu terlihat dan tergambar dengan program dan perisian di media elektronik dan cetak, aktiviti kepenggunaan yang sedang berjalan, fesyen pakaian, pemujaan kepada artis dan kegemaran filem ganas dan seram yang mengkhayalkan, faham individualistik menjadi ketara, sikap oportunis yang menjadi-jadi dan akhirnya terbabit dalam skandal meruntuhkan rumah tangga serta masyarakat.

Makna kebebasan dalam Islam ialah selagi mana ia tidak melanggar batas syarak. Islam tidak menghalang umatnya berhibur, asal saja jangan timbul kealpaan kepada Allah.

Islam tidak menyekat penganutnya menghargai dan aktif dalam kegiatan seni, asal saja seni itu menampilkan keindahan yang menjadi fitrah kegemaran manusia, tetapi seni indah itu mendekatkan manusia kepada Allah.

Islam tidak melarang penganutnya bersukan, tetapi ia diatur dalam batas aurat, batas gaul dan juga batas waktu. Islam tidak mencegah umatnya melakukan pelancongan kerana darinya akan terlihat tanda kebesaran Allah pada alam, sejarah dan tamadun.

Kebebasan beretika perlu bagi manusia. Seperti juga diaturkan sistem jalan raya yang tertib, sistem trafik memberi pedoman, sistem pejabat teratur, sistem keluarga harmoni, sistem masyarakat tersusun, sistem negara telus adalah perlu supaya ia berjalan dengan subur dalam suasana yang baik.

Kerosakan atau kepincangan akan berlaku jika terdapat kalangan manusia cuba melanggar atau tidak mematuhinya.

Amalan beragama juga demikian. Walaupun perubahan dan kemajuan akan terus berlaku, asas penting dalam beragama tidak harus diremehkan.

Membangun ekonomi negara berasaskan keperluan syarak adalah usaha menarik membangunkan bank, takaful, sistem kewangan Islam di negara ini.

Ia mendidik masyarakat semua agama mengamalkan prinsip keadilan dalam sistem mualamah negara. Usaha ke arah memperkasa makanan halal adalah langkah bijak mendidik masyarakat Malaysia supaya pengeluaran makanan mestilah dalam kerangka kod etika yang boleh diterima semua.

Usaha itu harus dilanjutkan dalam bidang kebudayaan, seni, sukan, permainan, hiburan, dengan mengambil kira faktor syarak.

Kelemahan yang ada pada kita dalam beberapa hal ialah kesedaran dan keupayaan yang lemah untuk menghasilkan sesuatu berasaskan tuntutan jati diri sehingga mudah merelakan minat dan kecenderungan menerima apa saja datang dari Barat hingga akhirnya menjadikan kita keliru dan bercelaru.

Kebudayaan, seni, sukan, hiburan dan permainan pastinya memerlukan adaptasi.

Oleh itu, keinsafan mengenai budaya, seni, sukan, hiburan dan permainan harus mampu diolah secara kreatif dan inovatif hingga kita mampu membina sesuatu berasaskan acuan sendiri. Acuan yang menemukan faktor syarak dan faktor kreativiti hingga meninggalkan kesan harmoni yang tinggi.

Di sinilah letaknya tuntutan kefahaman Islam bukan hanya dalam batas istiadat dan upacara. Islam seharusnya difahamkan sebagai agama ilmu, agama kebudayaan dan agama tamadun. Pengalaman Islam bertarung dengan Barat bukan perkara baru. Dendam Salibiyyah yang berjalan sejak lama belum ada penghujungnya.

Pemahaman terhadap akidah, ibadat, syariah dan akhlak perlu dilihat dalam perspektif yang luas dan merangkumi.

Jangan sampai berlaku pemahaman kita mengenai Barat hebat sekali, pengertian kita mengenai Islam amat sedikit. Jangan juga sampai pemahaman kita mengenai Islam hebat dalam fardu ain, tetapi kerdil menguasai ilmu mengurus sistem. Ia bakal meminggirkan umat Islam.

Sewajarnya berlaku ialah kehebatan kita menguasai ilmu Barat sama hebatnya dengan pemahaman terhadap tamadun Islam itu sendiri. Pemahaman terhadap faktor syarak diikut dengan tradisi fikah yang terkini dan memiliki daya menyelesaikan masalah baru berbangkit berasaskan ijtihad dan ijmak ulama terkini.

Pemahaman kita terhadap masalah tidak hanya dalam lingkaran khutbah dan syarahan, tetapi diikuti tradisi mengkaji dan menyelidik sehingga kita memiliki kemampuan memberikan jawapan dan alternatif terbaik tanpa memandang remeh kepentingan syarak itu sendiri.

Hal ini penting diinsafi supaya umat Islam memiliki asas penting dalam memahami agama dan pada masa sama, terus meningkatkan kefahaman terhadap sains dan teknologi dipandu falsafah dan pandangan semesta Islami yang memungkinkan lahirnya corak perubahan dan kemajuan berasaskan acuan kita sendiri.

Ia perlu dirancang secara bijaksana dengan mengutamakan pembangunan modal insan yang menguasai ilmu dengan bersepadu dan memiliki upaya strategik yang tinggi ke arah perubahan.

Kepemimpinan, Dakwah Perlu Dimensi Baru

artikel tahun 2005

KEDATANGAN tahun baru 2005 memberi kesempatan manusia bermuhasabah atau menilai diri. Proses ini amat penting supaya kita boleh mengetahui sejauh mana kemajuan diri dalam strategi menyumbang ke arah peningkatan kualiti bangsa dan umat.

Bagi warga umat yang insaf akan cabaran terhadap agama, lazimnya mengambil kesempatan menilai kelemahan silam dan merancang kekuatan hari muka.

Isu pokok bagi kita adalah keengganan berperanan sebagai dai dan murabbi atau pendakwah serta pendidik yang sentiasa mempunyai tekad mengajak atau menyeru manusia kepada yang makruf atau baik dan mencegah yang mungkar atau buruk.

Tugas seorang dai dan murabbi amat mulia. Sekiranya dalam masyarakat tidak lagi wujud dai dan murabbi yang menyampaikan sesuatu yang hak dengan kesabaran, tidak mungkin masyarakat dapat dipertahankan kekuatannya mencintai dan menghayati agama.

Kerenah manusia kini amat mencabar iltizam dai dan murabbi. Oleh itu, tahun yang berlalu mengajak dai dan murabbi merenung sejauh mana dengan ilmu yang ada, pendakwahan dan proses mendidik yang berlalu berjaya menarik perhatian sebilangan anggota umat terhadap pentingnya menjaga imej agama. Begitu juga dalam memelihara martabat umat supaya keunggulan Islam itu terlihat pada akhlak, pekerti dan amalan penganutnya.

Pada tahun mendatang ini, mereka tentu mempunyai tekad untuk melipat gandakan usaha dan perancangan untuk menyuburkan kesedaran Islam serta mengajak dan mendidik manusia kembali menghayati agama fitrah ini. Mereka tentu ada tekad untuk mengajak umat Islam berasa syukur menjadi seorang Islam yang mempunyai jiwa muttaqin.

Seorang ibu dan ayah pula harus ada keazaman menilai gelagat anak-anak sama ada kecenderungan mereka terhadap yang baik atau sebaliknya. Keinsafan ini harus membangunkan tekad baru ayah dan ibu untuk mengekalkan kebaikan yang ada pada pekerti anak-anak dan mengatasi gelagat buruk sekiranya ada.

Anak-anak adalah penerus perjuangan ibu dan ayah. Jangan biarkan anak-anak tewas dalam pertarungan zaman remaja dan mudanya hingga sebilangan besar mereka menjadi warga Ć¢€˜Pusat SerentiĆ¢€™. Kasihani mereka yang belum matang memahami makna hidup dan kerenahnya. Jangan biarkan mereka terjebak dalam kemelut sosial dan menjerumuskan mereka ke lembah pergaulan yang tidak terbatas.

Seorang guru pula harus memiliki keinsafan bahawa generasi terbaik yang mempuyai ilmu dan sahsiah tinggi perlu dibentuk. Hal ini supaya generasi berpotensi ini berupaya menyumbang terhadap kemajuan diri, bangsa dan umatnya.

Bayangkan kalau anak didik ini termasuk ke dalam golongan orang yang tercicir. Negara dan umat bakal diwarisi dengan beban manusia yang bukan saja tidak menyumbang ke arah kemajuan negara dan umat, malah terpaksa menyediakan peruntukan banyak bagi mengambil langkah pemulihan yang tidak ada batas tepinya.

Anak didik memerlukan kasih sayang dan perhatian jernih di kalangan pendidik yang jujur dan ikhlas. Lihatlah mereka seumpama anak sendiri yang dahagakan ilmu dan bimbingan supaya menjadi manusia berguna terhadap bangsa, umat dan negara.

Seorang penerbit atau penulis dalam media cetak dan elektronik harus memiliki keinsafan mendalam. Mereka perlu dapat bertanya kepada diri terhadap sumbangan yang dilakukan terhadap program penerbitannya. Adakah ia menyumbang ke arah memberikan maklumat berguna kepada warga penonton atau berorientasikan hiburan yang mendidik atau drama yang memberikan kesedaran teladan? Adakah ia tidak lebih mengisi ruang menepati sasaran pulangan komersial tanpa mempedulikan nilai kesantunan dan teladanan mendidik berguna? Adakah ia menyebabkan generasi muda dirangsang ke arah pemikiran berfoya-foya hingga akhirnya menjebak mereka dalam suatu kemelut tingkah laku yang juga membebankan negara dan umat?

Begitu juga seorang penulis harus insaf terhadap bahan yang ditulisnya. Apakah yang ditulis menyatakan kebenaran dan kebaikan secara bijaksana? Atau ia adalah sensasi murahan untuk menimbulkan keasyikan, ketahyulan dan rasa 'idola' tinggi terhadap manusia popular hingga wujud kelekaan yang parah terhadap tanggungjawab mendidik bangsa dan umat.

Penerbit dan penulis dalam cabaran media cetak dan elektronik amat penting menyumbang secara bersama ke arah meneguhkan peribadi umat dan mempertangkas keupayaannya untuk terbabit dalam arus perjuangan menempuh gelombang perubahan yang amat mencabar.

Keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan umat banyak bergantung kepada kekuatan ilmu serta nilai murni yang mampu dikembang secara kreatif dan bijaksana. Begitu juga dipertahankan secara berhemah dan berhikmah.

Kita dahagakan bahan penerbitan bersifat mendidik, di samping terhibur. Kita juga mahukan bahan tulisan yang meningkatkan kualiti diri dan maklumat, yang menjadikan mereka lebih insaf, sedar dan matang terhadap tanggungjawab bina-bangsa dan umat.

Seorang ketua atau pemimpin tentunya melihat silih gantinya tahun sebagai titik-renung dan fikir terhadap kesejahteraan pengikut dan rakyat.

Umat Islam memerlukan kepemimpinan telus dan tulus serta amanah. Tidak ada syarat lain yang boleh dijadikan landasan dalam memberi khidmat terbaik, melainkan dengan keinsafan yang cukup mendalam terhadap rintihan bangsa dan umat yang mahukan kepemimpinan teladan. Mereka mahukan pemimpin yang sentiasa mempunyai tekad membangunkan bangsa atas jalan bijaksana dan membangunkan umat atas amanah terhadap Tuhannya.

Pada tahun baru ini, kita harus memupuk kesedaran yang mendalam bahawa tidak ada jalan singkat untuk maju dan membangun, apalagi menjadi contoh kepada orang lain.

Jalan yang berliku di hadapan kita harus mampu dilalui dengan ilmu yang meningkat; teladan diri yang dapat dicontohi; ketelusan terhadap amanah dan ketulusan dalam melaksanakan tanggungjawab. Mereka hendaklah sentiasa meletakkan kepentingan bangsa dan umat mengatasi kepentingan peribadi dan kelompok berpandukan keredaan Allah dan teladan Rasulullah.

Keseimbangan Penting Dalam Mendidik

ANAK-ANAK memiliki naluri mencontohi. Contoh dan teladan boleh membentuk sikap dan watak anak dan yang paling dekat pada tahap awal kehidupan anak ialah ibu bapa.

Ibu bapa sumber teladan yang penting dengan teladan baik boleh menjadikan anak membesar dalam keadaan baik, manakala teladan buruk menyebabkan perkara negatif berlaku kepada anak. Sumber teladan ibu bapa tidak saja dalam cara bercakap dan berbahasa, tetapi juga cara melakukan sesuatu. Anak pemerhati dan pengamat setia terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Memperlihatkan wajah ceria, bahasa santun dan merangsang, belaian dan kemanjaan menjadikan anak berada dalam keadaan fitrah.

Anak sedang bertatih dalam keremajaan dan pendewasaan amat memerlukan sumber kondusif dan membantu ke arah minda aktif, emosi ceria serta kecergasan membawa kepada kesihatan jasmani.

Kelembutan berbahasa adalah asas kepada pembinaan adab kerana cara berbahasa dengan isteri dan suami dalam suasana ceria dan kasih sayang menjadikan sumber contoh terbaik bagi anak. Bahasa santun, komunikasi ramah, wajah ceria adalah sumber bernilai bagi anak kerana suasana ini menyebabkan teladan itu menjadi sumber ikutan.

Sekiranya wujud perselisihan antara suami isteri, ia tidak ditunjukkan di depan anak jauh sekali melafazkan kata bersifat maki hamun atau sumpah seranah yang tidak menyumbang teladan baik kepada mereka. Di sini pentingnya daya kawalan diri kerana setiap gerak geri dan perbuatan dilakukan ibu bapa memberi kesan kepada anak yang berada dalam tahap mempelajari sesuatu. Ibu bapa adalah sumber terdekat bagi mereka atau guru yang awal mendidik dan sebagai pendidik, jiwa mendidik perlu subur di kalangan ibu bapa. Anak selalunya terdedah kepada pengaruh media, rakan sebaya, suasana sekolah dan juga mula memerhati kerenah manusia serta gelagat masyarakat.

Komunikasi dan dialog dengan anak seharusnya berlaku dengan berbagai cara kerana anak mungkin bertanya sesuatu yang dilihat, dibaca dan ditonton kepada ibu bapanya. Oleh itu, ibu bapa perlu bijak dan sabar memberikan penjelasan supaya fikiran serta perasaan anak terbimbing ke arah kebaikan. Sekiranya bimbingan dan perhatian rapi tidak diberi, sumber yang ditonton, dilayari, dibaca dan dilihat boleh memberi kesan negatif kepada jiwa dan pemikiran anak.

Kaedah ambil tahu, perkongsian pemikiran serta pandangan secara mendidik seharusnya berlaku supaya anak sentiasa mendapat pedoman yang betul dan baik. lace w:st="on"Ada lace ketikanya anak melakukan kesilapan, keterlanjuran melampaui batas dan menampilkan gelagat negatif.

Pada tahap ini, ibu bapa harus mendekati anak dengan sabar dan berjiwa mendidik. Jangan biarkan perkara negatif menjadi tabiat dan kelaziman, sebaliknya perlu dibendung sebelum subur atau merebak dalam tingkah laku anak. Ibu bapa juga perlu sedia menegur dengan bijaksana, melakukan pembetulan terhadap apa yang berlaku, berbincang secara sihat, berikan alasan dan pemikiran yang baik kepada mereka supaya wujud kesedaran untuk tidak melakukan kesilapan itu lagi.

Dalam proses mendidik dan memberi teladan baik perlu ada keseimbangan kerana ada ibu bapa beranggapan tanggungjawab membesarkan anak ialah dengan menyediakan makan, pakaian dan keperluan kewangan yang stabil. Apa yang lebih penting bagi anak ialah kasih sayang, belaian, perhatian serta bimbingan kerana pembentukan sikap, watak dan gelagat mereka banyak bergantung kepada kaedah ini.

Ini tidak bermakna makan pakai dan kewangan tidak penting tetapi tanpa keseimbangan, tidak mungkin ibu bapa mampu menjadi sumber teladan sempurna. Tanpa teladan baik ibu bapa, anak kehilangan pedoman diperlukan dalam proses pembesaran dan pendewasaan menyebabkan mereka tercari-cari sumber lain yang belum tentu baik. Rasulullah SAW adalah sumber teladan terbaik bagi umat Islam dan bagi ibu bapa yang mencontohi Baginda sebagai sumber teladan, mereka akan menjadi contoh terbaik kepada anak.

Kecelaruan menimpa diri anak muda kini disebabkan tiadanya sumber teladan di rumah khususnya di kalangan ibu bapa menyebabkan anak seakan terbiar dan terdedah kepada pengaruh yang memberi contoh tidak baik. Anak yang terpengaruh dengan perkara negatif tidak mudah untuk diubah dan Islam mengambil pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati. Pencegahan menerusi didikan, asuhan, bimbingan dan sumber teladan adalah kaedah terbaik supaya anak melalui zaman remaja dan dewasa dalam suasana baik, fitrah serta memiliki kekebalan daripada nilai negatif.

INTI PATI
Peranan ibu bapa

· Sumber teladan tidak saja dalam cara bercakap dan berbahasa tetapi juga cara melakukan sesuatu.

· Bahasa santun, komunikasi ramah, wajah ceria adalah sumber bernilai bagi anak kerana suasana ini menyebabkan ia menjadi ikutan.

· Ibu bapa sumber terdekat bagi mereka atau guru yang awal mendidik dan sebagai pendidik.

· Ibu bapa perlu bijak dan sabar memberikan penjelasan supaya fikiran serta perasaan anak terbimbing ke arah kebaikan.