Thursday, December 14, 2006

Kecelaruan identiti remaja banyak sebabnya

Oleh DR. SIDEK BABA


ISU identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej. Imej remaja tidak saja dihubungkan dengan perilakunya tetapi dikaitkan dengan idealisme, aliran kegiatan dan ada kaitan dengan potensi hari depan. Lebih jauh daripada itu, identiti remaja berkait rapat dengan jenis kepimpinan dan golongan yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Ia menentukan sama ada remaja adalah pendukung idealisme bina negara atau menjadi beban yang berpanjangan kepada masyarakat.

Ada petanda yang merisaukan banyak pihak mengenai identiti sebahagian remaja kini. Remaja pada masa lalu menghubungkan diri dengan isu-isu perjuangan ke arah membangunkan negara. Imej remaja sejak 30 tahun lalu cenderung mengukuhkan imej keagamaan sebagai landasan membangunkan sistem dan masyarakat.

Akibat kemajuan yang dicapai dan cabaran globalisasi yang menghimpit, sebahagian remaja terjebak dalam zon selesa yang mengheret mereka ke arah kerosakan diri, terjebak dengan kemelut sosial yang merimaskan dan terpaut dengan pemikiran hedonistik yang mengasyikkan dan alpa kepada tanggungjawab bina-ilmu dan bina-negara dan lebih ekstrem lagi ialah terjebak dengan kegiatan black-metal yang menyesatkan.

Statistik remaja yang terjebak dengan ketagihan rokok, dadah, arak, zina dan jenayah amat membimbangkan dan jumlah yang menjadi mangsa kepada gejala AIDS/HIV semakin menakutkan. Apakah imej yang sedang melanda remaja kini akibat daripada ketidakmampuan kita mengurus kemajuan dan pembangunan? Adakah mereka menjadi mangsa atau akibat daripada kealpaan kita tentang peranan mendidik, memberikan idea-idea pendorong betapa pentingnya imej diri, bangsa, umat dan negara? Adakah kita gagal menterjemahkannya secara bijaksana dan strategik kepada mereka?

Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan yang hilang pedoman. Ia juga dikaitkan isu hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan dalam konteks perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan.

Lebih pedih lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola dan ‘diva’ yang bukan fitrah sifatnya, mengagumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan imej dirinya tidak lagi dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan terhadap pembangunan tamadun bangsa. Remaja yang terjebak dengan kecelaruan ini bakal menjadi beban kepada masyarakat dan negara.

Kecelaruan

Amat tidak adil jika tanggapan dibuat bahawa semua remaja terjebak dalam masalah kecelaruan ini. Tetapi petanda yang ada di sekeliling kita memadai untuk kita membina rasa bimbang dan resah. Asas kebimbangan dan keresahan ini dibina atas alasan berikut:

1. Gelagat remaja yang amat terpengaruh dengan proses pembaratan yang sedang berjalan.

2. Proses pembaratan yang mencorakkan gaya hidup dan pemikiran baru menjadikan mereka tercabut daripada akar jati diri dan kabur hala tuju hidup, menjadikan imej mereka semakin suram dan kehilangan arah.

3. Kehidupan beragama sedang menjadi pertikaian antara ‘halal-haram’ pelanggaran salah-benar dan maaruf-mungkar.

4. Memburu makna maju dan moden tidak dalam acuan nilai yang baik, sebaliknya memajukan gaya hidup dengan pemikiran kebendaan dan semangat berfoya-foya (hedonistik).

5. Hilangnya rasa hormat dan adab terhadap tradisi, hilang malu terhadap orang tua, ibu bapa, guru-guru malah masyarakat.

6. Tiadanya cita-cita besar untuk bina-bangsa, bina-umat dan bina-tamadun hingga menyebabkan pudar azam dan cita-cita besar membina umat dan negara.

Banyak sebab mengapa kecelaruan berlaku di kalangan remaja. Zaman remaja adalah zaman yang amat kritikal dalam hidup seseorang manusia. Remaja mempunyai potensi tinggi yang boleh diarahkan kepada kebaikan malah boleh juga terjebak ke arah keburukan. Ia bergantung kepada corak pendidikan yang diterima dan suasana persekitaran yang membentuk.

Membentuk imej, watak dan tingkah laku remaja banyak bersandarkan kepada orientasi didikan yang diterima di rumah, sekolah, masyarakat dan juga sistem. Banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan ini:

1. Kecelaruan bermula apabila rumah tangga dan keluarga tidak memainkan peranan yang wajar dalam pembentukan watak anak-anak. Masa berkualiti banyak dihabiskan di luar rumah. Anak-anak yang menuntut pengisian, belaian, kasih sayang, perhatian dan bimbingan tidak merasakan limpahan rasa keibuan dan kebapaan. Media elektronik banyak berperanan mengambil tugas mendidik anak-anak. Ramai anak-anak yang mengalami ‘keciciran’ sejak pada awal umur lagi.

2. Ibu bapa tidak mempunyai ilmu dan ketrampilan keibubapaan yang berkesan dalam mendidik anak-anak. Tidak ramai ibu bapa yang faham proses pertumbuhan minda anak-anak, perkembangan psikik dan emosi mereka dan hubungkaitnya dengan tingkah laku yang diamalkan.

Akibatnya wujud lompang dalam hati dan minda anak-anak dan akhirnya anak-anak membentuk minda, hati dan tingkah laku berasaskan pendedahan yang ada dan pengaruh sekitar yang terdapat.

3. Sekolah banyak berperanan menyediakan anak-anak untuk tujuan peperiksaan. Membangunkan jiwa dan hati tidak diberikan fokus dan keutamaan. Akhirnya pembentukan watak yang holistik tidak berlaku. Berlakulah ‘keciciran’ kedua di kalangan anak-anak.

Umur yang amat kritikal bagi seseorang manusia dari sudut Islam ialah dari kelahiran hari pertama hinggalah ke tahap akil baligh. Sekiranya seseorang manusia terlepas daripada proses didik di tahap ini, kebimbangan tetap ada bahawa seseorang anak sudah diibaratkan seperti rebung yang sukar dilentur semula.

4. Masyarakat tidak menyediakan suasana yang kondusif untuk remaja membentuk diri dan peribadinya ke arah peka masyarakat dan peka sekeliling secara positif. Sebahagian remaja terlibat dengan kerenah rakan sebaya yang menampilkan kegiatan-kegiatan negatif dan akhirnya terjebak dengan amalan merokok, ketagih dadah dan pergaulan yang lepas bebas.

5. Sistem kenegaraan sendiri tidak mengambil pendekatan sepadu dalam proses pembangunan remaja. Orientasi dalam keluarga dan sekolah sedikit sebanyak menekankan pentingnya adab dan akhlak dalam pembinaan diri remaja. Namun, media cetak dan elektronik tidak dikawal programnya hingga menyebabkan percanggahan yang ketara apa yang dididik di sekolah dan di rumah dengan apa yang ditampilkan oleh media cetak dan elektronik. Akhirnya konflik wujud di kalangan remaja dan keadaan seperti ini melahirkan kecelaruan.

6. Keadaan di atas diburukkan lagi dengan isu-isu keagamaan yang dipertikaikan secara terbuka tanpa pendekatan mendidik dan ilmiah hingga menyebabkan sumber rujukan remaja mencari bercelaru. Ada isu-isu yang bercorak keagamaan boleh dibahaskan secara terbuka dan ada isu-isu keagamaan yang perlu dibincangkan di kalangan orang yang mempunyai keahlian.

Bayangkan isu-isu agama, imej ulama dan persepsi tentang Islam menjadi polemik yang tidak sihat. Ia boleh mempengaruhi remaja yang sedang mencari identiti diri dan sumber pengetahuan yang boleh dijadikan sandaran pembentukan pemikiran dan keyakinan dirinya.

Para remaja harus diberi bimbingan dan pedoman sejak awal umur lagi. Keterampilan keibubapaan amat dituntut dan kasih sayang, belaian dan tunjuk ajar menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Kecelaruan akan berlaku sekiranya persekitaran negatif membentuk anak-anak terutama ketika peringkat pertumbuhan akliah, emosi, rohaniah dan jasmani sedang subur.

Perkara asas yang harus disuburkan di kalangan remaja ialah jalinan komunikasi yang tinggi antara remaja dengan ibu bapa. Ibu bapa harus menjadi pendengar yang baik, menjelaskan dengan sabar dan pendidik yang taat.

Para remaja pula harus memiliki kesediaan dan keterbukaan untuk mendengar, berbincang, bertukar-tukar pandangan, bertanya dan cuba memahami bahawa ibu bapa atau guru adalah orang yang pernah melalui hidup seperti yang dilalui oleh remaja hari ini. Perbezaannya cuma zaman di mana ibu bapa dibesarkan dan zaman bagaimana remaja amat terdedah dengan pelbagai tarikan dan perkara-perkara yang merangsang nafsu-nafsi.

2 Responses to “Kecelaruan identiti remaja banyak sebabnya”

ecah_2704 said...

thanks prof...
saya amat tertarik dgn isu ini..
apa yg disampaikan sungguh berguna sekali...
sy nk tnye pendpt prof...
apakah kesan yg timbul terhdp isu tersebut sama ada kesan dr segi pro dan kontra...
dan apakah cadangan penambahbaikannya...

hasbullah said...

Hasbullah 11097

Assala mualaikum Prof,

Salam ukhuwah saya hulurkan buat prof yang saya kasihi, pertamanya kerana rasa persaudaraan dalam Islam, keduanya menjadi guru dialam maya , baik diradio IKIM ,Blog, TV dalm tulisan rencana di akbar, majalah atau pun buku-buku. Saya sangat menyanjung keilmuan yang prof miliki apatah lagi digunakan untuk menyampaikan dakwah fillah. Itu tugas para rasul dan anbiya. Perlu dijelaskan ana adalah boleh dikatakan seangkatan dengan usia prof . Umur saya sudah menjangkau 56 tahun, no ahli ABIM 11097, menjadi ahli ABIM sekitar 1974 ketika masih belajar di Institut Pertanian di Pahang, sehinggalah kekal menjadi ahli WADAH atau pun Almarhum Pak Sheikh Azmi Hj. Ahmad mantan YDP ABIM Kedah sebut ABIM Purba. Saya tidak pernah menyesal menjadi ahli ABIM , biar pun ABIM terumbang ambing ketika DSAI dipecat pada 1998 , prof pun dipanggil polis untuk siasatan untuk menyatakan pendirian . Saya tetap dengan ABIM kerana ABIM lah pertubuhan Islam yang menyedarkan diri saya dari kejahilan diniawi kepada lebih mengetahui tentang tuntutan ukhrawi, fi dhulumat ti ilan nur . Saya rasa prof pun begitu jua. Jadi apa salahnya kita mempertahankan wadah yang menyedarkan kita , mencernakan kehidupan kita sesuai dengan tuntutan Islam.
Dari pembacaan dalam blog , tolong betulkan kalau saya tersasar, prof telah berubah arah hanya kerana sedikit kepentingan dunia untuk menjadi Rektor USIM tapi ditegah oleh DSAI lalu prof telah bersepakat dengan Yusri lalu menjalankan majlis-majlis penerangan baik diperingkat universiti ataupun dijabatan kerajaan untuk memburukan keperibadian DSAI , perkara ini amat disukai oleh BN. janganlah hanya sedikit kepentingan dunia kita sanggup menjual akhirat kita, ikhlaslah dalam perjuangan kita hanya kerana ALLAH, macam mana nak membentuk keluarga SAKINAH tanpa ada sifat ikhlas, tawaduk dalam diri kita. Prof sudah sampai kepada kemuncak kerjaya dan sekarang kembali kepada alam untuk berpencen , maka marilah kita kembali kepada pangkalan kita, sudah lama kita belayar, banyak benua, lautan kita telah harungi akhirnya kita pasti akan kembali kepangkalan kita , kembalilah kepada wadah kita, banyakan bersangka baik, banyak sahabat kita spt. Dr.Siddiq Fadhil, Dr.Muhammad Nur Manutty, Dr.Kamruddin Mohd.Nor , Idris Jauzi,Uz.Abdul Hadi Awang semuanya pimpinan ABIM yang masih meneruskan perjuangan menegakan kalimah ALLAH, selagi belum tercapai selagi itulah degup jantung kita tidak akan terhenti kecuali mati. Maaf diatas kata-kata yang terguris jiwa , buat murshid ku yang ku sanjung tinggi. Wallahuaklam.